Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Monday, January 28, 2013

E-Cig: Ramai Sudah Jadi Doktor

Perkembangan dan sambutan hangat terhadap e-cig telah mencipta suatu fenomena baru bila ramai di kalangan penjual dan pengguna e-cig sanggup mengaku mereka berkebolehan seperti doktor untuk mengeluarkan kenyataan bahawa e-cig 'lebih selamat' dari rokok tembakau.

Padahal, FDA Amerika dan saintis di Eropah hanya baru menjalankan kajian secara kecil-kecilan dan dari kajian itu mereka menemui kesan negatif ke atas paru-paru pengguna e-cig. FDA telah mengeluarkan amaran kepada 5 syarikat pengeluar e-cig bahawa apa yang mereka dakwa terhadap produk mereka tidak dapat dibuktikan. Beberapa kandungan yang ditemui di dalam cecair vapor e-cig tidak ada beza dengan apa yang terkandung di dalam rokok tembakau berjenama. Ia terdiri dari bahan-bahan karsinogen (penyebab kanser).

FDA mengkategorikan e-cig sebagai dadah. Buat masa ini belum ada kajian secara menyeluruh dijalankan ke atas produk e-cig. Tetapi sudah ada pihak yang berani mengeluarkan kenyataan bahawa 'e-cig selamat'. Atas dasar apa mereka mendakwa sedemikian? Adakah orang-orang ini telah menjalankan kajian yang menyeluruh mengatasi FDA dan saintis-saintis di Eropah? Sejak bila orang-orang ini mendapat gelaran doktor?

Monday, January 21, 2013

Lagi Tentang E-Cig

Terlalu ramai manusia yang berang dengan artikel tentang e-cig sehingga ada yang sanggup menuduh kami bodoh sesedap rasa. Kami sebenarnya tidak ada masa untuk melayan keluhan manusia yang berakal pendek seperti itu tetapi oleh kerana mereka ini tidak dibekalkan dengan akal yang cukup atau otak mereka gagal berfungsi dengan betul kerana kurangnya bekalan oksigen yang sampai ke bahagian otak disebabkan telah dipenuhi dengan nikotin dan tar, maka kami terpaksa juga mengajar mereka.

(Setiap perokok pada setiap kali sedutan asap rokok, oksigen yang sampai ke dalam salur darah dan otak berkurangan dari jumlah normal. Ini disebabkan oleh nikotin dan beribu bahan kimia lain mengambil alih ruang oksigen itu untuk memenuhinya dengan agen-agen asing seperti nikotin, tar, karbon monoksida, arsenik, acetone dan sebagainya. Kesemua bahan-bahan ini adalah merbahaya kepada manusia dan boleh membunuh jika diberi setitik dos yang pekat. Nikotin contohnya banyak didapati dalam racun penyembur serangga.)

Bagi kami, apa yang susah sangat dan apa yang nak dipertahankan sangat tentang e-cig ini? Adakah mereka ini wakil-wakil penjual yang mengaut keuntungan dari jualan cecair-cecair nikotin itu atau mereka ini kononnya mahu berhenti dari menghisap rokok dan beralih ke e-cig?

Ketahuilah bahawa bertukar dari rokok biasa kepada e-cig tidak membawa apa-apa perubahan terhadap tubuh badan mereka melainkan ia ibarat keluar dari mulut singa dan masuk ke mulut buaya.

Penyelesaian terbaik untuk menangani masalah ketagihan kepada nikotin ialah dengan berhenti dari semua itu. Berhenti merokok tidak kira rokok elektronik atau rokok tembakau bergulung.  Bukan dengan menghentam dan mencaci orang lain, menuduh kami bodoh dan mengkritik pihak kerajaan konon mereka tidak dapat cukai dari jualan e-cig. Memang benar kerajaan tidak pungut cukai dari produk e-cig, tetapi ia tiada kena-mengena dengan kami. Kami bukan pihak kerajaan. Jika kerajaan mula mengenakan cukai, kami tidak dapat apa-apa. Kami adalah aktivis bebas dan tidak menyokong mana-mana pihak kecuali mereka melakukan yang terbaik untuk memperbaiki kesihatan manusia.

Sejarah & Asal Usul Rokok

Tembakau
Tembakau ialah sejenis tanaman yang daunnya berwarna hijau di tanam di kawasan panas dan lembap. Selepas daunnya dipetik, ia diproses menjadi rokok.

