Pages

Thursday, February 21, 2013

Dakwaan Tidak Berasas Pengusaha Detox Terapi Kaki

Kami merasa amat musykil dengan penerangan yang diberikan oleh pengusaha pusat terapi ion kaki yang mendakwa dia menggunakan garam bukit asli dalam proses terapi padahal sepanjang pengetahuan kami, garam bukit bukan berwarna putih bersih seperti yang kami lihat digunakan olehnya. Garam bukit semuanya berasal dari kawasan pergunungan dan warnanya sedikit merah atau pink. Tiada garam bukit asli yang berwarna putih bersih kecuali ia telah diproses. Maka menurut hemat kami, garam yang digunakan ialah garam putih biasa - bukan garam bukit. Itu sudah menunjukkan dia cuba menipu pelanggan.

Kemudian dia mendakwa, untuk rawatan pertama kali, semua toksin akan dikeluarkan bermula dari bahagian kaki dan apabila semua toksin di kaki habis dikeluarkan, pada rawatan seterusnya ia akan mula mengeluarkan toksin dibahagian lebih atas sehingga akhirnya sampai ke kepala untuk rawatan kali terakhir.

Kedua-dua dakwaan ini sangat melucukan dan membuatkan kami berasa amat musykil dan mula mempertikaikan kesahihan dakwaan beliau.

Sebenarnya tidak ada cara untuk mengeluarkan toksin dari tubuh melalui liang-liang halus atau pore pada kulit kaki kerana jika kaedah itu boleh terjadi, maka semua darah akan keluar dahulu melalui liang-liang itu sebelum toksin. Badan manusia mengandungi pembuluh darah di hampir kesemua bahagian. Kaedah elektrolisis juga tidak boleh membezakan mana molekul yang baik dan mana molekul tidak baik, bagaimana mereka boleh mendakwa semua toksin dikeluarkan manakala zat-zat yang baik ditinggalkan.

Kami telah melakukan ujian ini sendiri dan mendapati memang warna air bertukar kuning dan coklat - tanpa merendamkan kaki kami ke dalam air. Perkara ini amat memalukan tetapi masih ramai yang mudah terpedaya.Jika anda pernah menjalani rawatan terapi ion ini, anda akan dapati semasa akhir rawatan, kotoran yang paling banyak sebenarnya berkumpul pada alat yang dilalukan arus elektrik itu, bukan datang dari kaki anda.

Sekali lagi ingin kami tegaskan bahawa 'kotoran' yang kelihatan itu datang dari elektrode, bukan dari kaki. Apabila sampai masanya, elektrod itu perlu ditukar baru kerana telah terhakis.

Sehingga hari ini, belum ada sesiapa yang berani menyahut cabaran kami supaya menunjukkan testimoni pelanggan yang berpenyakit kronik dengan membuktikan keberkesanan secara saintifik dan disahkan oleh pakar perubatan bertauliah.

Jika pengusaha di luar sana masih berdegil dan tidak mahu menukar perniagaan kepada bentuk perniagaan lain yang lebih mulia, lebih baik diamkan diri saja. Ini zaman internet. Semua maklumat di hujung jari. Kalau tidak, lebih banyak lagi akan saya bongkar tentang kaedah rawatan palsu ini hingga akhirnya tiada lagi orang percaya kepada kaedah ini. Saya mempunyai maklumat yang banyak tentang ini termasuk proses kimia dan saintifik bagaimana ia berlaku.

Inilah yang sebenarnya layak dipanggil SCAM.

Anda Suka Artikel Ini...?

Get Free Email Updates Daily!

Follow us!

0 comments:

Labels