Bertemu kembali. Sejak blog ini wujud hampir 4 tahun yang lalu, alhamdulillah sudah ramai yang "Follow" atau mengikuti perkembangan The Secret Medicines. Saya tidak pasti adakah semua yang "follow" bersetuju atau selari dengan pandangan-pandangan saya atau sebaliknya. Saya tidak kisah tentang itu, ia terpulang kepada pembaca sendiri - semua orang mempunyai kebebasan untuk memilih. Jika ada yang tidak bersetuju dengan amalan hidup secara natural, dan membenci blog ini, harap tidak bertindak menghancurkan blog ini, sebaliknya saya persilakan menghasilkan blog yang lain pula menurut kehendak, ilmu dan pandangan yang anda ada. Insyaallah saya akan ikuti sebagai pembaca, tetapi bukan pengikut. Saya anggapkan orang-orang seperti ini biasanya mempunyai sesuatu kepentingan di dalam industri yang berkaitan, sama makanan atau perubatan moden. Anda tidak boleh cari apakah kepentingan TSM mewujudkan blog ini. TSM tidak terlibat dalam perniagaan makanan, ubat-ubatan mahupun jualan langsung. TSM tidak menjual susu kambing, TSM juga tidak menjual minyak ikan omega-3. TSM tidak pernah menjual produk-produk herba atau semulajadi sekalipun, tetapi berpendirian bahawa ia adalah pilihan utama sebelum pergi ke perubatan moden.
Ada juga komen-komen yang saya dapati secara terus-terang mempertikaikan 'ilmu' yang saya miliki dalam menyiarkan artikel-artikel di blog ini. Suatu perkara yang ingin saya nyatakan di sini ialah semua artikel yang ditulis selain dari petikan dari laman web yang lain adalah artikel yang asal atau original. Artikel-artikel ini dipaparkan bukan untuk berkempen atau mengajak orang lain mengikut kehendak The Secret Medicines. Semua boleh membaca tulisan di banner The Secret Medicines yang tidak pernah diubah sejak dari awal lagi - tujuan hanya untuk berkongsi pandangan, menyatakan kebenaran tetapi tidak pernah pula memaksa semua orang mengikuti apa yang diutarakan.
Ia adalah FAKTA yang diperolehi dari pemerhatian-pemerhatian, bacaan-bacaan dari buku-buku perubatan alternatif, yang bukan nipis bilangan halamannya, buku tentang khasiat dan nutrisi dari makanan yang kita makan, bacaan tentang bahan-bahan pelik yang sebelum ini tidak pernah dimakan oleh manusia tetapi hari ini ia jadi sebahagian diet kita, kesan-kesan sampingan dari teknologi moden (GMO) ke atas bahan yang ada dalam makanan yang kita makan hari ini, dari kajiselidik yang dilakukan ke atas pesakit-2, sejarah dan corak pemakanan sebelum mereka mengidap sesuatu penyakit atau temuramah sebelum mereka mati, semuanya dilalui oleh penulis sendiri. Dari kajian, didapati ramai yang mendapat kanser kerana gemar makan daging terutama sosej, mengunjungi restoran-restoran fast-food dan makanan kudap-kudap yang tidak lagi sesuai untuk orang dewasa. Ada yang mendapat diabetes kerana selalu minum minuman soda yang manis. Sudah berapa ramai individu yang pernah ditemui telahpun tiada lagi tetapi penulis sempat menyelidik latar belakang kehidupannya. Ada yang sempat dipotong sebelah kaki sebelum meninggal dunia beberapa bulan kemudian. Kadang-kadang saya merasakan bahawa saya lebih mengetahui dari ahli keluarga mereka sendiri. Penulis juga banyak membaca buku tentang ubatan herba-herba dari negara China, tetapi di dalam blog ini, herba-herba tersebut tidak diberi perhatian kerana meskipun ia baik, selain ia tidak didapati di sini, harganya agak mahal. Pembaca boleh pergi ke kedai-kedai ubat China, tidak menghairankan mereka ada penawar untuk kanser, darah tinggi, diabetes dan hampir semua jenis penyakit yang ada hari ini, tetapi ia agak mahal, ada sebahagiannya tidak diiktiraf oleh KKM membuatkan orang kita kurang yakin kepada herba-herba ini. Apa yang mereka yakini ialah kimoterapi, steroid, radioterapi, MMR, CT Scan sebagainya. Padahal ia bukanlah penawar. Ada yang berfungsi hanya mengawal, malah mesin-mesin perubatan yang berharga berjuta ringgit fungsinya hanya untuk mengesan sesuatu yang tidak boleh nampak oleh mata kita, bukan untuk mengubati.
Ia terpulang kepada kehendak masing-masing manusia. Saya mengerti bahawa selagi kita bernama manusia, pasti tidak akan lari dari sifat dengki dan khianat. Bukan semua, tapi sebahagian orang.
Saya ingin memohon maaf kepada pembaca yang setia mengikuti tulisan di blog ini bahawa saya tidak punya banyak masa untuk mengemaskini artikel-artikel di sini kerana agak sibuk tugas seharian. Meskipun begitu, memang banyak lagi bahan yang hendak saya siarkan, tetapi seperti yang saya katakan di awal tadi bahawa setiap sesuatu yang bakal disiarkan perlu melalui pelbagai penelitian dan rujukan yang bukan sedikit sebelum saya buat keputusan untuk dikongsi bersama pembaca semua.
Saya tetap cuba memastikan blog ini sentiasa hidup, tidak berhenti di tengah jalan.
Saturday, December 18, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)