Nikotin
Nikotin ialah salah satu dari lebih 4,000 jenis bahan kimia yang terdapat di dalam asap rokok. Ada yang mengatakan nikotin berasal dari tembakau tetapi sebenarnya tidak. Nikotin adalah bahan asing yang ditambah kepada rokok sebagai penambah perisa dan agen ketagihan. Nikotin berfungsi untuk menambah ketagihan kepada perokok dan menjadikan ia suatu tabiat luar kawal. Sekali ia memasuki salur darah, ia akan menjadikan tubuh kita semakin memerlukannya setiap masa. Ia menjadikan nikotin ini suatu bentuk dadah. Disebabkan nikotin disebut sebagai dadah perangsang, ia mempercepatkan sistem saraf dan membuatkan kita rasa seperti dibekalkan lebih tenaga. Ia juga menyebabkan jantung berdegup lebih kencang dan meningkatkan tekanan darah.

Sejarah Tembakau
Sejarah tembakau bermula di Amerika. Penduduk asli Amerika (orang-² Red Indian) dikatakan mula menanam tembakau sejak lebih dari 900 tahun sebelum Masehi. Mereka menyedut asap tembakau untuk upacara keagamaan dan juga tujuan perubatan. Mereka tidak menghisap setiap hari seperti manusia hari ini. Sekitar abad ke-16, tembakau dikatakan mula ditanam secara besar-besaran di Virginia, Amerika Utara untuk tujuan komersial. Wang dari perniagaan tembakau ini dikatakan membantu revolusi Amerika menentang England.

Bermula di penghujung abad ke-17, ramai orang sudah mula menydut asap tembakau dalam kuantiti yang kecil. Ada yang menggunakan cerut atau digulung dalam daun. Secara purata, mereka menghisap 40 rokok setahun.

Pada 1881, James Bonsack mencipta mesin menggulung tembakau dan boleh menghasilkan sehingga 120,000 batang rokok sehari. Selepas itu, dia bekerjasama dengan James Duke untuk membina kilang rokok yang boleh menghasilkan 1 bilion batang rokok setahun. Pek pertama yang dijual  dipeketkan di dalam kotak dengan gambar kad besbol dan diberi nama Duke of Durham. Duke memulakan syarikat gergasi tembakau di Amerika diberi nama American Tobacco Company.

American Tobacco Company menjadi syarikat rokok yang berkuasa sehingga awal 1900-an. Beberapa syarikat rokok lain mula wujud sejak itu. Pada 1902, Philip Morris memperkenalkan rokok Marlboro. Pada walnya, rokok dipasarkan untuk golongan lelaki sahaja.

Semasa Perang Dunia I dan Perang Dunia II, askar-askar diberi rokok percuma setiap hari. Selepas Perang Dunia II, produksi rokok yang semakin berkembang membuatkan golongan wanita juga turut ingin merasa kenikmatan merokok.

Produksi rokok mencecah 300 bilion setahun. Sejak Perang Dunia II, telah ada 6 syarikat gergasi rokok di Amerika iaitu Philip Morris, R.J. Reynolds, American Brands, Lorillard, Brown & Williamson dan Liggett & Myers (L&M).

Mereka menjana berbilion US dolar menjual rokok ke Amerika dan seluruh dunia.

Pada 1964, Ketua Doktor di Amerika menulis satu laporan tentang bahaya menghisap rokok. Beliau menulis, kandungan nikotin dan tar di dalam rokok menyebabkan kanser paru-paru. Pada tahun berikutnya, Kongres meluluskan Akta Pengiklanan & Pelabelan Rokok. Ia memerlukan setiap pek rokok mesti mengandungi amaran tertulis "Cigarettes may be hazardous to your health."

Pada 80-an, syarikat-syarikat rokok mula mengeluarkan rokok rendah tar dan rendah nikotin untuk mengembalikan keyakinan perokok supaya terus merokok dan memilih produk mereka. 

Tetapi pada masa yang sama, kerajaan tempatan, syarikat swasta dan lain-lain mula mengambil langkah menghadkan kawasan merokok di tempat-tempat awam. Syarikat rokok juga tidak dibenarkan mengiklankan rokok di TV dan radio. Pada 1990, kebanyakan syarikat penerbangan juga tidak membenarkan merokok dalam penerbangan yang mengambil masa 6 jam atau kurang. Cukai terhadap rokok juga dinaikkan.

Memandangkan tekanan yang dikenakan ke atas syarikat rokok untuk menjual produk mereka di negara sendiri, mereka beralih ke luar negara. Kini syarikat-syarikat ini memiliki ladang tembakau di Afrika, Brazil, Paraguay, India, Pakistan, Filipina, Greece, Thailand dan Republik Dominica. Lima puluh peratus (50%) dari jualan syarikat rokok Amerika pergi ke negara-negara Asia seperti Thailand, Malaysia, Korea Selatan, Filipina dan Taiwan. 30% jualan pergi ke Eropah dan Timur Tengah. 

