Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Tuesday, January 8, 2013

Krimer Tiruan

Setiap pagi, berjuta-juta manusia di Malaysia menggunakan krimer bukan tenusu dalam minuman kopi atau teh sarapan pagi mereka sebelum pergi ke tempat kerja. Krimer ini terkandung dalam hampir semua jenis minuman campuran 3 dalam 1 yang menjadi trend terkini.

Kebanyakan orang tidak sedar apa yang terkandung di dalam krimer itu. Ada juga yang menganggap ia lebih baik sebagai menggantikan susu yang berlemak. Sebenarnya ia diperbuat dari tidak lain dan tidak bukan bahan-2 kimia dan lemak sayuran (hydrogenated oil), penstabil, sodium kaseinat, pemanis tiruan dan lain-lain aditif yang murah dan mudah diperolehi dan ia larut di dalam kopi atau teh. Hari ini, ia juga turut mengandungi sirap jagung (HFCS).

Ia tidak mengandungi krimer yang sebenar sebaliknya hanya menjadikan minuman bertukar warna dan rasa. Ia bukan sejenis bahan yang patut masuk ke dalam mulut kita.

Amat melucukan mereka mendakwa krimer ini sebagai 'krimer bukan tenusu' padahal sodium kaseinat itu sendiri adalah terhasil dari protin susu.

Bagaimanapun, terdapat juga produk krimer yang berasal dari santan kelapa dan ia adalah sesuai dan boleh diminum. Apa yang perlu dilakukan, pengguna perlu mencari maklumat kandungan yang tertulis pada bungkusan krimer tersebut sebelum mengambilnya.

Isu Berkenaan E-Cigs

Ramai yang marah dengan artikel tentang e-cigs. Lebih ketara lagi artikel ini mendapat pelawat yang agak tinggi dalam tempoh yang singkat mengatasi artikel lain yang telah lama disiarkan.

Kami ingin menyatakan di sini bahawa TSM tidak menghalang sesiapa untuk terus membekal, mengedar, menjual atau menggunakan produk e-cigs ini. Apa yang ditulis adalah pandangan TSM. Kami tidak mempunyai apa-apa motif selain memberi nasihat kepada orang ramai. Terpulang kepada mereka sama ada mahu mendengar atau tidak. Perlu diketahui bahawa e-cig mula diperkenalkan di China, ia bukan berasal dari teknologi Barat atau Jepun.

Jika anda mahukan ulasan yang 'positif' tentang e-cig, di sini bukan tempatnya. Laman ini tidak memberikan pujian kepada produk-produk yang memburukkan kesihatan pengguna. Anda boleh dapatkan ulasan yang positif di laman-laman web pengeluar produk e-cig demi menyedapkan hati anda. 

Jika anda seorang pengguna tegar e-cig dan anda merasa marah dengan artikel tersebut, dan mahu terus menyedut rokok elektronik ini, kami tidak dapat berbuat apa-apa. Terpulang kepada diri masing-². Itu hak individu.  

Aspartame Dalam Produk 'Herba' Langsingkan Tubuh

Pengguna hari ini dinasihatkan agar berhati-hati dengan pelbagai produk kesihatan yang mendakwa menggunakan herba-herba asli sebagai strategi pemasaran pengeluar.

Suatu jenama yang tidak kurang popular dan boleh dikatakan hampir setiap hari produk ini diiklankan di dalam akhbar-akhbar utama. Tergerak hati kami untuk melihat apakah ia benar-benar memberi kesan seperti yang didakwa melalui testimoni-testimoni pelanggan yang agak meyakinkan.

Apabila membaca kandungan bahan-bahan yang digunakan sebagai pemanis tanpa gula, adalah amat mengejutkan apabila menemui kandungan Aspartame dalam produk yang dikatakan 'asli' untuk melangsingkan badan.

