Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Sunday, August 5, 2012

Sihat Tanpa Insuran

Perlukah kita semua membayar insuran kesihatan demi memastikan masa depan kita 'cerah' apabila mengidap penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, diabetes dan lain-lain?

Jawapannya mudah, ia bergantung kepada apa yang anda makan. Penyakit sebenarnya datang dari makanan, bukan keturunan. Jika anda seorang yang tidak mengawal corak pemakanan anda, makan tanpa mempedulikan apa yang ada dalam makanan anda, semuanya anda lakukan demi memastikan selera makan anda tercapai dan memuaskan nafsu anda sendiri, anda memang seorang yang memerlukan insuran kesihatan. Kerana risiko mendapat penyakit orang seperti ini memang tinggi. Dan apabila tiba masanya, anda akan diberikan kemudahan mendapat pembiayaan kos perubatan yang tinggi tetapi belum tentu dapat menjamin anda akan hidup sihat selepas itu.

Orang yang sanggup mengambil insuran kesihatan adalah mereka yang tidak yakin dengan kesihatan tubuh mereka sendiri disebabkan mereka sering makan makanan proses dan mengandungi bahan kimia serta bahan-bahan dari ujikaji makmal. Yang pasti, industri kesihatan mengaut keuntungan berpuluh malah beratus ribu ringgit dari pelaburan insuran anda selama bertahun-tahun itu dan anda tidak akan menikmati satu sen pun dari wang insuran anda itu. Malah jika risiko penyakit yang anda takuti itu sebenarnya hanya di atas kertas saja dan anda sebenarnya seorang yang sihat, maka wang insuran yang anda bayar setiap bulan itu lesap begitu saja apabila sampai masanya dan syarikat insuran mengaut keuntungan berkali ganda dari risiko yang mereka cipta di atas kertas.

Ada sesetengah orang atau ejen insuran tentu akan berkata, insuran adalah persediaan. Saya ingin bertanya kembali, tahukah mereka bagaimana nasib dan takdir masa depan kita seolah-olah pasti akan mendapat penyakit? Kalau benar kenapa tidak bertindak dari sekarang dengan mengelak dari memakan makanan yang boleh mendatangkan penyakit? Kenapa perlu menyerahkan saja nasib kita untuk ditentukan oleh syarikat insuran!

Jadi apa perlunya anda membuat bayaran setiap bulan kepada syarikat insuran jika anda yakin anda tidak mudah diserang pelbagai jenis penyakit kronik zaman moden ini. Anda tidak perlu mengeluarkan sebahagian dari pendapatan anda setiap bulan untuk membayar sesuatu yang anda mungkin tidak akan gunakan. Anda tidak perlu membelanjakan sebegitu banyak wang untuk sesuatu yang tidak wujud.

Adalah lebih baik anda gunakan wang itu untuk membeli makanan-makanan superfood, bernutrien tinggi dan organik yang baik untuk tubuh anda. Secara fisiologi, tubuh manusia dicipta untuk memakan makanan semulajadi. Bukan bahan yang diproses atau yang dihasilkan di makmal. Walaupun produk makanan organik mungkin agak mahal dari makanan proses, anda tidak perlu membayar insuran setiap bulan.

Jadi bagaimana mereka yang tidak mengambil polisi insuran kesihatan amat pasti mereka tidak akan mengidap kanser di masa akan datang? Jawapan bagi soalan ini adalah mudah dan saya kembalikan anda kepada persoalan yang mula-mula ditanya di atas sebelum ini iaitu ianya bergantung kepada apa yang anda makan.

Anda tidak akan mendapat kanser begitu saja jika anda makan makanan semulajadi dan asli. Anda tidak akan disahkan mengidap diabetes jika anda tidak makan makanan proses seperti sirap jagung, makan makanan junk food, membeli-belah di 7-Eleven dan anda tidak pernah mendengar perkataan organik. Anda juga tidak akan menerima risiko penyakit jantung jika anda mengawal pemakanan anda, jika anda makan makanan berlemak, anda perlu meneutralkan lemak yang anda perolehi dengan mengambil makanan pemecah lemak dan bernutrien tinggi demi memastikan setiap apa yang anda makan, ada check and balance. Kerana itu anda sepatutnya yakin anda tidak memerlukan insuran kesihatan.

