Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Sunday, September 30, 2012

GMO: Pengenalan

Bagi pembaca yang masih tidak mengerti apa itu makanan GMO atau Organisma Ubahsuai Genetik,  di sini saya ringkaskan sedikit untuk pengetahuan.

Makanan GMO dihasilkan dari benih yang diubahsuai secara genetik. Saintis berupaya untuk mengubah fungsi dan pertumbuhan tanaman melalui teknik kejuruteraan genetik yang dilakukan di makmal. Hasilnya, tanaman mampu menahan sernagan serangga perosak, cuaca kering dan bakteria. Malangnya, bukan ini saja yang boleh dilakukan. Penyelidik menemui banyak keburukan kepada kesihatan manusia dan haiwan yang memakan makanan GMO.

Dalam usaha memperbaiki bekalan makanan kepada manusia dan haiwan, sebahagian penyelidik dan saintis percaya kaedah jalan pintas telah digunakan. Debunga dari jagung yang telah diubahsuai secara genetik telah menyebabkan kematian kepada ulat beluncas. Toksin dari debunga jagung GMO dihasilkan untuk membunuh serangga perosak. Dalam masa yang sama ia juga turut membunuh lain-lain serangga yang memainkan peranan penting dalam sistem ekologi.  

Ubi kentang GMO yang dihasilkan di United Kingdom yang kebal kepada serangan serangga perosak menyebabkan masalah serius kepada haiwan yang memakannya. Haiwan itu didapati hilang sistem imunisasi dan mendatangkan kanser dalam sistem penghadaman.

Makanan GMO bererti ia menjana keuntungan dalam masa yang singkat tetapi kesan jangka-panjang kepada manusia masih belum terbukti selamat.

Saturday, September 29, 2012

Tumor Akibat GMO Monsanto

Gambar di atas dikeluarkan oleh sebuah kumpulan penyelidik di Perancis menunjukkan tumor kanser pada tikus yang diberi makanan jagung GMO keluaran Monsanto sepanjang masa. Menurut kajian itu lagi, 70% tikus betina mati sebelum cukup membesar dan mendapati kerosakan teruk pada organ buah pinggang, hati dan lain-2. 

Monsanto adalah syarikat gergasi yang juga menghasilkan racun serangga Round-Up selain mempatenkan benih jagung yang dibekalkan kepada syarikat pengeluar makanan bijirin seperti Kellog's dan Quaker. Mereka membelanjakan berpuluh juta dolar AS untuk cuba membantutkan usaha kumpulan aktivis makanan semulajadi yang dikenali sebagai Proposition 37 (Prop 37) untuk meluluskan pelabelan GMO pada bungkusan produk makanan. Mereka tidak mahu pengguna mengetahui bahawa produk mereka mengandungi GMO iaitu racun dalam makanan anda.Jika anda memakan produk GMO, anda sebenarnya memakan racun!

Monsanto juga tidak mengembangkan teknologi kepada peladang-peladang sebaliknya mempatenkan benih agar seluruh peladang di Amerika menggunakan benih mereka dan hakcipta paten digunakan untuk menghukum peladang-peladang yang tidak mahu mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh mereka.

Jika benih GMO milik Monsanto didapati tersebar di ladang milik peladang yang tidak menggunakan teknologi GMO, peladang tersebut akan didakwa di mahkamah atas tuduhan 'mencuri hakmilik Monsanto.'

Friday, September 28, 2012

Florida Turunkan IQ

Kajian terbaru terus menyediakan bukti florida yang digunakan dalam bekalan air terawat di negara-negara membangun termasuk  Malaysia lebih banyak mendatangkan keburukan dari faedah.

Dalam kenyataan media kumpulan Fluoride Action Network, penemuan terbaru mendapati florida berkait dengan tahap IQ yang rendah.

Sebanyak 34 kajian dijalankan dan hasilnya melibatkan tahap IQ yang rendah manusia dari segi memori dan pembelajaran, kerosakan otak dan perubahan paras hormon tiroid.

"Penggubal undang-undang yang membenarkan penggunaan florida  dalam bekalan air domestik tanpa mengambil kira penyelidikan yang dijalankan sebenarnya tidak memberikan khidmat dan kebaikan kepada kesihatan orang ramai," kata peguam Fluoride Action Network, Michael Connett.