Sebenarnya tidak ada produk pelangsingan badan dalam dunia ini yang mampu menurunkan berat badan dengan hanya menelan pil atau meminumnya dalam masa yang sama anda boleh makan di restoran fast food, minum minuman berkarbonat sebanyak-banyaknya mengikut nafsu dan kemahuan anda. Jika anda benar-benar ingin tubuh langsing, kawal diet anda, disiplinkan diri anda dalam hal makan minum, anda perlu menjadi cerewet, kenali herba-herba asli dan biasakan diri anda dengannya, makan makanan semulajadi, elakkan makanan yang sudah diproses secara total, amalkan senaman dan anda tidak perlukan produk yang pelik-pelik dan mencurigakan.

Kami tidak mahu menulis lebih mendalam lagi tentang 'aspartame' ini kerana ia telah banyak kali ditulis dalam posting-posting terdahulu, anda boleh taip aspartame dalam ruangan 'Search' di atas dan akan tersenarai sejumlah artikel yang menceritakan tentang bahaya dan keburukan aspartame dalam Blog ini. Salah satu risiko mengambil aspartame ialah - KANSER!

Beza Garam Putih, Garam Bukit & Garam Semulajadi

Kali ini kami ingin menyatakan perbezaan di antara garam bukit yang didakwa garam 'asli' dan garam semulajadi dari pergunungan Himalaya serta garam laut. Ramai yang terkeliru dengan jenis-jenis garam yang terdapat di pasaran hari ini dan mereka kurang mendapat maklumat tentang mana satu yang terbaik untuk tubuh kita.

Garam ialah sejenis mineral. Dalam bahasa kimia, ia dipanggil sodium klorida. Garam menambah perisa kepada makanan dan sebagai bahan pengawet. Garam adalah satu-satunya jenis 'batu' yang boleh dimakan manusia. Apa saja jenis garam sama ada garam bukit, garam laut atau garam putih datang dari alam semulajadi. Kaedah pemprosesan selepas itu menjadikan garam-garam ini berbeza.

Garam putih berasal dari lautan atau batu dari gunung. Ia sebenarnya sudah diproses dan 'dibersihkan' agak keterlaluan. Sama seperti memproses gula tebu untuk dijadikan gula putih. Garam putih boleh didapati di kedai-kedai runcit biasa. Walaupun ia berasal dari alam semulajadi, ia sudahpun melalui proses kimia dan menjadikan ia tidak sesuai untuk tubuh manusia. Tetapi 99% pengguna di negara ini masih menggunakan garam jenis ini untuk masakan.

Garam laut pula berasal dari lautan. Warnanya agak kelabu tidak seperti garam putih yang berwarna putih 'bersih'. Garam laut didapati dari lautan dan dikeringkan melalui proses evaporasi cahaya matahari untuk mendapatkan kristal. Ia hampir 100% asli dan lebih baik dari garam putih.

Garam bukit (seperti gambar) pula berasal dari gunung-ganang. Warnanya ialah kemerahan atau pink. Yang terbanyak di pasaran ialah garam Himalaya - iaitu digali dari batu mineral di pergunungan Himalaya. Garam ini adalah adalah seratus-peratus asli dan hampir tidak diproses. Ini adalah jenis garam yang terbaik untuk manusia. Ia mengandungi mineral-mineral yang diperlukan oleh tubuh manusia seperti potasium, kalsium, magnesium, zink dan berpuluh-puluh jenis mineral lain. Pergunungan Himalaya boleh dikatakan masih bebas dari pencemaran alam dan garam di sini adalah jenis yang terbaik. Garam bukit asli ini juga boleh diperolehi di kawasan pergunungan negara-negara Eropah tetapi di sini terdapat banyak pencemaran.

Terdapat satu senario jenis garam yang terdapat di pasaran yang didakwa 'garam asli' atau 'garam bukit' tetapi yang peliknya ia berwarna putih bersih hampir tiada beza dengan garam putih biasa. Agak melucukan mengatakan ia adalah garam asli. Sebenarnya ia bukan jenis yang berbeza tetapi sama dengan garam putih. Dakwaan sebegini adalah salah satu strategi pemasaran (penipuan produk) kerana semua garam putih berasal sama ada dari lautan atau gunung. Disebabkan ia diperolehi dari gunung, maka dengan mudahnya pengeluar meletakkan label sebagai 'garam bukit' dan 'garam asli'. Jika ia benar-benar garam asli yang diambil dari kawasan pergunungan, warnanya tidak seputih sedemikian rupa. Jadi, ia sudah pasti diproses secara keterlaluan. 

