Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Saturday, January 30, 2010

Kanser Payudara & Gaya Hidup Wanita Moden


Datuk Shahrizat Abdul Jalil pernah menyatakan kebimbangannya bagaimana begitu banyak peratusan wanita berpelajaran tinggi yang tinggal di kawasan bandar hari ini tidak begitu mengambil berat tentang kesihatan mereka lebih-lebih lagi kesedaran mengenai penyakit kanser payudara. Dengan statistik yang menakutkan, beliau khuatir lebih ramai lagi wanita yang kurang berpelajaran yang tinggal di luar bandar bakal mendapat risiko yang lebih tinggi.

Menurut sesetengah orang, penyakit kanser adalah penyakit 'orang kaya'. Kenyataan ini ada logiknya. Wanita yang berpendidikan tinggi yang tinggal di kawasan bandar sering dikaitkan dengan kerjaya professional dengan pendapatan tinggi, bekerja di dalam ruang pejabat berhawa dingin yang tidak terdedah kepada cahaya matahari. Dalam menghadapi kesibukan hidup gaya zaman moden yang semuanya bergerak pantas, mereka juga mengalami stress, tiada masa untuk bersenam, tidak cukup tidur dan makanan mereka juga dalam bentuk makanan segera. Kita semua tahu makanan segera atau fast food tidak elok untuk tubuh kita. Ia mengandungi lemak trans, kandungan gula yang tinggi, berbagai jenis bahan kimia seperti pengawet dan penambah perisa yang boleh merosakkan sistem tubuh. Mereka pula secara berterusan terdedah kepada penggunaan ubat-ubatan moden yang boleh dibeli di farmasi-farmasi dengan belian secara over the counter yang mampu memberi kesan segera. Ia menyebabkan kebergantungan kepada pil-pil bagi memastikan mereka terus mampu bersaing dalam kehidupan dan menjana aktiviti seharian. Ironiknya, tidak hairanlah kenapa wanita luar bandar yang berpendidikan tinggi begitu terdedah kepada risiko penyakit kanser, sebaliknya wanita yang tinggal di pedalaman tidak begitu berisiko mengidap kanser. Tahap akademik seseorang tidak mencerminkan kebijaksanaan dalam memilih makanan. Ini sudah terbukti melalui tinjauan saya dalam tulisan-tulisan yang lalu (baca artikel bertajuk Rakyat Malaysia Suka Memilih Racun dari Penawar).

Halalan Thoyyiba

Saya tertarik membaca sebuah brochures kempen produk makanan halal keluaran orang Islam yang diterbitkan oleh pertubuhan Amalan Perkilangan Cara Islam atau Islamic Manufacturing Practice (IMP). Antara ayat yang tertulis adalah seperti berikut:
"80% daripada makanan yang kita makan hari ini dikilangkan oleh tangan-tangan yang tak pernah sujud dan rukuk kepada Allah S.W.T. Logo HALAL yang ada pada label sekadar untuk tujuan KOMERSIAL sahaja, bagi melariskan jualan produk - bukan senang nak pantau kalau kilang itu milik orang kafir punya!"

Ayat yang agak keras menyindir pengilang-pengilang milik bukan Islam yang menggunakan logo HALAL sebagai alat untuk melariskan jualan. Sebenarnya kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana mereka sudah mendapat status HALAL tersebut dari pihak yang berkuasa mengeluarkan sijil HALAL tersebut. Kempen IMP bertujuan menggalakkan orang Islam membeli produk yang hanya dibuat oleh orang Islam sahaja, di mana produk buatan orang Islam adalah diyakini Halal lagi bersih dan suci (Halalan Thoyyiba). Akhirnya saya hanya mampu tersenyum sendiri membaca kempen seperti ini. Sejauh mana bersihnya dan baiknya produk Muslim berbanding bukan Muslim?

Mari kita lihat pengertian makanan yang mendapat status HALAL di Malaysia ini. Pengeluar makanan perlu membuat permohonan logo Halal ke atas setiap produk yang dihasilkan melalui Jabatan Agama Islam. Pihak jabatan pula akan membuat saringan permohonan, membuat lawatan, menghantar juruaudit ke kilang memproses makanan tersebut untuk mengesahkan segala garis panduan diikuti sebelum layak diberikan status HALAL. Ada garis panduan tertentu yang telah ditetapkan kepada semua pengeluar makanan baik orang Islam mahupun bukan Islam. Pengusaha Melayu nampaknya kurang berminat memohon sijil Halal kerana mereka menganggap sijil tersebut hanya diperlukan pengusaha bukan Islam sahaja. Sebagai pengusaha Islam, mereka mempunyai reputasi yang baik kepada pengguna Islam, maka tiada keperluan untuk memohon status Halal.