Sebanyak 8 negara membangun di dunia yang meletakkan florida dalam lebih 50% jumlah bekalan air iaitu Amerika, Israel, Ireland, Malaysia, Singapura dan beberapa lagi.

Florida boleh ditemui secara semulajadi dalam bentuk mineral dari muka bumi tetapi florida yang digunakan untuk bekalan air domestik dan ubat gigi bukanlah florida yang didapati secara semulajadi. Ramai yang membuat tanggapan yang silap dalam hal ini. 

Florida itu berasal produk sampingan industri aluminium dan fertilizer. Ia bahan yang terhasil dari pemprosesan bahan yang lain. Demi mengelakkan dari bahan ini dibebaskan ke atmosfera dan mencemar alam, sebaliknya ia dijual pula kepada pengguna sebagai bahan dalam bekalan air dan ubat gigi. Sekali lagi pengguna membayar dan menyokong industri yang menghasilkan bahan yang merosakkan tubuh badan pengguna.

Kebanyakan negara-negara Eropah menolak penggunaan florida kerana ia didapati tidak selamat. Sebuah komuniti ujian yang dibekalkan di Eropah mendapati tiada apa-apa faedah yang diperolehi sebaliknya ia terbukti ia bertoksik. Belanda mengharamkan penggunaan florida selepas menjalankan kajian selama 23 tahun. Jerman pula tidak menerima alasan walaupun penggunaan dos yang terlalu sedikit, ia boleh mendatangkan risiko kesihatan dalam jangka masa panjang. Sebahagian kawasan di Amerika seperti Los Angeles, New Jersey dan Massachusetts juga tidak menggunakan florida atas desakan orang ramai.

Kalsium florida, natrium florida, hidroflorida, semuanya sama. Kini negara China sudah mengambil bahagian pengeksport florida dan merupakan antara pembekal florida terbesar di dunia.

Memandangkan terdapat begitu banyak penemuan dari kajian florida yang dilakukan hari ini, adalah lebih selamat untuk mengelak dari menggunakan semua produk yang mengandungi florida.

Bagi mereka yang tiada sistem penapisan air di rumah, anda boleh didihkan air selama 15 minit kemudian simpan di dalam peti sejuk selama setengah jam sebelum meminumnya.  Adalah berbaloi untuk berbelanja sebahagian dari wang anda membeli sistem penapisan di rumah kerana anda akan mendapat bekalan air yang selamat sepanjang hayat. 

Thursday, September 27, 2012

Gula, Tepung & Diabetes (Bah. I)

Ini adalah masa yang paling sesuai (sebenarnya sudah terlewat bagi kebanyakan penderita diabetes tahap kronik) untuk bercakap tentang gula putih, tepung putih dan penyakit diabetes. Ia ulasan yang anda tidak akan temui dari sumber arus perdana atau konvensional. Kita sedang berada di sekeliling manusia yang sedang dan bakal mengalami 'epidemik' diabetes walaupun diabetes bukanlah sejenis penyakit yang boleh merebak melalui udara atau sentuhan seperti wabak. Mendengar berita rakan atau orang yang dekat dengan anda menderita diabetes bukanlah seperti mendengar berita yang pelik hari ini.Saya sendiri sudah biasa mendengar penderita diabetes di kalangan sahabat dan saudara darah daging.

Kita sebenarnya ada masalah dengan gula. Pengambilan gula kita sudah melebihi tahap sepatutnya. Dalam pada itu, pihak berkuasa dan pengeluar makanan proses tidak pernah mempedulikan perkara ini apatah lagi menasihati anda supaya berhenti mengambil gula. Selain dari gula yang ada di dapur, anda juga mengambil gula dari sumber luar iaitu dalam biskut kering, di dalam kek dan roti, di dalam minuman berkarbonat, di dalam makanan ringan dan gula-gula, di dalam menu di restoran, termasuk gula yang terdapat secara semulajadi di dalam makanan seperti nasi dan ubi kentang. Boleh dikatakan tiada satupun makanan yang anda makan hari ini tidak mengandungi gula.

Cukai yang anda bayar juga digunakan untuk menampung subsidi gula. Wang anda disalurkan kepada industri yang menghasilkan makanan yang membawa kerosakan kepada tubuh anda malah membawa maut. Itulah situasi sebenar hari ini. Sebab itu anda tidak akan dengar kebenaran ini di mana-mana medium kecuali sedikit sahaja dan anda bertuah kerana mendapat maklumat ini di sini.