Sistem Kapitalis

Amerika Syarikat mempunyai sistem kapitalis dalam urusan ekonomi. Di bawah sistem ini, seorang atau lebih berkumpul dan membentuk sebuah syarikat untuk menghasil dan menjual produk. Mereka lakukan ini untuk menjana wang. Wang yang diperolehi selepas membayar semua bil-bil dan perbelanjaan disebut keuntungan bersih.

Menjual produk ke luar negara disebut export. Membeli produk dari luar negara pula disebut import. Apabila syarikat atau kerajaan mengeksport lebih dari apa yang mereka import, mereka memiliki surplus pertukaran. Ini satu lagi cara menyebut keuntungan. Begitu juga sebaliknya, apabila mengimport lebih dari apa yang dieksport, mereka akan mengalami pertukaran defisit. Defisit bermaksud hutang atau wang yang dipinjam dari seseorang.

Sepanjang sejarah, syarikat-² rokok telah memiliki surplus yang banyak. Ini adalah satu dari sebab utama mengapa mereka ini sangat penting kepada ekonomi Amerika. Pada 1992, industri tembakau memperolehi surplus sehingga $5.65 bilion dolar. Pada pertengahan tahun 1992, eksport tembakau melebihi $2 bilion dari jumlah import. Cukai yang banyak dibayar oleh syarikat rokok kepada kerajaan Amerika membekalkan wang yang banyak untuk kerajaan Amerika. Philip Morris sahaja membayar $4.5 bilion cukai. Ia merupakan pembayar cukai terbesar di Amerika pada 1992. (pada 2011, untung bersih syarikat Philip Morris diisytiharkan sebanyak USD8.59 bilion.)

"Kami ada rakan kongsi terbaik di seluruh dunia; iaitu kerajaan-kerajaan pemerintah. Di kebanyakan negara, ia sangat penting untuk kerajaan untuk memungut cukai ke atas produk (rokok) yang kami jual." - begitu menurut kata David E.R. Dangoor, Naib Presiden Philip Morris International (1994)

Satu sebab penanaman tembakau menjana keuntungan yang tinggi ialah  kerana kosnya yang rendah. Kebanyakan penghasilan rokok menggunakan kaedah automasi dan tidak memerlukan ramai pekerja.

Mereka sangat besar dan amat berkuasa. Tiada laporan perubatan tentang bahaya rokok dan undang-undang menghalang pengiklanan telah berjaya menjatuhkan mereka. Perokok terus merokok. Mereka masih mampu menjana keuntungan yang tinggi dengan membeli syarikat-syarikat bukan pengeluar rokok di Amerika dan menjual rokok ke negara luar Amerika.  

bersambung...     - Artikel oleh The Secret Medicines

Friday, January 18, 2013

E-Cig di Program Bualbicara TV

Pagi ini saya dapat maklumat dari seorang sahabat mengatakan topik tentang e-cig dibincangkan dalam program bualbicara di TV. Saya tak sempat mengikutinya, tapi dari apa yang saya diberitahu, kerajaan telah menguatkuasakan akta e-cig sebagai barang dagangan yang perlu didaftarkan sebagai produk nikotin.

Kemungkinan selepas ini harganya mungkin naik kerana kerajaan bakal mengenakan cukai import atau cukai tembakau terhadap pengimport e-cig.

Apa yang saya nak nyatakan di sini, bukan tentang tindakan kerajaan itu tetapi maklumbalas dari pengguna. Saya meneroka ke laman Facebook penyiar program bualbicara tersebut dan dari sana saya sempat membaca berpuluh-puluh komen dari peminat. Jika hendak membaca seluruh komen, saya mungkin perlukan masa hingga tengahari. 

Pelbagai respon dari pembaca, ada yang setuju, ada yang tidak dan ada juga yang minta rokok diharamkan terus. 

Ada suatu komen dari penggemar e-cig yang mencabar supaya buktikan e-cig boleh menyebabkan kanser. Katanya, kebanyakan pesakit yang dibawa ke hospital disebabkan rokok tembakau, bukan e-cig.

Orang sebegini bercakap tanpa ilmu. Kanser mengambil masa bertahun-tahun malah berpuluh tahun sebelum ia dapat dikesan. E-cig baru setahun-dua diperkenalkan di negara ini. Kalau ada pengguna e-cig tegar, ia belum diberi masa yang cukup untuk sel kanser membina sel-selnya.

