Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Wednesday, September 30, 2009

Cadmium Dalam Makanan Laut


Cadmium merupakan satu lagi masalah pencemaran yang sedang melanda dunia hari ini. Ia tidak kurang seperti pencemaran merkuri, plumbum dan zink. Cadmium berkaitan dengan proses perindustrian seperti proses saduran logam di kilang-kilang elektronik dan semikonduktor, kilang membuat bateri, plastik dan lain-lain bahan sintetik. Kaedah paling utama kepada pendedahan cadmium di dalam industri ini ialah melalui udara dan pernafasan. Ia sangat karsinogenik. Pendedahan secara berterusan boleh mendatangkan pelbagai jenis kanser, pneumonia malah maut. Kimia yang terbebas dari bunga api juga mengandungi cadmium.

Kajian sotong kering mengandungi cadmium oleh Persatuan Pengguna P. Pinang (CAP) baru-baru ini membuktikan bahawa masalah pencemaran lautan di negara ini adalah benar dan tidak dapat disangkal lagi. Mereka mendapati ia bukan saja terdapat di dalam sotong, malah ikan bilis yang bersaiz kecil juga mengandungi cadmium dalam kadar yang rendah. Kita semua tahu bahawa ikan bilis adalah spesis ikan kecil. Paling besar pernah direkodkan adalah sepanjang 9 inci. Dalam setahun, ia boleh mencapai panjang 4 inci. Walaupun ia cepat matang, dalam jangka masa pendek ia sudah membawa cadmium. Jika ini berlaku kepada semua spesis ikan kecil, ikan apa lagi yang selamat untuk kita makan? Ini membayangkan betapa seriusnya masalah pencemaran di negara ini. Kita anggap sotong yang yang dijadikan spesimen itu diambil dari sumber negeri asalnya. Pulau Pinang antara negeri yang maju di negara ini tetapi terpaksa membayar harga kemajuan itu dengan laut yang dicemari bahan-bahan toksik dari industri seperti cadmium dan lain-lain.

Bagaimanapun, kita bernasib baik kerana logam berat yang mencemari makanan kita hari ini masih dapat diatasi dengan mengamalkan makanan-makanan semulajadi dan herba-herba yang mudah diperolehi. Antaranya ialah bawang merah, bawang putih serta tumbuhan alga dari lautan seperti klorofil. Ia membantu menyah-toksik bahan-bahan seperti cadmium, plumbum dan merkuri dari tubuh.

Tuesday, September 29, 2009

Pilihlah Ikan Yang Rendah Merkuri


Klik untuk besarkan
Kebanyakan jenis ikan laut hari ini dicemari oleh merkuri. Sebahagiannya mengandungi lebih merkuri dari yang lain. Tetapi apakah itu merkuri? Kenapa ia perlu dielakkan?

Merkuri adalah sejenis logam berat yang mencemari sungai-sungai, lautan yang memberi risiko penyakit kepada manusia yang memakan ikan yang tinggi kandungan merkuri. Ia boleh menyebabkan kelahiran cacat, kerosakan hati, kanser dan lain-lain masalah kesihatan yang serius. Bahan cemar merkuri datang dari berbagai sumber. Ia boleh datang dari kilang-kilang dan loji-loji rawatan kumbahan yang anda boleh lihat dengan mata anda sendiri di mana semuanya akan mengalir ke lautan. Ia juga boleh datang dari sumber-sumber yang anda tidak boleh lihat seperti pembuangan bahan kimia dari saluran-saluran perparitan dan juga sistem saliran penternakan. Semua bahan buangan ini akan melalui perjalanan yang jauh sehingga akhirnya sampai ke lautan, malah ia boleh dibawa melalui udara (asap hitam dari serombong kilang boleh dilihat di merata tempat). Ikan-ikan ini akan terdedah kepada pencemaran bahan kimia melalui air dan makanan yang ia makan. Semasa proses membesar, ia boleh berkumpul membentuk daging yang telah tercemar. Bahan cemar ini juga boleh didapati pada sisik, kulit, lemak, organ-organ dalaman dan otot tisu lalu dimakan oleh manusia.

