Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Saturday, February 23, 2013

Khasiat Cuka Epal Organik

Apple cider vinegar atau dikenali sebagai ACV adalah sejenis cuka yang dibuat dari epal dan warnanya dari kuning pucat hingga warna seperti amber. ACV telah digunakan dalam masakan dan perubatan sejak zaman purba lagi. Tulisan Assyria kuno (antara teks tertua di dunia) merujuk ACV untuk merawat sakit telinga. Hippocrates, yang sering digelar 'bapa perubatan moden' juga pernah didapati menetapkan ACV sebagai sebahagian kaedah rawatan. Juga disebut dalam banyak teks zaman dahulu yang menyatakan sebagai penawar untuk berbagai jenis penyakit.

Epal diketahui mempunyai pelbagai faedah kesihatan kepada kita. Ia mengandungi semua nutrien penting, termasuk pektin, vitamin, serat dan mineral. Maka ungkapan yang mengatakan 'sehari makan sebiji epal menjauhkan diri anda dari doktor' memang tepat sekali. Ramai yang menganggap ACV adalah penyediaan terbaik dari buah epal.

ACV organik mengandungi ibu cuka (enzim berlendir yang terapung dalam cuka epal yang tidak dipastur) yang membuatkan cuka kelihatan seperti membeku. Ia adalah hasil pertumbuhan bakteria asetik yang menukarkan alkohol kepada cuka. Kebanyakan ACV yang anda dapati di kedai-kedai dan pasaraya telah dipastur dan ditapis. Ini memusnahkan ibu cuka dan lain-lain nutrien yang membuatkan ia tidak memberi apa-apa khasiat kecuali sebagai penambah perisa masakan. Kebanyakan daripada cuka ini dibuat daripada epal yang ditanam secara komersial menggunakan baja kimia dan racun perosak merbahaya.

Jika terdapat ibu cuka (biasanya pada botol ACV dilabelkan dengan perkataan 'with the Mother'), ia menandakan kehadiran faedah kesihatan yang tidak terkira. Ia menguatkan sistem pertahanan tubuh. Secara khususnya, ia membantu peredaran darah dengan penipisan sel darah dan memerangi kolesterol jahat, menghapuskan deposit mineral yang bertanggungjawab terhadap pembentukan asid urik yang menyebabkan penyakit arthritis.

Apabila diambil setiap pagi, ACV bertindak sebagai anti-bakteria dan anti-kulat. Ia juga boleh digunakan untuk membersihkan luka. Apabila disapu pada kulit, ia boleh melegakan gatal-gatal dan ruam.

ACV juga boleh membantu menurunkan berat badan. Ia membantu mengurangkan lemak berlebihan di dalam sel-sel dan mengurangkan selulit. Adalah sangat baik jika mengamalkan kira-kira dua sudu teh ACV setiap pagi dicampurkan dengan segelas air dan sedikit madu lebah untuk mengurangkan rasa masam cuka. 

Begitulah sebahagian dari manfaat yang didaapati dari ACV. Tetapi untuk mendapat khasiat yang sebenar, selain memastikan ia organik, anda mestilah memilih ACV yang mengandungi 'Mother' atau ibu cuka. Kehadiran bahan berlendir atau ketulan-ketulan yang kelihatan di dalam botol memberitahu pengguna bahawa ia mengandungi ibu cuka. Ia mungkin kelihatan meloyakan tetapi ia tidak memudaratkan jika dimakan. Inilah kaedah detox yang sebenar dan berkesan, bukan dengan merendamkan kaki ke dalam larutan garam dan melalukan arus elektrik.


Gambar menunjukkan perbezaan dua jenis ACV, yang di atas adalah jenis ORGANIK jenama Solana Gold dan BRAGG yang mengandungi 'mother' berwarna pekat manakala di bawah ini BUKAN ORGANIK yang telah ditapis berwarna jernih keemasan.  

Untuk panduan pembaca sekelian, ACV jenama Solana Gold dan BRAGG adalah disyorkan kerana kedua-duanya ACV ORGANIK dan boleh ditemui di rak barangan organik di pasaraya Jusco/AEON di seluruh negara. Harga untuk botol setengah liter hanya RM12.  Kedua-duanya diimport dari AS.

