Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Tuesday, February 24, 2009

Susuk: Rawatan Mistik Yang Bertentangan Dengan Islam


Kali ini saya ingin membawa pembaca kepada suatu isu yang menarik. Walaupun ia tiada kena-mengena dengan makanan atau produk ubat-ubatan, tetapi ia salah satu cabang 'perubatan' yang telah diguna pakai oleh sebilangan orang Melayu sejak turun-temurun iaitu 'susuk'. Tentu ramai dari kita pernah mendengar perkataan ini dan mungkin ada di kalangan generasi muda tidak dapat mengenal pasti apakah itu susuk sebenarnya.

Menurut kajian saya, teknik perubatan susuk ini telah wujud sejak beratus-ratus tahun yang lalu dan ia dipercayai berasal dari Kepulauan Jawa. Susuk menjadi pilihan segelintir orang Melayu untuk tujuan tertentu antaranya untuk merawat penyakit sendi dan gout, untuk menguatkan tenaga batin, melicinkan kulit sehinggalah kepada tujuan yang lebih jauh iaitu mencantikkan rupa paras, melunakkan suara, dan sebagai penunduk (orang lain akan menurut kehendaknya).

Proses
Sejenis jarum halus atau kepingan logam akan dimasukkan ke dalam tubuh pesakit secara fizikal (sama seperti teknik implan). Berbagai jenis bahan digunakan sebagai bahan susuk dan yang paling popular adalah jarum atau kepingan emas. Serbuk permata, raksa juga digunakan sebagai susuk. Selain dari logam, bahan-bahan dari tumbuhan termasuk dari buah-buahan, bunga-bungaan dan herba-herba turut digunakan.

Walau bagaimanapun, susuk tidak berlaku sebegitu sahaja. Susuk diadaptasi oleh kaedah perawatan secara sihir. Kerana itu, susuk adalah sejenis rawatan yang unik (haram dalam Islam) kerana ia berhubung kait dengan alam mistik.
Sebagai orang Islam, kaedah susuk adalah sangat dilarang kerana ia sudah jauh menyimpang dari aqidah. Ia bererti syirik, percaya kepada kuasa makhluk dengan menyamakan kekuasaan Tuhan.

Bagaimana Bahan Asing Boleh Mencantikkan Wajah Pemakai
Dalam Islam diakui kewujudan jin dan syaitan sebagai penghuni alam semesta ini. Semuanya adalah makhluk ciptaan Tuhan dan masing-masing mempunyai peranan dan kebolehan tersendiri. Orang Islam dilarang bercampur dan bersahabat dengan syaitan. Apabila berlaku interaksi antara manusia dan syaitan, maka berlakulah hubungan mistik dan wujudnya ilmu sihir.

Adalah tidak masuk akal apabila seseorang membuat implan jarum emas ke dalam kulit muka boleh mencantikkan wajah mereka secara automatik. Jikalau mengikut teori sains medikal, apa saja bendasing yang masuk ke dalam tubuh manusia akan tertolak keluar. Jika tidak dapat keluar, ia akan mendatangkan mudarat seperti timbul nanah, tubuh akan menjadi sakit atau paling parah boleh mendatangkan kanser.

Teknologi bio yang memasukkan bahan-bahan tiruan ke dalam tubuh manusia juga tidak terlepas dari risiko kesan sampingan. Tubuh manusia memang dijadikan seadanya dan tidak boleh bersatu dengan apa saja bahan yang berasal dari luar tubuh. Bagaimana bahan-bahan seperti emas, permata dan lain-lain yang datang dari luar boleh tinggal tetap dan bersatu di dalam tubuh manusia! Di sinilah sebenarnya sihir digunakan. Secara fizikal, si pemakai susuk sedang menderita secara dalaman. Di luaran, tidak ada perubahan rupa bentuk pada wajah mereka walau sebanyak mana jarum emas dimasukkan, tetapi pandangan mata orang lain yang melihatnya yang berubah. Bagaimana ia boleh berlaku?

Bagi orang biasa (yang tidak berilmu), pandangan mereka tertutup dan telah disihir - hanya nampak yang cantik dan indah belaka. Sukar untuk dijelaskan bila ia berhubung-kait dengan sihir. Emas atau bahan asing yang tertanam di dalam tubuh mereka membawa elemen-elemen sihir yang menutup segala keburukan dan kehodohan rupa sebenar si pemakai. Dengan itu, orang lain akan mudah jatuh cinta pada pandangan pertama. Begitu juga dengan susuk untu suara, orang lain akan mendengar suara yang begitu merdu dari si pemakai. Dalam hal yang lain, orang ramai akan menurut sahaja dan mudah tunduk kepada arahan atau pendapat si pemakai. Mereka tidak sedar bahawa seseorang itu pemakai susuk sehinggalah apabila diberitahu. Teknologi imbasan moden seperti mammografi dapat mengesan kewujudan bahan-bahan susuk di dalam tubuh (lihat gambar).

Kebiasaannya, mereka yang memakai susuk percaya bahawa inilah satu-satunya jalan untuk mengubah nasib atau rupa paras mereka. Kepercayaan ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Ia adalah amalan yang berdosa besar dan dosa yang tidak terampun.

Sebagai orang Islam, amalan perubatan rohaniah sebegini bukan saja mendatangkan kebinasaan kepada pengamalnya, malah mengundang kemurkaan dari Tuhan. Ia tidak sepatutnya dijadikan sebahagian dari kaedah perubatan. Ia hanyalah salah satu kaedah syaitan untuk merosakkan manusia demi memuaskan kehendaknya. Jika dijadikan perumpamaan, penipuan oleh pengusaha makanan dan ubat-ubatan moden hari ini demi keuntungan dan hawa nafsu mereka tidak ubah seperti syaitan. Hanya cara mereka berbeza.

Labels