Maklumat sebegini tidak digemari oleh industri gula dan pengusaha makanan/minuman yang menjana keuntungan dari penderitaan anda. Industri gula sangat menguntungkan. Oleh itu pengusaha tidak mahu anda tahu kaitan di antara gula putih, tepung putih dan penyakit diabetes. Ini yang akan saya beritahu anda di sini.

Jika anda mengambil gula untuk tempoh yang lama, dari kecil hingga usia tua, episod anda kemungkinan akan berakhir di dalam bilik pembedahan untuk memotong sebahagian anggota tubuh anda. Hakikat yang tidak ramai orang tahu, lebih separuh dari operasi pemotongan sebahagian anggota tubuh di negara ini adalah disebabkan diabetes yang berpunca dari pengambilan gula berlebihan. Ini statistik yang mahu disembunyikan dari pengetahuan anda oleh industri gula.

Pada awal 1800-an, manusia hanya makan kira-kira 5-6 kilogram gula setahun. Hari ini, selepas kira-kira 200 tahun sejak itu, manusia makan lebih dari 80 kilogram gula setahun. Sebahagian orang makan lebih dari 150 kilogram gula setahun. Ia bersamaan dengan hampir setengah kilo sehari. 

*Anda patut membuat perkiraan pengambilan gula anda seperti ini sebaik habis membaca artikel ini.  

Pengambilan gula dengan jelas sekali meningkatkan risiko diabetes, hipoglikemia dan beberapa kekurangan nutrisi. Bila doktor mengatakan ia berkaitan dengan keturunan, dia sebenarnya tiada idea tentang apa yang dia katakan. Ramai yang tidak sependapat dengan saya tentang perkara ini. Mereka mengatakan genetik membawa penyakit.

Sebenarnya ia bukan disebabkan keturunan. Ia disebabkan oleh apa yang anda makan. Manusia tidak berubah sejak 200 tahun lalu. Malah sejak manusia diciptakan. Apa yang berubah ialah diet mereka, apa yang mereka pilih untuk dimasukkan ke dalam mulut.

200 tahun dulu, kira-kira 3 dari 100,000 manusia mengalami diabetes. Hari ini pesakit diabetes begitu ramai. 15 hingga 20 peratus orang dewasa berusia lebih 50 tahun menderita diabetes dan satu pertiga belia dilaporkan pra-diabetes. Pra-diabetes bermaksud diabetes di peringkat permulaan.

Apa sebenarnya yang berubah sejak dahulu hingga sekarang? Adakah genetik manusia atau manusia mengalami evolusi sepertimana haiwan? Sudah tentu tidak. Apa yang berubah ialah pengambilan gula terutama tepung putih atau sirap jagung yang terdapat di dalam apa saja makanan dan minuman hari ini.

Pada tahun 2000, lebih 213,000 orang mati disebabkan komplikasi diabetes di Amerika. Itu angka yang direkodkan. Jangkaan jumlah semuanya menghampiri setengah juta kematian setiap tahun.

bersambung...
 

Tuesday, September 25, 2012

Tuntutan Label GMO Pada Bungkusan

Aktivis makanan semulajadi di California sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan kerajaan supaya mewajibkan label GMO dipaparkan pada bungkusan makanan yang telah melalui proses ubahsuai kejuruteraan genetik.

Tuntutan yang diberi nama Prop 37 akan dibentangkan pada 6 November ini di mahkamah di California. Sama ada keputusannya memihak kepada mereka atau tidak, ia bakal memberi kesan yang besar kepada perusahaan makanan di dunia.

Jika tuntutan ini diluluskan, maka semua industri makanan di seluruh dunia bakal menghadapi kemungkinan kemerosotan jualan kerana pengguna sudah tentu tidak akan membeli produk makanan yang ditulis 'mengandungi GMO' kerana ia sudah tentu memberi tanggapan yang negatif terhadap makanan itu. Kebaikannya kepada pengguna, selain dapat memilih yang lebih baik, kemungkinan tiada lagi tekonlogi kejuruteraan diaplikasi ke atas makanan kerana ia tidak mendapat sambutan pengguna.