Elakkan dari membeli ACV murah tanpa perkataan 'with the Mother'.


............................................................................................

Status ACV Dalam Islam
Dalam dunia Islam, masih terdapat percanggahan pendapat di kalangan ulama tentang status halal haram ACV. Ini kerana ia bermula dari perahan kemudian menjadi alkohol lalu selepas itu berubah pula menjadi cuka. Memandangkan ia TIDAK MEMABUKKAN sebaliknya mendatangkan lebih BANYAK KHASIAT dan FAEDAH kesihatan, kenapa ia perlu diharamkan.  Yang pasti, produk terakhirnya ialah dalam bentuk cuka, bukan lagi dalam keadaan alkohol. Pihak TSM mengambil pendirian dan percaya kepada pendapat ulama yang mengatakan ianya adalah HARUS.

Ada terdapat banyak riwayat Rasulullah berkenaan cuka. Berikut antara riwayat yang pernah diceritakan oleh para sahabat;
"Cuka adalah kemudahan bagi manusia" Diriwayatkan oleh Muslim

"Allah telah meletakkan berkat dalam cuka, ia digunakan oleh para nabi sebelum aku", diriwayatkan oleh Aisyah, Muslim dan Ibnu Maja
Daripada Jabir r.a :
"Bahawa Nabi s.a.w pernah menanyakan lauk kepada keluarganya, lalu mereka menjawab: 'Kami tidak memiliki apa-apa, selain cuka'. Baginda pun lalu minta diambilkan, lalu makan dengan berlauk cuka. Baginda bersabda: 'Sebaik-baik lauk adalah cuka, sebaik-baik lauk adalah cuka! "
(Hadith riwayat Muslim no.2052)
- Artikel oleh The Secret Medicines

Thursday, February 21, 2013

Dakwaan Tidak Berasas Pengusaha Detox Terapi Kaki

Kami merasa amat musykil dengan penerangan yang diberikan oleh pengusaha pusat terapi ion kaki yang mendakwa dia menggunakan garam bukit asli dalam proses terapi padahal sepanjang pengetahuan kami, garam bukit bukan berwarna putih bersih seperti yang kami lihat digunakan olehnya. Garam bukit semuanya berasal dari kawasan pergunungan dan warnanya sedikit merah atau pink. Tiada garam bukit asli yang berwarna putih bersih kecuali ia telah diproses. Maka menurut hemat kami, garam yang digunakan ialah garam putih biasa - bukan garam bukit. Itu sudah menunjukkan dia cuba menipu pelanggan.

Kemudian dia mendakwa, untuk rawatan pertama kali, semua toksin akan dikeluarkan bermula dari bahagian kaki dan apabila semua toksin di kaki habis dikeluarkan, pada rawatan seterusnya ia akan mula mengeluarkan toksin dibahagian lebih atas sehingga akhirnya sampai ke kepala untuk rawatan kali terakhir.

Kedua-dua dakwaan ini sangat melucukan dan membuatkan kami berasa amat musykil dan mula mempertikaikan kesahihan dakwaan beliau.

Sebenarnya tidak ada cara untuk mengeluarkan toksin dari tubuh melalui liang-liang halus atau pore pada kulit kaki kerana jika kaedah itu boleh terjadi, maka semua darah akan keluar dahulu melalui liang-liang itu sebelum toksin. Badan manusia mengandungi pembuluh darah di hampir kesemua bahagian. Kaedah elektrolisis juga tidak boleh membezakan mana molekul yang baik dan mana molekul tidak baik, bagaimana mereka boleh mendakwa semua toksin dikeluarkan manakala zat-zat yang baik ditinggalkan.

Kami telah melakukan ujian ini sendiri dan mendapati memang warna air bertukar kuning dan coklat - tanpa merendamkan kaki kami ke dalam air. Perkara ini amat memalukan tetapi masih ramai yang mudah terpedaya.Jika anda pernah menjalani rawatan terapi ion ini, anda akan dapati semasa akhir rawatan, kotoran yang paling banyak sebenarnya berkumpul pada alat yang dilalukan arus elektrik itu, bukan datang dari kaki anda.