Dalam artikel-artiekl terdahulu, kami ada menulis tentang bagaimana penyakit menyerang manusia. Penyakit tidak datang secara mengejut. Ia memerlukan tindakbalas yang bersesuaian (chained-reaction) yang dapat membantu memangkinkan tindakbalas positif penyakit terhadap tubuh sedikit demi sedikit. Ia sama seperti mana tubuh manusia membesar dari kanak-kanak menjadi dewasa dengan hanya makan dan minum. Setiap sel diatur sehingga menjadi tubuh yang baru dalam masa bertahun-tahun lamanya.

Kami di TSM sangat bersetuju jika semua jenis produk tembakau, rokok atau e-cig diharamkan terus dari dijual di negara ini. Ini cara yang paling selamat, tapi bakal membuatkan perokok-² tegar mengalami depresi dan tidak senang duduk.

Monday, January 14, 2013

Daging Proses Tingkatkan Risiko Diabetes, Sakit Jantung & Kanser


Satu kajian yang diterbitkan dalam edaran jurnal mendedahkan bahawa memakan produk daging diproses dengan ketara meningkatkan risiko penyakit jantung dan diabetes. Penyelidikan sebelumnya telah mengaitkan daging proses dengan kanser.

Ia melibatkan satu analisis daripada 20 kajian yang berbeza meliputi lebih daripada satu juta orang dari 10 negara yang berbeza. Kajian mendapati bahawa makan hanya 2 auns daging proses setiap hari menyebabkan perkara-perkara berikut:

• Satu peningkatan sebanyak 42 peratus dalam risiko penyakit jantung.

• peningkatan sebanyak 19 peratus dalam risiko diabetes.

Menariknya, analisis serentak mendapati bahawa makan daging yang tidak diproses tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit. Penulis kajian membuat kesimpulan bahawa ia adalah garam yang diproses dan aditif kimia dalam daging diproses yang menyebabkan peningkatan risiko penyakit.

Mengapa sodium nitrite adalah racun
Apa yang penulis itu tidak sebutkan ialah sodium nitrite adalah racun, namun ia ditambah ke dalam hampir semua daging yang diproses sebagai "penyeri warna". Ia membuatkan daging mati yang kelabu kelihatan merah 'segar'. Ia ditambah kepada daging, sosej, hot dog, peperoni dan lain-² daging yang diproses.

Kami telah menulis dan memberi amaran kepada pembaca mengenai bahaya sodium nitrite selama tujuh tahun, dan dalam masa itu, telah banyak bukti telah ditunjukkan dalam kajian-kajian yang dilakukan oleh para saintis. USDA pernah cuba untuk mengharamkan penggunaan sodium nitrite di dalam makanan sejak 1970-an, tetapi ia telah ditolak oleh industri daging yang tahu bahawa bahan kimia ini mampu membuat daging kelihatan "lebih menarik" dan justeru meningkatkan jualan produk daging diproses. Walaupun menyebabkan kanser, sodium nitrite kekal dibenarkan dalam undang-undang perbekalan makanan proses hingga ke hari ini. Ini termasuk di negara ini Malaysia. Apa yang berlaku terhadap peraturan makanan dan ubat-ubatan di Amerika biasanya akan dituruti oleh pihak berkuasa di negara ini.

Kanak-kanak makan kuantiti besar produk daging diproses, termasuk hot dog, sosej dan burger. Semua produk daging proses yang mempunyai warna yang 'menarik' serta kemerah-merahan dibuat dengan sodium nitrite. Saya tidak mahu menyebut di sini produk manakah yang mempunyai daging yang kelihatan "merah" kerana anda patut ketahui sendiri dengan hanya melihat dengan mata kasar sahaja. Warna merah asal pada daging tidak akan bertahan lama selain ia dicampur dengan sodium nitrite.

USDA dan Kementerian Kesihatan tidak ingin ambil tahu dan tidak peduli tentang bahaya sodium nitrite. Mereka nampaknya tidak mempunyai kepentingan dalam keselamatan makanan selagi produk itu boleh dijual dan mendapat sambutan hangat, mereka menganggap ia "selamat" walaupun boleh mendatangkan kanser.