Sebaliknya jika tuntuan mereka tidak mendapat kelulusan, industri makanan dari kejuruteraan bakal meluaskan lagi penggunaannya malah mungkin berbagai lagi teknologi baru dicipta dengan tujuan untuk menjadikan makanan mereka semakin laris malah kesan sampingan kepada pengguna tidak lagi diambil kira. Ia bakal memberi tanggapan kepada pengguna bahawa makanan GMO 'selamat' dimakan dan produk sebbegini bakal melimpahi pasaran makanan di seluruh dunia.

Tahukah anda apa akan terjadi kalau perkara begini diluluskan di Malaysia? Semua restoran makanan segera seperti KFC, McDonald, Burger King, Pizza Hut, produk Coca-Cola dan minuman berkarbonat, sos-sos dan kicap, makanan ringan, makanan-2 yang tersusun di rak-rak jualan di pasaraya seperti Tesco, Giant, Jusco semuanya mengandungi amaran tertulis pada bungkusan seperti "Produk Ini mengandungi GMO" atau "Amaran: GMO".

Antara syarikat yang menentang peraturan pelabelan GMO ini ialah seperti di bawah.


Monday, September 24, 2012

Harga Makanan Organik Melonjak

Sejak 2-3 tahun ini, pemborong makanan organik sudah mula mengambil kesempatan menaikkan harga barangan mereka hingga ke paras yang terlampau tinggi melangkaui jangkaan. Yang paling ketara sekali ialah harga gula organik. Kalau dahulu saya boleh dapatkan dengan harga RM5.50 sekilo, hari ini ia sudah mencecah lebih RM10.

Gula organik kebanyakannya diimport dari negara Brazil, Venezuela & Filipina. Walaupun kerajaan tidak memberikan subsidi terhadap gula organik, peniaga tetap menaikkan harga sejak subsidi gula putih dikurangkan. Sebenarnya ia tiada kaitan dengan subsidi kerajaan, sama ada harga gula putih naik atau kurang, gula organik sepatutnya tidak menerima kesan kenaikan harga yang terlampau tinggi.   

Inilah perkara yang sangat mengecewakan TSM di mana pengusaha dan peniaga mengambil kesempatan mengaut untung berlebihan ke atas produk yang baik untuk pengguna.

TSM berharap kerajaan masuk campur dalam isu ini kerana lama-kelamaan harga barangan organik bukan saja gula malah produk lain juga akan mengalami nasib yang sama. Ini membuktikan betapa rakusnya pemborong dan peniaga yang tidak pedulikan kesusahan orang lain mendapatkan produk yang memberi manfaat dari segi kesihatan. Kita sebagai penggemar makanan organik tidak lagi mampu berbuat apa-apa selain terus saja membeli walaupun harganya meningkat begitu tinggi dalam masa yang begitu singkat. Bagaimana hendak memboikot kalau barangan sebegini amat terhad di pasaran. 


Sunday, September 23, 2012

Siapa Di Sebalik Industri Tembakau

Saya sarankan pembaca klik pautan ke Blog baru saya di bawah walaupun tiada kaitan dengan makanan tetapi berbaloi untuk pengetahuan.
http://tanyaprof.blogspot.com/2012/09/singa-judah-menguasai-keperluan-nikotin.html

Monday, September 17, 2012

Lidah Kita Sudah Sebati Dengan MSG

MSG, singkatan dari monosodium glutamat atau mononatrium glutamat adalah bahan kimia penambah perisa makanan yang ada hampir dalam semua makanan proses yang kita makan hari ini. Ajinomoto adalah satu jenama untuk produk 100% MSG.

Tidak ketinggalan restoran-restoran makanan segera yang terdapat di seluruh negara, seolah-olah mereka tidak akan wujud tanpa MSG.

Pengalaman saya mengembara ke sebuah daerah perdalaman berasaskan pertanian di Sumatra Barat pada tahun lepas sedikit sebanyak memberikan kesedaran betapa lidah rakyat di negara kita sudah begitu sebati dengan MSG. Apabila makan di gerai-gerai dan restoran (di sini dipanggil Rumah Makan) dalam beberapa daerah di sini (bukan seperti Thailand yang popular dengan Ajinomoto), ada sesuatu yang membuatkan saya merasa ada sesuatu yang kurang berbanding negara kita. Masakan mereka yang terkenal dengan gelaran Nasi Padang langsung tidak merangsang lidah saya. Walaupun cukup rasa garam atau gulanya, ia langsung tidak meninggalkan rasa keinginan untuk makan lagi di situ. Ia hanya sekadar membuatkan perut rasa kenyang dan makan secara perlahan-lahan (tidak gelojoh). Saya cuba menyelidiki apa yang tidak kena dengan masakan mereka. Rupa-rupanya ada di kalangan penduduk setempat tidak tahu apa itu MSG. Ada sebahagiannya tahu tetapi mereka tidak menjadikan ia sebahagian dari resepi dalam masakan.