Sekali lagi ingin kami tegaskan bahawa 'kotoran' yang kelihatan itu datang dari elektrode, bukan dari kaki. Apabila sampai masanya, elektrod itu perlu ditukar baru kerana telah terhakis.

Sehingga hari ini, belum ada sesiapa yang berani menyahut cabaran kami supaya menunjukkan testimoni pelanggan yang berpenyakit kronik dengan membuktikan keberkesanan secara saintifik dan disahkan oleh pakar perubatan bertauliah.

Jika pengusaha di luar sana masih berdegil dan tidak mahu menukar perniagaan kepada bentuk perniagaan lain yang lebih mulia, lebih baik diamkan diri saja. Ini zaman internet. Semua maklumat di hujung jari. Kalau tidak, lebih banyak lagi akan saya bongkar tentang kaedah rawatan palsu ini hingga akhirnya tiada lagi orang percaya kepada kaedah ini. Saya mempunyai maklumat yang banyak tentang ini termasuk proses kimia dan saintifik bagaimana ia berlaku.

Inilah yang sebenarnya layak dipanggil SCAM.

Berita Buruk Untuk Penggemar Soya

Penyelidik di Sekolah Kesihatan Awam Harvard mendapati bahawa lelaki yang kerap makan walaupun sejumlah kecil makanan berasaskan soya mempunyai 41 juta kurang sperma per mililiter berbanding lelaki yang tidak makan soya.

Ironinya, 99 lelaki yang mengambil bahagian dalam kajian itu telah menjadi pesakit di klinik kesuburan lelaki yang tidak dapat mengandung pasangan mereka. Saintis mengesan tabiat makan mereka selama enam tahun, pada 15 jenis makanan berasaskan soya.

Ia ternyata makan hanya sedikit serendah 4 auns tauhu atau minum secawan susu soya setiap hari menyebabkan bilangan sperma lelaki menurun.

Soya dipenuhi dengan fitoestrogen, sebatian berasaskan tumbuhan di mana tubuh anda merawat seperti hormon wanita. Ini tergolong dalam kelas "mimik estrogen" yang boleh membuatkan dada lelaki membesar - malah meletakkan anda pada risiko yang lebih tinggi untuk kanser prostat.

Ini adalah kajian terbesar yang pernah dilakukan untuk melihat penggunaan soya dan kualiti sprema. Jadi ia meninggalkan persoalan sama ada atau tidak fitoestrogen dalam soya boleh menjejaskan kesihatan reproduktif lelaki.

Ia juga membuktikan buat kali pertama bahawa produk soya walaupun tradisional menimbulkan ancaman. Tauhu dan tempe, sebahagian daripada diet tradisional Asia, akan mempunyai kesan negatif yang sama seperti produk soya yang diproses seperti minyak kacang soya.

Jadi jika anda mahu melindungi diri dari serangan terhadap kejantanan anda, di sini ada beberapa cadangan:

Kawal pengambilan soya anda. Ingat, walaupun sedikit, ia mampu untuk mengurangkan jumlah sperma anda. Sedikit serendah 115 gram, atau kira-kira empat auns tauhu, dalam suatu hidangan.

Periksa label. Bahan-bahan yang berasaskan soya tersembunyi dalam pelbagai jenis makanan, dari barangan dibakar untuk kuah salad. Berikut adalah nama-nama kegemaran industri makanan berasaskan soya yang anda harus elakkan:

• tepung soya

• soya terisolasi

• protin soya

• minyak kacang soya

• protin sayur-sayuran

• lemak sayuran

• minyak sayuran

• gam Xanthan

Makan makanan yang sesuai bagi seorang lelaki. Mereka yang makan banyak soya fikir mereka sedang membuat pilihan yang sihat dengan mengelak protin daging. Mereka juga mahu kekal langsing. Kedua-duanya merupakan idea yang baik. Tetapi hakikatnya ialah anda tidak perlu mengelakkan daging untuk kekal sihat. Malah, daging organik, rumput-makan sumber akan membantu anda untuk membuang lemak, membina otot, dan meningkatkan testosteron keseluruhan dan tahap hormon pertumbuhan.