Pengguna jahil makan daging diproses
Hanya pengguna yang jahil tentang risiko kesihatan yang masih membeli dan makan bakon (daging khinzir proses), sosej, burger daging dan lain-lain produk daging yang diproses. Ia boleh dibeli dari tepi-tepi jalan, di pasar-pasar malam, di pasaraya besar malah di restoran-restoran terkenal. Pada asasnya, kita berbicara berkenaan kumpulan yang memakan daging yang diproses, yang termasuk dari keluarga berpendapatan rendah dan mewah, remaja, mereka yang merasa bangga dengan mengamalkan hidup gaya urban, individu yang  rendah IQ yang tidak dapat memahami konsep asas kesihatan dan doktor-doktor arus perdana yang masih belum menerima apa-apa kaitan antara makanan dan kesihatan. - Artikel oleh The Secret Medicines

Wednesday, January 9, 2013

Sodium Nitrite Dalam Produk Daging

Setelah membuat tinjauan dan kajiselidik tentang bahan pengawet yang paling popular untuk daging, di sini TSM mengambil resolusi bahawa:
1. sodium nitrite bukan saja bahan aditif yang paling banyak digunakan untuk mengawet daging termasuk daging sejuk beku di pasaraya besar malah turut digunakan untuk mengawet ikan
2. KFC memang menggunakan sodium nitrite dalam produk ayam goreng dan burgernya. KFC Malaysia tidak menjawab pertanyaan secara bertulis dari TSM
3. Ramly Burger tidak dapat dipastikan lagi tapi kemungkinan besar mereka juga menggunakan sodium nitrite. Ini ditambah dengan sikap mereka membisu dari memberikan jawapan dari email yang dihantar menimbulkan rasa syak
4. Burger King Malaysia menafikan menggunakan sodium nitrite sebagai bahan awet dalam jawapan yang diberi melalui email. Pencarian TSM ke atas resepi yang digunakan tidak menemui sebarang sodium nitrite digunakan dalam produk dagingnya
5. McDonald Malaysia hanya menggunakan sodium nitrite untuk produk hamburger daging khinzir di premis luar negara
6. terdapat sodium nitrite dalam pizza yang mengandungi potongan sosej daging Pizza Hut & Domino's
7. sodium nitrite digunakan secara meluas dalam produk daging restoran Subway

Sodium nitrite adalah bahan kimia yang merbahaya dan boleh menyebabkan kanser kepada manusia yang mengambilnya. Kontroversi ini masih berterusan hingga ke hari ini walaupun terdapat pihak yang berkepentingan cuba menafikan kaitan antara sodium nitrite dengan kanser.  - Artikel oleh The Secret Medicines

Gelang Magnetik: Suatu Bentuk Penipuan

Tidak berapa lama dahulu, ramai jurujual yang berjaya menjual gelang magnetik yang kononnya mempunyai caj ion yang mampu memberi keseimbangan, menyembuhkan penyakit, melegakan kesakitan atau apa saja yang mereka dakwa.

Bakal pengguna diuji dengan mendedahkan kelemahan yang ada pada  tubuh pengguna (biasanya pada lengan) sebelum menggunakan gelang magnetik, menolak badan anda ke satu sisi buat kali pertama. Tubuh anda menerima rangsangan dan ia memang membuktikan tubuh anda lemah dan tidak seimbang pada kedudukannya. Otak pula menerima tindakbalas ini dan akan menyesuaikan tindakan susulan untuk menentang tindakan yang sama jika ia berlaku lagi buat kali kedua. Kemudian dipakaikan gelang magnetik dan mereka uji di tempat yang sama, pada ketika ini  otak anda telah bersedia untuk memberikan tindakbalas perubahan untuk menerima rangsangan yang sama untuk menunjukkan kedudukan anda teguh dan seimbang. Sejak anda dipakaikan gelang itu, ia telah mengiringi fikiran anda untuk berfikir dan percaya bahawa ia adalah kesan dari gelang yang anda pakai. Selepas itu, anda percaya gelang itu mempunyai kuasa tertentu atau penyembuh terhadap tubuh anda.  Semudah itu!

Inilah yang dipanggil placebo effect. Menyembuh secara minda. Hasil dari ujian buat kali kedua adalah setelah minda anda diberitahu apa yang akan berlaku dan otak membuat persiapan untuk menghadapinya.

Pengguna yang tidak menyedari akan mudah terpedaya dengan kaedah ini dan akhirnya percaya bahawa gelang itu mampu memberi kekuatan tenaga dan keseimbangan tubuh.

Malang sekali itu semua tidak benar. Walaupun ramai selebriti memakai gelang magnetik malah menjadi duta kepada produk ini, ia langsung tidak memberi kesan kepada tubuh anda - kecuali jika anda percaya kepada gelang itu mempunyai kuasa sakti.  

Satu lagi dakwaan palsu penjual ialah bahawa gelang magnetik mampu meningkatkan perdaran darah dengan mempengaruhi besi-besi dalam sel darah. Jika perkara ini benar, seseorang yang menjalani ujian MRI sudah pasti akan meletup tubuhnya kerana kuasa magnetik yang kuat dalam mesin ini. Oleh itu, mengapa ia membuatkan anda percaya bahawa gegelang magnetik yang mempunyai beberapa butir kecil magnet di tangan mampu melakukan sesuatu terhadap aliran darah dalam tubuh anda?

