Pages

Sunday, November 28, 2010

KL & Tikus



Ramai orang tentu tidak suka atau tidak mahu menerima hakikat bahawa bandaraya Kuala Lumpur sudah sinonim dengan tikus. Lebih-lebih lagi golongan peniaga makanan dan penduduk tetap Kuala Lumpur. Tapi itulah hakikatnya. Jika anda berhajat untuk berhijrah dan menetap di Kuala Lumpur, anda mesti sanggup menerima hakikat bahawa anda tidak bersendirian, sebaliknya mesti berkongsi kehidupan bersama koloni besar tikus. Tikus mampu memanjat tangga apartment bertingkat-tingkat tingginya, malah jangan terkejut jika anda terserempak dengan tikus menaiki lift kerana lift juga busuk & penuh sampah. Bagi yang tinggal di tingkat yang lebih tinggi, tingkap adalah 'tong sampah' yang paling hampir. Ada yang membuang TV lama melalui tingkap. Ada juga yang membuang sisa-sisa makanan yang membusuk di atas bumbung orang di tingkat bawah. Tikus harus diakui sebagai haiwan yang comel tetapi ia pengotor dan cepat membiak. Jika dapat hidup di persekitaran yang kotor dan banyak sampah, ia boleh membesar lebih 12 inci panjang.

Ke mana sahaja gerai makan atau restoran saya pergi di sekitar Kuala Lumpur, tidak sukar untuk saya bertemu dengan tikus. Ada yang saya pernah jumpa sebesar kasut but saya. Mujur saya belum pernah jumpa yang sebesar anjing. Dari PJ, Wangsa Maju, Ampang, Kajang, Kpg. Pandan, Puchong, Damansara, Selayang, pasti saya akan ketemu. Malah di dalam restoran McDonald berdekatan Petaling Street. Saya tidak perlu membuat temu janji dengan tikus. Mereka akan muncul di mana saja. Mereka juga mencari rezeki tidak kira malam atau siang. Tempat yang paling sering saya temui ialah di kawasan medan selera kerana di sana merupakan lubuk makanan bagi tikus-tikus besar ini.

Antara sebab-sebabnya yang paling ketara ialah sampah sarap dibiar bertaburan, kadangkala lewat dikutip oleh pihak berkuasa, kemudian digonggong (dileraikan) oleh anjing-anjing yang berkeliaran mencari sisa-sisa makanan. Sampah yang berselerak itu kemudian disambut pula oleh tikus yang sentiasa tidak menolak. Ruang-ruang gelap di belakang kedai atau lorong yang kotor dan busuk menjadi tempat persembunyian dan pembiakan tikus. Tidak hairanlah tikus di Kuala Lumpur besar dan sihat-sihat belaka.

Peniaga pula seperti tidak ambil kisah tentang tikus-tikus yang berkeliaran di dalam kedai mereka, malah ada yang memanjat dapur masakan dan berkeliaran di rak-rak cawan dan gelas serta pinggan mangkuk. Bayangkan jejak-jejak atau kuman yang ditinggalkan oleh tikus jika bekas makanan itu tidak dibasuh dengan sempurna akan masuk ke mulut pelanggan. Saya pernah menegur seorang pemilik kedai makan (mamak roti canai) di Cheras tentang tahap kebersihan di kedainya kerana saya nampak tikus sudah menguasai seluruh ruang kedai itu termasuk memanjat siling. Selepas itu saya tidak pernah menjamu selera di kedai itu lagi.

Bagi saya, Kuala Lumpur sebenarnya bandaraya yang busuk, kotor dan jijik. Di mana sahaja kawasan berpenduduk padat seperti di rumah-rumah pangsa dan apartment yang sesak, saya akan kenal bau yang sama dan kenal haiwan yang sama yang sedang menakluki Kuala Lumpur. Mungkin boleh dikatakan sebahagian besar golongan peniaga makanan dan penduduk yang tinggal di flet di Kuala Lumpur adalah golongan pengotor. Jika sampah sarap dan sisa makanan dikendalikan dengan betul, ia tidak akan memberi sekitaran yang sesuai untuk tikus membiak.

Jika ada sesiapa yang ingin bukti dari tulisan saya ini, pergilah ke Pasar Chow Kit.

Pesanan saya kepada pembaca sekelian, berwaspadalah apabila anda menjamu selera di kotaraya metropolitan ini.

Anda Suka Artikel Ini...?

Get Free Email Updates Daily!

Follow us!

1 comments:

nice info in the blog.. cadangan saya please include the catagori/tag in your blog so that senang nak browse tajuk lain..

Labels