Satu persoalan yang mungkin ditanya oleh pembaca yang ragu, 'bagaimana orang Asia di mana soya adalah makanan ruji malah berjaya mempunyai anak yang ramai - jika soya begitu berbahaya kepada kesuburan lelaki. Jawapannya mudah. Mereka tidak makan soya seberapa banyak yang anda fikir.

Malah penyelidikan industri soya sendiri menunjukkan bahawa di tempat-tempat seperti China, Indonesia, Korea, Jepun, dan Taiwan, orang makan hanya 9,3-36 gram sehari. Itulah masih rendah berbanding 115 gram tauhu dalam kajian di atas.

Artikel ini dipetik dan diterjemah dari laman web Alsearsmd.com. Pendapat di atas tidak semestinya menggambarkan pandangan rasmi TSM. 

Wednesday, February 20, 2013

Detox: Sembunyikan Kebenaran Demi Keuntungan

Sejak awal lagi kami sudah mengagak bahawa artikel tentang detox terapi kaki bakal mendapat sambutan 'hangat' dan respon yang berbeza-beza tetapi seperti isu rokok dan e-cig, mereka yang mempertahankannya ialah orang-orang yang terlibat secara langsung dalam perniagaan itu sendiri seperti penjual cecair nikotin dan pengusaha pusat terapi.

Artikel ini juga mengikuti dengan rapat jumlah pengunjung paling ramai selepas artikel tentang e-cig.

Pertama sekali, kami ingin mencabar pengusaha-pengusaha pusat terapi ion kaki agar mengeluarkan atau menunjukkan kepada kami testimoni pelanggan dengan bukti yang saintifik serta diperakui oleh doktor atau pengamal perubatan yang bertauliah yang mengatakan pelanggan itu ialah seorang bekas pesakit kronik yang pernah menjalani rawatan intensif dengan doktor konvensional dan seterusnya sembuh dari penyakit kroniknya setelah menjalani rawatan terapi ion kaki dengan disaksikan dan disahkan oleh doktor yang pernah merawatnya. 

Kedua, kami ingin tunjukkan kepada pembaca semua berapa banyak wang yang dapat dijana oleh pengusaha pusat detox terapi kaki dalam masa sebulan seperti berikut:

Andaikan seorang pengguna dikenakan bayaran RM10 untuk setengah jam (30 minit) rawatan
Katakanlah sebuah pusat detox menyediakan 20 kolam rawatan
anggap saja hanya 5 orang datang membuat rawatan dalam 1 masa iaitu 5 kolam untuk setengah jam (25%)
katakanlah pusat detox beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam  (12 jam) dan anggap saja separuh dari 12 jam ada pelanggan yang penuh iaitu 6 jam  - 360 minit = 12 kolam (50%)

RM10 x 5 orang x12 kolam x 30 hari = RM18,000

Itu hanya dikira 25% jualan dari 20 kolam. Kalau kira 50% jualan dari 20 kolam, ia sudah mencecah RM36,000 sebulan. Bagaimana kalau 75% keuntungan? Ya, sebanyak RM54,000 sebulan. Keuntungan yang boleh menyaingi perniagaan cyber-cafe.

Dengan pendapatan sebegini dalam masa sebulan, dengan mudah mereka dapat membayar sewa premis dan memperolehi margin keuntungan yang besar.

Dan sudah tentu dengan memperolehi pendapatan besar sebegini secara berterusan tetapi apabila tiba-tiba cuba dipintas oleh orang lain atau cuba digagalkan oleh faktor-faktor lain seperti artikel detox di TSM, sudah tentu mereka akan melenting dan merasa sangat marah dan menuduh kami cuba membuat fitnah, berfikiran cetek dan sebagainya padahal kami telahpun melakukan ujian terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan. Malah kami sendiri telah hadir sendiri ke pusat detox terapi ion beberapa kali dan membuat penelitian tentang hasilnya malangnya tidak mendapat sebarang tanda-tanda positif. Malah semua orang boleh memperolehi maklumat dan hasil yang negatif tentang detox terapi kaki dari berbagai sumber di internet, bukan hanya di TSM. Kenapa mereka terlalu marahkan kami? Mungkin disebabkan TSM dipersembahkan dalam Bahasa Melayu dan mampu mempengaruhi ramai bakal pelanggan-pelanggan detox terapi kaki dari kalangan pembaca-pembaca Melayu yang kurang cerdik dalam English language maka dengan sebab itu mereka tidak pernah menemui maklumat yang sama dari laman-laman web luar negara.