Atas keyakinan ini, akhirnya pengusaha bukan Islam mengambil kesempatan dari keyakinan pengguna-pengguna Islam. Mereka menyembunyikan identiti sebenar mereka dengan menggunakan nama syarikat berunsurkan Melayu atau Islam, tulisan Jawi, meletak nama atau gambar-gambar berunsur Islamik pada bungkusan produk mereka. Ini dapat dilihat pada label bungkusan menggunakan gambar masjid, nama orang Islam atau Melayu padahal pengeluarnya bangsa Cina. Terdapat sejenis kopi yang diberi nama kopi Hang Tuah, sejenis pau diberikan nama Pau Ahmad, tapi pengusahanya berbangsa Cina.

Dalam industri makanan, orang Islam di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding orang bukan Islam. Buat masa ini, orang bukan Islamlah yang mendominasi pasaran makanan HALAL di negara ini.

Saya bukan tidak suka produk buatan orang Islam, malah itulah pilihan pertama saya apabila memilih makanan. Kalau makan di restoran, saya sudah pasti makan di restoran milik orang Melayu atau lebih tepat lagi orang Islam. Jika tiada restoran Melayu, saya terpaksa mencari kedai India Muslim (mamak). Jika kedai mamak pun tiada, saya sanggup 'berpuasa' dari makan di kedai India atau Cina.

Oleh itu, kita perlulah lebih berhati-hati dalam memilih makanan. Ada bungkusan yang nampak seperti Islamik, tapi pembuatnya bukan orang Islam. Di mana saja kita berada, kita akan dibayangi produk-produk keluaran bukan Islam.

Pewarna Pekat
Dari segi kebaikan dan khasiat sesuatu makanan, bagi saya ia sama sahaja sama ada produk itu dihasilkan oleh orang Islam atau tidak. Mengapa saya kata begitu? Saya ambil satu kajian yang saya lakukan sedikit masa lalu. Saya ke sebuah hypermart yang menjual 100% produk keluaran Muslim. Saya meneliti kebanyakan produk makanan yang tersusun rapi di rak-rak jualan. Ada produk dalam botol seperti kicap, sos cili, minuman kordial dan berkarbonat, minuman campuran 3 dalam 1, makanan segera seperti mee segera, snek, gula-gula, bahan perasa dan pewarna makanan. Persoalannya, jika ia didakwa bersih lagi suci, apakah ia selamat dikonsumsi? Saya terpandang sebuah botol kecil bersaiz 150ml mengandungi cecair berwarna hijau pekat. Saya baca labelnya menyatakan ia cecair bancuhan berperasa pandan, mengandungi komposisi air dengan pewarna dan perasa yang 'dibenarkan'. Dengan harga semurah RM1.40, saya beli dan bawa pulang. Sampai di rumah, saya bancuh beberapa titik cecair pewarna itu dengan air suam dalam cawan. Menakjubkan, dengan beberapa titisan sahaja, air dalam cawan tersebut sudah berwarna hijau pekat. Dengan 'berani', saya meneguk air bancuhan tersebut. Dengan segera tekak saya terasa kesat seperti ada benda yang tersekat. Pantas saya buang air dalam cawan tersebut ke dalam singki dan botol pewarna itu ke dalam tong sampah.

Tekak saya rasa tidak selesa, kadang-kadang rasa pedih sehingga 2 hari berikutnya. Berkat mengamalkan minuman madu lebah (jenis manuka), tekak saya pulih kembali selepas itu. Timbul persoalan di sini, adakah ini yang dikatakan bersih lagi berkhasiat (halalan thoyyib)? Teringat saya semasa menghadiri kursus penyediaan makanan sedikit masa lalu bahawa pewarna ada beberapa jenis. Ada pewarna yang diluluskan untuk kegunaan di dalam makanan dan minuman, dan ada juga jenis yang hanya digunakan untuk mewarna produk bukan makanan seperti tekstil, plastik dan cat.

Itu satu contoh dari produk buatan Muslim, malah ia tiada beza dengan produk bukan Muslim. Bagaimana pula halnya dengan produk-produk lain yang mengandungi bahan pengawet, perasa, pewarna dan sebagainya?

Jika anda meyakini produk buatan Muslim bersih lagi suci, adakah ia diyakini selamat dan berkhasiat? Anda buatlah pilihan sendiri...!

Labels