Pada 2010, sebah syarikat pengeluar gelang magnetik terpaksa menarik balik dakwaan mereka kerana tidak dapat dibuktikan secara saintifik untuk menyokong dakwaan itu. Malah syarikat ini menghadapi tuntutan di mahkamah kerana membuat pengiklanan palsu dan penipuan.

Gunakan 'Otak' Untuk Sembuhkan Diri Sendiri, Bukan Gelang
Pengeluar dan penjual mendakwa gelang magnetik mampu meningkatkan keseimbangan tubuh, menambah kesihatan dan perubahan fisiologi. Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada bukti saintifik yang dapat membuktikan dakwaan mereka. Mereka yang memakia gelang ini dan percaya ia mampu memperbaiki kesihatan hanya terpedaya dengan pemasaran licik yang digunakan untuk meyakinkan pelanggan.

Sangat malang ramai pengguna mempunyai pemikiran sedemikian rupa dan percaya kesihatan boleh diperbaiki dengan cepat dan mudah hanya dengan memakai gelang magnet. - Artikel oleh The Secret Medicines

Elakkan Produk Berasaskan Soya

Satu pesanan ringkas kepada pembaca - Apa saja produk berasaskan soya jika ia tidak ditapai, ia boleh mendatangkan risiko penyakit thyroid. Oleh itu, pilihlah produk soya seperti tempe, dan kalau boleh kurangkan minuman soya di dalam kotak tau botol yang banyak terjual di peti sejuk pasaraya mahupun restoran-restoran.

Nanti kami akan tulis lebih mendalam tentang soya ini.

Tuesday, January 8, 2013

Krimer Tiruan

Setiap pagi, berjuta-juta manusia di Malaysia menggunakan krimer bukan tenusu dalam minuman kopi atau teh sarapan pagi mereka sebelum pergi ke tempat kerja. Krimer ini terkandung dalam hampir semua jenis minuman campuran 3 dalam 1 yang menjadi trend terkini.

Kebanyakan orang tidak sedar apa yang terkandung di dalam krimer itu. Ada juga yang menganggap ia lebih baik sebagai menggantikan susu yang berlemak. Sebenarnya ia diperbuat dari tidak lain dan tidak bukan bahan-2 kimia dan lemak sayuran (hydrogenated oil), penstabil, sodium kaseinat, pemanis tiruan dan lain-lain aditif yang murah dan mudah diperolehi dan ia larut di dalam kopi atau teh. Hari ini, ia juga turut mengandungi sirap jagung (HFCS).

Ia tidak mengandungi krimer yang sebenar sebaliknya hanya menjadikan minuman bertukar warna dan rasa. Ia bukan sejenis bahan yang patut masuk ke dalam mulut kita.

Amat melucukan mereka mendakwa krimer ini sebagai 'krimer bukan tenusu' padahal sodium kaseinat itu sendiri adalah terhasil dari protin susu.

Bagaimanapun, terdapat juga produk krimer yang berasal dari santan kelapa dan ia adalah sesuai dan boleh diminum. Apa yang perlu dilakukan, pengguna perlu mencari maklumat kandungan yang tertulis pada bungkusan krimer tersebut sebelum mengambilnya.

Isu Berkenaan E-Cigs

Ramai yang marah dengan artikel tentang e-cigs. Lebih ketara lagi artikel ini mendapat pelawat yang agak tinggi dalam tempoh yang singkat mengatasi artikel lain yang telah lama disiarkan.

Kami ingin menyatakan di sini bahawa TSM tidak menghalang sesiapa untuk terus membekal, mengedar, menjual atau menggunakan produk e-cigs ini. Apa yang ditulis adalah pandangan TSM. Kami tidak mempunyai apa-apa motif selain memberi nasihat kepada orang ramai. Terpulang kepada mereka sama ada mahu mendengar atau tidak. Perlu diketahui bahawa e-cig mula diperkenalkan di China, ia bukan berasal dari teknologi Barat atau Jepun.

Jika anda mahukan ulasan yang 'positif' tentang e-cig, di sini bukan tempatnya. Laman ini tidak memberikan pujian kepada produk-produk yang memburukkan kesihatan pengguna. Anda boleh dapatkan ulasan yang positif di laman-laman web pengeluar produk e-cig demi menyedapkan hati anda. 

Jika anda seorang pengguna tegar e-cig dan anda merasa marah dengan artikel tersebut, dan mahu terus menyedut rokok elektronik ini, kami tidak dapat berbuat apa-apa. Terpulang kepada diri masing-². Itu hak individu.  