Di dalam sistem kapitalis, RISIKO dan PENYAKIT bukan hanya suatu PRODUK perniagaan, malah ia perniagaan yang menguntungkan. Syarikat insuran mengaut keuntungan daripada takdir yang belum pasti dengan mewujudkan spekulasi dan merekacipta berbagai jenis risiko yang belum terjadi. Anda tetap membayarnya setiap bulan dalam masa yang sama anda membencinya. Jika anda gagal mengikuti jadual bayaran sebulan atau 2 bulan berturut-turut, wakil insuran akan menghubungi anda secepat mungkin meminta anda melunaskan bayaran yang "tertunggak." Anda sudah mula berhutang dengan syarikat insuran. Syarikat insuran menjadikan wang anda sebagai modal atau kapital untuk dilaburkan ke dalam saham syarikat-syarikat besar dan menjana keuntungan berlipat kali ganda dari apa yang anda bayar.

Industri farmasitikal pula mengaut keuntungan dari pelbagai jenis penyakit. Kajian statistik jenis perniagaan yang paling berjaya dan banyak mengaut keuntungan di dunia ketika ini ialah menjual produk-produk farmasitikal dan kosmetik. Ia melibatkan transaksi wang berbilion-bilion dolar AS setahun.

Di Amerika di bawah pentadbiran Obama, ahli-ahli Kongres sedang berusaha untuk meluluskan undang-undang mewajibkan setiap warganegara mengambil polisi insuran kesihatan. Respon dari aktivis-aktivis pemakanan semulajadi menganggap ia sesuatu yang gila, melucukan dan ada agenda tersembunyi. Mereka menyatakan bahawa setiap warganegara berhak menentukan kesihatan diri sendiri, memilih jenis-jenis makanan yang mereka ambil dan tidak berhak memaksa setiap orang mengambil polisi insuran kesihatan.

Begitulah sedikit gambaran tentang sistem kapitalis yang ada pada zaman ini. Mereka kini telah menguasai industri makanan dan perubatan.

Kita sebagai konsumer sepatutnya bijak dalam menentukan haluan  hidup kita dan tidak menyerahkan masa depan kita untuk 'diuruskan' oleh orang lain. Apabila pihak ketiga diberikan peranan untuk menguruskan nasib kita, mereka tentu mahukan sesuatu faedah atau pulangan. Tidak ada pihak yang mahu melakukan sesuatu secara percuma. Inilah yang terjadi bila manusia terlalu bergantung harap kepada manusia lain.

Kita berharap negara kita tidak akan berbuat perkara yang sama iaitu mewajibkan setiap rakyat membeli insuran seperti apa yang terjadi kepada insuran kenderaan. Jika ini berlaku, ia harus ditentang habis-habisan. Saya tidak bermaksud menghalang mereka yang ingin membeli polisi insuran kesihatan. Jika mereka berkemampuan, tidak kisah dan suka membayangkan diri mereka terlantar di katil hospital mewah kelas pertama dengan layanan jururawat yang exclusive dengan jadual berbilang jenis suntikan setiap hari disambung berbilang jenis wayar elektrik dan tiub cecair di terlekat di seluruh badan ketika hari tua nanti, kerana sememangnya mereka sedar diri mereka berpenyakit, teruskan. Itu hak individu. Tetapi ia tidak boleh dipaksa ke atas setiap orang.

Jika ini yang berlaku kepada anda di hari tua nanti, anda sememangnya sudah terlambat. Anda akan merana sepanjang tempoh rawatan. Orang lain seusia anda sedang berada di rumah mengecapi kebahagiaan menghabiskan sisa-sisa hidup tetapi anda sedang terlantar merana berbulan-bulan di katil hospital swasta. Kesudahan episod hidup anda ialah kesengsaraan.

Layanan mewah boleh dibeli dengan polisi insuran. Tapi kebahagiaan sebenar dalam hidup mengecapi hari-hari akhir tidak dapat disediakan oleh syarikat insuran dan kaedah perubatan moden.




Labels