Manusia apabila sudah memperolehi wang yang besar, mereka mudah terpedaya dengan tipu muslihat syaitan dan akhirnya menjadi tamak dan sanggup menyembunyikan kebenaran demi memperolehi keuntungan berlipat kali ganda.

Kami amat menyokong perniagaan yang berjaya tetapi biarlah perniagaan itu dijalankan dengan jujur tanpa menipu pengguna. Banyak lagi bentuk perniagaan lain yang boleh diceburi selain dari membuka pusat terapi ion kaki yang tidak pernah dibuktikan secara saintifik keberkesanannya. Hasilnya masih diragui malah belum selesai diperdebatkan di peringkat antarabangsa.

Niat kami bukan untuk membunuh perniagaan orang lain tetapi semata-mata untuk menyelamatkan pengguna dari tertipu. Itulah tujuan asal TSM diwujudkan. Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya kami memfitnah atau merosak atau menjatuhkan sesuatu perniagaan. Kami tidak berniaga apa-apa produk. Kami tidak menjana apa-apa keuntungan. Jika kami juga berniaga produk yang menyaingi produk terapi ion, mungkin tuduhan mereka beralasan. Ironiknya, kami hanya penulis dan aktivis yang mengkaji tentang produk pengguna. Tiada sebab untuk kami memfitnah atau menjatuhkan perniagaan orang lain.

Setengah manusia berada dalam denial syndrome. Mereka tidak mahu menerima kenyataan tentang betapa hodohnya diri mereka sendiri. Betapa mereka telah 'dirasuk' oleh sikap tamak dan mempertuhankan wang ringgit.

Tujuan kami cuma satu - sedarkan pengguna agar jangan tertipu dengan produk palsu dan merosakkan pengguna itu sendiri. Wang anda akan dihabiskan secara sia-sia tanpa mendapat apa-apa faedah kesihatan.

Berikut bukti-bukti penipuan yang boleh disaksikan di Youtube:
Lihatlah sendiri adakah carrot itu mengandungi toksin yang banyak sehingga mengeluarkan warna coklat gelap dan adakah carrot itu juga mengalami kerosakan buah pinggang dan pundi kencing?

Jika sudah ada terlalu banyak video yang begitu skeptikal tentang terapi ion kaki ini, bagaimanakah anda mampu menerangkannya?










- Artikel oleh The Secret Medicines

Waspada Dengan "Periuk Ajaib"

Perkembangan teknologi termaju adalah rahmat kepada manusia kerana ia memudahkan tugas dan menjimatkan masa. Tetapi bukan semua teknologi boleh mendatangkan kebaikan.

Terbaru, terdapat sejenis periuk kembar yang dikatakan 'ajaib' (bukan bermaksud ia benar-benar ajaib) yang boleh membantu kita memasak makanan dengan lebih mudah, cepat dan lebih menariknya ia memiliki ciri-ciri tidak melekat (non-stick) dan kurang asap. Masakan anda akan mudah diuruskan, periuk juga mudah dicuci kerana tiada bahan-bahan masakan yang tinggal melekat pada permukaan periuk.

Apa yang hendak diperkatakan di sini, kita seharusnya tahu apakah jenis bahan yang digunakan dalam pengeluaran yang bertindak sebagai lapisan untuk menjadikan permukaan periuk tidak melekat.Selain dari itu, apa yang mengejutkan kami ialah sejenis bahan seperti gelang getah tebal dijadikan sebagai gasket untuk menghalang asap dan segala aroma dari terbebas keluar dari periuk itu apabila ia ditutup.Bahan getah yang dipanaskan ini sudah tentu akan bertindakbalas mengeluarkan bahan-bahan toksik dan seterusnya masuk dan bercampur dengan bahan masakan di dalam periuk. Jika ia dilakukan secara berterusan, tidak hairan lambat-laun mengapa pengguna itu boleh mendapat kanser.