Aspartame Dalam Produk 'Herba' Langsingkan Tubuh

Pengguna hari ini dinasihatkan agar berhati-hati dengan pelbagai produk kesihatan yang mendakwa menggunakan herba-herba asli sebagai strategi pemasaran pengeluar.

Suatu jenama yang tidak kurang popular dan boleh dikatakan hampir setiap hari produk ini diiklankan di dalam akhbar-akhbar utama. Tergerak hati kami untuk melihat apakah ia benar-benar memberi kesan seperti yang didakwa melalui testimoni-testimoni pelanggan yang agak meyakinkan.

Apabila membaca kandungan bahan-bahan yang digunakan sebagai pemanis tanpa gula, adalah amat mengejutkan apabila menemui kandungan Aspartame dalam produk yang dikatakan 'asli' untuk melangsingkan badan.

Sebenarnya tidak ada produk pelangsingan badan dalam dunia ini yang mampu menurunkan berat badan dengan hanya menelan pil atau meminumnya dalam masa yang sama anda boleh makan di restoran fast food, minum minuman berkarbonat sebanyak-banyaknya mengikut nafsu dan kemahuan anda. Jika anda benar-benar ingin tubuh langsing, kawal diet anda, disiplinkan diri anda dalam hal makan minum, anda perlu menjadi cerewet, kenali herba-herba asli dan biasakan diri anda dengannya, makan makanan semulajadi, elakkan makanan yang sudah diproses secara total, amalkan senaman dan anda tidak perlukan produk yang pelik-pelik dan mencurigakan.

Kami tidak mahu menulis lebih mendalam lagi tentang 'aspartame' ini kerana ia telah banyak kali ditulis dalam posting-posting terdahulu, anda boleh taip aspartame dalam ruangan 'Search' di atas dan akan tersenarai sejumlah artikel yang menceritakan tentang bahaya dan keburukan aspartame dalam Blog ini. Salah satu risiko mengambil aspartame ialah - KANSER!

Beza Garam Putih, Garam Bukit & Garam Semulajadi

Kali ini kami ingin menyatakan perbezaan di antara garam bukit yang didakwa garam 'asli' dan garam semulajadi dari pergunungan Himalaya serta garam laut. Ramai yang terkeliru dengan jenis-jenis garam yang terdapat di pasaran hari ini dan mereka kurang mendapat maklumat tentang mana satu yang terbaik untuk tubuh kita.

Garam ialah sejenis mineral. Dalam bahasa kimia, ia dipanggil sodium klorida. Garam menambah perisa kepada makanan dan sebagai bahan pengawet. Garam adalah satu-satunya jenis 'batu' yang boleh dimakan manusia. Apa saja jenis garam sama ada garam bukit, garam laut atau garam putih datang dari alam semulajadi. Kaedah pemprosesan selepas itu menjadikan garam-garam ini berbeza.

Garam putih berasal dari lautan atau batu dari gunung. Ia sebenarnya sudah diproses dan 'dibersihkan' agak keterlaluan. Sama seperti memproses gula tebu untuk dijadikan gula putih. Garam putih boleh didapati di kedai-kedai runcit biasa. Walaupun ia berasal dari alam semulajadi, ia sudahpun melalui proses kimia dan menjadikan ia tidak sesuai untuk tubuh manusia. Tetapi 99% pengguna di negara ini masih menggunakan garam jenis ini untuk masakan.

Garam laut pula berasal dari lautan. Warnanya agak kelabu tidak seperti garam putih yang berwarna putih 'bersih'. Garam laut didapati dari lautan dan dikeringkan melalui proses evaporasi cahaya matahari untuk mendapatkan kristal. Ia hampir 100% asli dan lebih baik dari garam putih.

Garam bukit (seperti gambar) pula berasal dari gunung-ganang. Warnanya ialah kemerahan atau pink. Yang terbanyak di pasaran ialah garam Himalaya - iaitu digali dari batu mineral di pergunungan Himalaya. Garam ini adalah adalah seratus-peratus asli dan hampir tidak diproses. Ini adalah jenis garam yang terbaik untuk manusia. Ia mengandungi mineral-mineral yang diperlukan oleh tubuh manusia seperti potasium, kalsium, magnesium, zink dan berpuluh-puluh jenis mineral lain. Pergunungan Himalaya boleh dikatakan masih bebas dari pencemaran alam dan garam di sini adalah jenis yang terbaik. Garam bukit asli ini juga boleh diperolehi di kawasan pergunungan negara-negara Eropah tetapi di sini terdapat banyak pencemaran.