Hari ini, berbagai helah telah digunakan oleh pengeluar untuk menarik perhatian pelanggan dan sebagai pengguna, kita perlu bijak mendapatkan informasi terkini dan menyelidik apa agenda di sebalik semua dakwaan itu.























Detox Terapi Ion Kaki: Benar Atau Penipuan

Benarkah terapi ion kaki dengan merendamkan kedua belah kaki di dalam larutan garam yang dilalukan caj elektrik dapat mengeluarkan toksik di dalam badan kita? Sehingga hari ini masih tiada bukti saintifik yang mengesahkan kaedah ini berkesan membuang toksik dari tubuh anda.

Apa yang kita dengar dari testimoni pesakit adalah berbentuk hipotesis di mana perbezaan yang dirasai setelah menjalani terapi ion mungkin dalam bentuk psikologi sahaja, tidak lebih dari itu.

Sambil mendakwa kaedah seperti ini adalah semulajadi tanpa menggunakan dadah dan tiada kesan sampingan, ia sebenarnya tidak memberi apa-apa kesan terhadap tubuh anda sama ada tambah memburukkan atau memperbaiki tahap kesihatan tubuh anda. 

Sebenarnya larutan garam yang diberikan caj elektrik dengan menggunakan 2 besi elektrod positif dan negatif memang akan menukar warna larutan menjadi partikel kehitaman, hijau, coklat perang, kuning dan sebagainya dalam tempoh beberapa minit - tanpa merendamkan kaki anda di dalamnya. Ini dianggap sebagai 'bukti' kehadiran 'toksin' dari kaki anda. Sebenarnya saya telah mencuba sendiri eksperimen ini di rumah dengan menggunakan bateri kereta - terbukti 'kehadiran' toksin pelbagai warna seperti disebut di atas dalam larutan garam - tetapi tanpa perlu saya merendamkan kaki ke dalam larutan itu. Perubahan warna larutan adalah disebabkan proses pengoksidaan besi (karat) iaitu proses yang disebut elektrolisis. Bagaimana mereka boleh mendakwa itu semua datang dari kaki anda?

Jika anda masih belum yakin, boleh cuba sendiri dengan pergi ke pusat terapi ion tetapi jangan rendamkan kaki anda ke dalamnya. Pemilik pusat terapi pasti akan 'memaksa' anda meletakkan kaki anda ke dalamnya.

Dalam sebuah kajian, sampel larutan diambil untuk melihat unsur-unsur 'toksik' yang hadir di dalamnya. Penemuan mendapati tiada kesan logam berat ataupun unsur biologi dari tubuh manusia sebaliknya ia hanya datang dari logam elektrod yang digunakan.

Sakit kepala, lemah-lemah badan, masalah hati dan buah pinggang tidak boleh dirawat dengan kaedah ini atau berbagai kaedah detox seperti menggunakan pad kaki atau rawatan spa. Ramai doktor, saintis dan pakar perubatan percaya produk sebegini tidak mencuci apa-apa dari tubuh anda kecuali 'mencuci' poket anda. Jika benar, mengapa pad kaki tidak memerlukan caj elektrik untuk membuang toksin dari kaki anda?

Cara yang sebenar untuk membuang segala toksin di dalam tubuh disebabkan gaya hidup anda selama ini seperti merokok, alkohol, makanan yang tak menyihatkan dan berlemak, kandungan gula dan garam yang tinggi atau kesan-kesan sampingan dari ubat-ubatan ialah dengan melakukan perubahan gaya hidup yang positif dalam jangka masa yang panjang, bukan dalam masa yang singkat seperti merendamkan kaki atau melekatkan pad pada kaki semalaman.

Artikel lain yang berkaitan:

http://thesecretmedicines.blogspot.com/2013/02/sembunyikan-kebenaran-kerana-wang.html

http://thesecretmedicines.blogspot.com/2013/02/dakwaan-tidak-berasas-pengusaha-detox.html


Labels