TSM tidak mengajak pengguna menolak kemajuan teknologi tetapi kita seharusnya lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya. Sekalipun pengeluar mendakwa bahan yang digunakan ialah aluminium atau besi tahan karat, ia adalah bahan asas periuk itu. Apa yang kita perlu ketahui ialah bahan lapisan yang membuatkan ia tidak melekat. Terdapat beberapa jenis bahan merbahaya yang biasa digunakan untuk menjadikan periuk tidak melekat iaitu asid perfluorooctanoic (PFOA) dan asid perfluorooctanesulfonic (PFOS). Pada 2005, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika (EPA) mengeluarkan laporan bahawa kedua-dua jenis bahan ini disahkan menepati ciri-ciri bahan yang dikategori sebagai karsinogen (penyebab kanser).

Menurut kajian terbaru yang dijalankan oleh Environment Health Perspectives pula, ia menemui kaitan antara asid perfluorooctanoic (PFOA), asid perfluorooctanesulfonic (PFOS) dengan penyakit osteoarthritis (OA - penyakit yang hampir sama dengan gout). Tumpuan dijalankan terhadap kedua-dua jenis bahan ini kerana ia telah digunakan secara meluas dalam persekitaran dan didapati mencemar hidupan liar dan manusia. Ia digunakan dalam beratus-ratus proses industri dan produk pengguna seperti kertas pembungkus makanan tak melekat, pakaian fabrik tak telap air dan tahan karat serta produk penjagaan diri.

Mereka mendapati pendedahan terhadap PFOA dan PFOS berkait rapat dengan kemungkinan besar penyakit osteoarthritis.

Sebelum anda tertarik dengan sesuatu produk terbaru, tanyalah dahulu apakah produk itu selamat digunakan. Tanya penjual atau pengeluar apakah jenis bahan lapisan non-stick yang digunakan. Adakah mereka menggunakan PFOA dan PFOS. Jika jawapannya ya, lebih baik lupakan saja. Sebagai penjual dan pengeluar, keselamatan pengguna adalah perkara nombor dua. Yang pertama ialah menjana keuntungan dan memastikan produk laris dijual.

Nasihat kami, kembali kepada cara lama. Gunakan periuk besi keluli tahan karat yang masih elok di dapur anda. Khidmatnya masih diperlukan. Elakkan memakan makanan yang dimasak di atas dapur 'ajaib' ini atau semua jenis periuk 'non-stick'.

INGAT! DIRI ANDA ADALAH APA YANG ANDA MAKAN. 

Tuesday, February 19, 2013

Gout: Penawar Mudah Dan Murah

Bagi penderita gout, masih ramai lagi yang tak sedar akan penawar yang pantas dan berkesan untuk merawat kesakitan boleh diperolehi dengan harga yang murah dan lebih mengejutkan, ia boleh dibeli di kedai-kedai runcit, bukan saja dari farmasi atau klinik.

Pesakit gout menghadapi kesukaran dalam kehidupan. Segalanya bergerak perlahan. Sebahagian aktiviti yang dilakukan selama ini terpaksa dikurangkan atau dihentikan terus. Lebih-lebih lagi mereka yang menerima serangan gout di bahagian kaki. Ia menyebabkan segala aktiviti seharian mereka terbatas. Ada yang tidak boleh berjalan atau terpaksa menggunakan tongkat. Ada pula yang menggunakan kerusi roda.

Jika pergi ke klinik atau hospital, sudah tentu doktor akan berikan ubat ibuprofen atau colchicine atau yang seangkatan dengannya untuk mengurangkan gejala kesakitan pada anggota tubuh yang diserang. Ibuprofen boleh mendatangkan kesan sampingan yang merbahaya seperti serangan jantung dan strok jika digunakan dalam jangka masa yang panjang. Ia juga boleh menyebabkan pendarahan dalaman di dalam perut. Keadaan seperti ini semuanya boleh membawa maut.

Colchicine berfungsi mengurangkan bengkak dan kesakitan akibat pengumpulan asid urik yang berlebihan. Perlu diketahui hanya jenama Colcrys sahaja yang mendapat kelulusan FDA untuk ubat colchicine ini. Jika anda menggunakan colchicine dalam tempoh yang lama, darah anda perlu diperiksa selalu. Ubat ini tidak sesuai untuk penderita penyakit buah pinggang dan hati.