Maka tidak hairanlah mengapa masakan di daerah ini rasa sedemikian. Tetapi ini hanya di daerah ini sahaja. Ia tidak menggambarkan bahawa seluruh negara tidak menggunakan MSG. Jika pergi ke restoran-restoran makanan Barat di sini, belum tentu mereka tidak menggunakan MSG.Dan kewujudan restoran nasi padang di negara kita juga tidak menjamin penggunaan MSG di sini.

MSG mula-mula dihasilkan oleh seorang saintis Jepun yang ingin mengkaji bagaimana untuk membuatkan makanan supnya jadi sedap. Beliau akhirnya menemui sejenis bahan yang terdapat di dalam rumpai laut yang merangsang lidah manusia dan membuatkan makanan jadi lebih sensasi dari biasa. Penggunaan yang semakin berleluasa dan stok yang semakin terhad telah membuatkan bahan sensasi ini dihasilkan di makmal. Hari ini, tiada lagi MSG yang didapati dari sumber semulajadi dalam rumpai laut sebaliknya ia dihasilkan melalui kaedah fermentasi bakteria. Anda tidak perlu terpedaya dengan dakwaan syarikat Ajinomoto dalam laman webnya menggunakan alasan FDA Amerika Syarikat (sebuah badan yang korup) mengatakan MSG selamat dimakan walaupun kepada bayi dan ibu mengandung. 

Saturday, September 1, 2012

E-Cigs - Kerajaan Patut Kawal Seperti Rokok

Terbaru masa ini, rokok elektronik semakin popular di kalangan perokok yang kononnya bercita-cita mahu berhenti merokok dan menukar haluan kepada rokok elektronik yang mengandungi cecair nikotin, perisa dan sejenis toksik ethylene glycol serta kompaun penyebab kanser iaitu nitrosamine.

Tindakan sebegini sebenarnya tidak mengubah apa-apa dari tabiat asal mereka iaitu merokok malah ia lebih bahaya dari rokok tembakau.

Rokok elektronik dijana oleh kuasa bateri dan diperbuat dari tiub logam tahan karat (stainless-steel) yang dibentuk seperti  sebatang rokok. Apabila disedut, sensor didalamnya mengesan perubahan tekanan lalu mengaktifkan elemen pemanas dan menyalakan lampu LED dihujungnya seolah-olah ia membakar seperti rokok biasa.

Pemanas memeluwapkan campuran nikotin cecair, perisa dan bahan toksik di dalamnya lalu mengeluarkan wap yang kelihatan seperti asap rokok.

Oleh kerana e-cig tidak mengandungi tembakau, ia dengan mudah dapat menembusi pasaran pelbagai lapisan masyarakat termasuk remaja terutama di bawah umur kerana buat masa ini masih tiada undang-undang yang melarang mereka menghisap rokok elektronik.

Kebanyakan perokok mendapat maklumat yang salah seolah-olah rokok elektronik lebih selamat, membantu mereka berhenti merokok, mungkin kerana pendapat orang ramai mengatakan demikian padahal pengeluar e-cig tidak pernah mengeluarkan kenyataan demikian sebaliknya ia hanya sebagai pilihan alternatif kepada perokok - sama ada masih setia bersama rokok tembakau atau mengapikasi teknologi terbaru iaitu menggunakan bateri.  Ia tidak mengubah apa-apa kepada tahap keperluan nikotin dalam tubuh perokok.

Keburukan e-cig pula, ia mengandungi kandungan nikotin yang tinggi, 2 hingga 3 kali ganda dari nikotin yang ada dalam rokok tembakau malah harganya lebih mahal.

Pengeluar e-cig pula dengan mudah mendakwa produk sebegini kononnya bebas-toksik padahal ia tiada beza dengan tembakau yang ada di pasaran.

Seperti biasa, Kanada, negara yang sering mendahului Amerika dalam hak-hak pengguna bersama Australia telahpun mengharamkan penjualan e-cig dan mengklasifikasikan produk ini sebagai sejenis produk tembakau.

Lanjutan tentang e-cig

Labels