Terdapat satu senario jenis garam yang terdapat di pasaran yang didakwa 'garam asli' atau 'garam bukit' tetapi yang peliknya ia berwarna putih bersih hampir tiada beza dengan garam putih biasa. Agak melucukan mengatakan ia adalah garam asli. Sebenarnya ia bukan jenis yang berbeza tetapi sama dengan garam putih. Dakwaan sebegini adalah salah satu strategi pemasaran (penipuan produk) kerana semua garam putih berasal sama ada dari lautan atau gunung. Disebabkan ia diperolehi dari gunung, maka dengan mudahnya pengeluar meletakkan label sebagai 'garam bukit' dan 'garam asli'. Jika ia benar-benar garam asli yang diambil dari kawasan pergunungan, warnanya tidak seputih sedemikian rupa. Jadi, ia sudah pasti diproses secara keterlaluan. 

Hari ini, berbagai helah telah digunakan oleh pengeluar untuk menarik perhatian pelanggan dan sebagai pengguna, kita perlu bijak mendapatkan informasi terkini dan menyelidik apa agenda di sebalik semua dakwaan itu.























Detox Terapi Ion Kaki: Benar Atau Penipuan

Benarkah terapi ion kaki dengan merendamkan kedua belah kaki di dalam larutan garam yang dilalukan caj elektrik dapat mengeluarkan toksik di dalam badan kita? Sehingga hari ini masih tiada bukti saintifik yang mengesahkan kaedah ini berkesan membuang toksik dari tubuh anda.

Apa yang kita dengar dari testimoni pesakit adalah berbentuk hipotesis di mana perbezaan yang dirasai setelah menjalani terapi ion mungkin dalam bentuk psikologi sahaja, tidak lebih dari itu.

Sambil mendakwa kaedah seperti ini adalah semulajadi tanpa menggunakan dadah dan tiada kesan sampingan, ia sebenarnya tidak memberi apa-apa kesan terhadap tubuh anda sama ada tambah memburukkan atau memperbaiki tahap kesihatan tubuh anda. 

Sebenarnya larutan garam yang diberikan caj elektrik dengan menggunakan 2 besi elektrod positif dan negatif memang akan menukar warna larutan menjadi partikel kehitaman, hijau, coklat perang, kuning dan sebagainya dalam tempoh beberapa minit - tanpa merendamkan kaki anda di dalamnya. Ini dianggap sebagai 'bukti' kehadiran 'toksin' dari kaki anda. Sebenarnya saya telah mencuba sendiri eksperimen ini di rumah dengan menggunakan bateri kereta - terbukti 'kehadiran' toksin pelbagai warna seperti disebut di atas dalam larutan garam - tetapi tanpa perlu saya merendamkan kaki ke dalam larutan itu. Perubahan warna larutan adalah disebabkan proses pengoksidaan besi (karat) iaitu proses yang disebut elektrolisis. Bagaimana mereka boleh mendakwa itu semua datang dari kaki anda?

Jika anda masih belum yakin, boleh cuba sendiri dengan pergi ke pusat terapi ion tetapi jangan rendamkan kaki anda ke dalamnya. Pemilik pusat terapi pasti akan 'memaksa' anda meletakkan kaki anda ke dalamnya.

Dalam sebuah kajian, sampel larutan diambil untuk melihat unsur-unsur 'toksik' yang hadir di dalamnya. Penemuan mendapati tiada kesan logam berat ataupun unsur biologi dari tubuh manusia sebaliknya ia hanya datang dari logam elektrod yang digunakan.

Sakit kepala, lemah-lemah badan, masalah hati dan buah pinggang tidak boleh dirawat dengan kaedah ini atau berbagai kaedah detox seperti menggunakan pad kaki atau rawatan spa. Ramai doktor, saintis dan pakar perubatan percaya produk sebegini tidak mencuci apa-apa dari tubuh anda kecuali 'mencuci' poket anda. Jika benar, mengapa pad kaki tidak memerlukan caj elektrik untuk membuang toksin dari kaki anda?

Cara yang sebenar untuk membuang segala toksin di dalam tubuh disebabkan gaya hidup anda selama ini seperti merokok, alkohol, makanan yang tak menyihatkan dan berlemak, kandungan gula dan garam yang tinggi atau kesan-kesan sampingan dari ubat-ubatan ialah dengan melakukan perubahan gaya hidup yang positif dalam jangka masa yang panjang, bukan dalam masa yang singkat seperti merendamkan kaki atau melekatkan pad pada kaki semalaman.

Artikel lain yang berkaitan:

http://thesecretmedicines.blogspot.com/2013/02/sembunyikan-kebenaran-kerana-wang.html

http://thesecretmedicines.blogspot.com/2013/02/dakwaan-tidak-berasas-pengusaha-detox.html


Labels