Maka untuk mengelak dari mendapat semua kesan sampingan di atas, TSM ingin memberikan panduan kepada penderita gout untuk mendapatkan pilihan yang lebih baik dan tiada kesan sampingan dalam merawat atau mengurangkan kesakitan gout.

Berikut ialah bahan-bahan yang diperlukan untuk merawat gout dari rumah dan ia boleh disediakan sendiri oleh penderita gout:
1. air alkali seperti jenama ECPI (TSM tidak menerima sebarang imbuhan dengan mempromosi jenama ini)
2. cuka epal
3. madu lebah
4. air bertapis

Air Alkali
Kesakitan gout disebabkan pengumpulan asid urik yang berlebihan di dalam darah dan akhirnya ia berkumpul dan membentuk kristal tajam yang menyebabakan penderita merasa sakit yang amat sangat pada bahagian sendi yang diserang. Oleh itu, tubuh pesakit memerlukan bahan yang bersifat alkali untuk membantu memberi keseimbangan asid-alkali dalam tubuh.

Cuka Epal (Apple Cider Vinegar)
Cuka epal terhasil dari proses fermentasi (penapaian) buah epal. Cuka epal membantu meleraikan makanan di dalam tubuh dan mengelak bakteria merbahaya dari berkembang biak, membantu mempertahankan dari jangkitan dan membersihkan darah serta melancarkan peredaran darah. Ia juga memastikan kesihatan buah pinggang. Ia memecahkan kristal yang terbentuk dalam buah pinggang akibat pengumpulan asid berlebihan dan melarutkannya. Cuka epal ini tinggi kandungan pectin dan pelbagai mineral, vitamin serta beta-kerotina (yang melawan radikal bebas dan membantu pertumbuhan sel-sel baru), ketones potassium (membuang toksin dan mengawal tekanan darah), asid malic dan asid asetik (melawan jangkitan kulat dan melegakan dari kesakitan sendi). Asid malic juga meleraikan asid urik dan mebantu mengeluarkan ia dari tubuh. Asid amino pula bertindak sebagai antibiotik dan antiseptik yang mengurangkan tahap toksik dalam tubuh.

Berikut ialah resepi untuk mengurangkan kesakitan gout pada kadar segera:
a. 1/2 liter air alkali - diminum terus
b. 1 sudu teh madu lebah
c. 2 sudu makan cuka epal
d. 1 gelas air masak bertapis

Mula-mula sekali, minum air alkali sebanyak setengah liter. Selepas habis minum, mulakan dengan resepi merawat gout. Campurkan kesemua bahan b, c,  dan d di atas (seeloknya gunakan air suam untuk melarutkan campuran). Minum setiap pagi, petang dan sebelum tidur, insyaallah anda tidak lagi akan diserang kesakitan dan jika diamalkan secara berterusan, anda akan dijauhkan dari penyakit gout dan arthritis.

(perlu diketahui bahawa cuka epal mempunyai tahap keasidan yang tinggi dan menghakis gigi, maka sebaiknya gosok gigi sebelum tidur dan selepas meminum resepi di atas.) 

Kesannya mungkin berbeza mengikut individu tetapi bukti yang diperolehi oleh TSM, ia mula menunjukkan kesan positif selepas 20 minit meminumnya dan penderita gout yang mengamalkan cara ini memakan udang pada malamnya tetapi tiada serangan gout pada esok paginya.Inilah sebahagian keajaiban dari alam semulajadi yang masih belum ramai orang memperakuinya.

Anda tidak perlukan ibuprofen atau colchicine dan bebas dari kesan sampingan.Buah pinggang anda juga selamat dari kerosakan. - Artikel oleh The Secret Medicines

Saturday, February 16, 2013

Radiasi Dalam Rokok

Syarikat rokok tahu tentangnya malah mereka telah menyembunyikan perkara ini sejak 40 tahun lalu kerana ia sebahagian dari 'formula' jenama rokok mereka. Bahan polonium-210 adalah sejenis bahan beradiasi yang mengeluarkan zarah-zarah alpha yang merbahaya. Ia bekerjasama dengan bahan-bahan karsinogen yang lain terdapat di dalam rokok untuk membuatkan kerja berganda merosakkan paru-paru dan menyebabkan kanser.

Syarikat rokok ada menjalankan kajian tentang polonium-210 dan menemui bahawa seseorang yang merokok selama lebih 20 tahun boleh mendapat kaner tetapi mereka menyembunyikan hasil yang diperolehi dari pengetahuan umum.

Mereka tidak mahu menggunakan kaedah 'acid washing' yang boleh membuang sehingga 99% polonium-210 dari rokok kerana proses ini akan mengurangkan kadar kemahuan seseorang perokok thadap nikotin dalam masa yang singkat. Jika tiada ketagihan, itu bermakna anda semakin sihat tetapi syarikat rokok tidak akan membiarkan ia berlaku.

Jadi perokok terperangkap dengan menyedut radioaktif. Polonium-210 masih didapati di dalam produk tembakau hari ini.

Saturday, February 2, 2013

Penyokong E-Cig Jangan Buat Sampah

Kepada pengguna e-cig yang menuduh kami pihak yang bodoh dan mereka golongan bijak pandai, kami tidak mahu meneruskan lagi pertelagahan dengan anda kerana isu tentang rokok dan e-cig ini tidak akan tamat jika terus dibincangkan. 

Dengan ini, kami membuat kenyataan seperti berikut:

KEPADA MEREKA YANG INGIN TERUS MEROKOK DAN TERUS MENGGUNAKAN E-CIG, TERUSKANLAH USAHA ANDA. KAMI TIDAK MAHU MENCAMPURI URUSAN PERIBADI ANDA. DIHARAP ANDA JUGA TIDAK MENCAMPURI URUSAN KAMI DI RUMAH KAMI DI SINI KERANA IA TELAH MEMBUAT KEADAAN RUMAH KAMI MENJADI SEMAKIN SEMAK DAN PENUH DENGAN SAMPAH SARAP. DIHARAP, MEREKA YANG MEMBUAT SAMPAH PANDAI-PANDAILAH MEMBERSIHKAN KEMBALI APA YANG TELAH DIKOTORKAN.

KENYATAAN-KENYATAAN DANGKAL YANG MEMPERTAHANKAN PEROKOK DAN PENGGUNAAN E-CIG ADALAH UMPAMA MENEGAKKAN BENANG YANG BASAH DAN KENYATAAN ITU KAMI ANGGAP SEBAGAI SAMPAH BELAKA DAN TIDAK LAYAK DIPERDEBATKAN DI PERINGKAT YANG LEBIH TINGGI.  

Sampai Bila Pengguna E-Cig Akan Berhenti Merokok?

Kami merasa agak kecewa melihat respon orang ramai yang cuba bermatimatian mempertahankan penggunaan e-cig malah ada yang mendakwa nikotin cecair itu tidak bertoksik. Ini menunjukkan betapa kuat dan ramainya golongan perokok di Malaysia yang masih cuba mempertahankan tindakan mereka merosakkan tubuh badan mereka sendiri dan cuba menghentam kami pihak yang cuba mengajak orang ramai berubah dan beralih kepada gaya hidup yang lebih sihat.

Niat untuk berhenti merokok dengan bertukar kepada e-cig sebenarnya bukanlah tindakan yang bijak kerana e-cig masih membekalkan nikotin kepada perokok dan itu tidak mengurangkan apa-apa terhadap diri mereka kecuali mereka tetap masih merokok - kali ini menggunakan bateri.

Tindakan sebaik-baiknya untuk berhenti merokok ialah dengan berhenti terus dari merokok. Bukan beralih kepada e-cig. Terdapat banyak kaedah yang boleh digunapakai oleh setiap individu bergantung kepada kebolehan diri masing-masing.

Jika ada yang memilih untuk menggunakan e-cig kononnya untuk berhenti merokok, saya masih belum menemui di kalangan rakan-rakan terdekat atau ahli keluarga yang telah berjaya berhenti merokok selepas menggunakan e-cig. Apa yang saya dapati, mereka terus setia menggunakan e-cig dan apabila ditanya bila mereka akan berhenti merokok, jawapan yang diberi ialah mereka sendiri tidak pasti dan tidak tahu bila mereka akan berhenti.

Labels