Ikan jenis pemangsa yang makan ikan lain, atau ikan yang mempunyai jangka hayat yang panjang mempunyai lebih banyak merkuri berbanding ikan kecil. Tetapi tiada cara untuk mengetahui sama ada ikan itu dicemari oleh merkuri atau tidak - dengan hanya melihatnya saja. Apa yang boleh kita lakukan ialah, makan ikan-ikan yang bersaiz kecil atau ikan yang hanya makan serangga dan tumbuhan akuatik. Jauhi memancing ikan di kawasan-kawasan berdekatan pelabuhan dan perindustrian seperti di Port Klang dan Pelabuhan Lumut.

Poster di atas mengenalpasti tahap pencemaran merkuri secara purata di kalangan ikan yang banyak ditangkap dan dimakan oleh manusia. Kemungkinan ada jenis ikan di dalam poster ini yang tidak terdapat di negara ini, tetapi sekurang-kurangnya kita mendapat sedikit maklumat tentang ikan-ikan yang patut dielakkan. Ia bukanlah bertujuan untuk menjauhkan dari memakan ikan. Wanita mengandung dan kanak-kanak di bawah umur 8 tahun disarankan hanya makan ikan yang rendah merkuri sahaja. Dalam poster ini menunjukkan ikan kecil iaitu tenggiri dari lautan Atlantik menunjukkan tahap merkuri yang sangat rendah. Diharap ikan tenggiri yang kita makan dari lautan Pasifik dan Lautan Hindi juga memberi petunjuk yang sama.

Sunday, September 27, 2009

Ikan Sebelah (Halibut)


Walaupun saya belum pernah makan ikan ini, saya sangat syorkan pembaca makan ikan ini kerana ia mengandungi omega 3 yang tinggi. Sebaiknya, cari yang bersaiz kecil bukan seperti di dalam gambar supaya ia kurang kesan pencemaran. Ada cerita yang mengisahkan ia ikan sisa nabi, iaitu setelah memakan sebelah badannya, beliau mencampakkan ke laut lalu ikan itu hidup.

Limau Nipis Penawar Kembung Perut


Saya sering mengalami kembung perut yang amat menyakitkan apabila tersalah makan atau terlalu banyak makan makanan yang 'berangin' seperti serat dan bijirin. Ia boleh membuat saya berasa tidak selesa melakukan apa saja aktiviti sehingga kadangkala terpaksa menarik diri dari majlis perjumpaan atau membatalkan niat untuk melakukan sesuatu disebabkan penyakit kembung perut ini. Perut yang kembung membuatkan saya melonggarkan sedikit ikatan talipinggang untuk mendapat sedikit kelegaan. Biasanya saya selesaikan masalah ini dengan minum air teh dicampur dengan halia. Memang halia membantu membuang angin dari dalam perut. Tetapi halia mengambil masa yang lama untuk bertindak mengeluarkan angin.

Sebenarnya ada satu lagi kaedah yang dapat menyelesaikan masalah kembung perut dengan kadar yang segera. Itulah limau nipis! Perahkan jus limau nipis dan bancuh air panas dengan gula, anda boleh minum tanpa serbuk teh. Kesannya boleh dirasai dalam masa 2 -3 minit selepas meneguk air ini.

Ia memang berkesan membuang angin dari perut dengan segera, sedikit demi sedikit sehingga tiada lagi masalah kesakitan yang amat menyeksakan ini. Tetapi kadangkala anda perlu minum sehingga lebih dari 2 cawan jus limau nipis ini untuk mendapatkan kesan yang maksimum. Saya telah melakukan kaedah ini berkali-kali dan ia memang terbukti berkesan. Kesannya mungkin mengikut individu, tetapi tidak salah anda mencuba.

Lain-lain faedah jus limau nipis:
  • merawat rambut gugur
  • membantu penghadaman
  • sebagai pelembab kulit
  • merawat buasir
  • mengurangkan sakit kepala
  • menghilangkan nafas berbau
  • dan banyak lagi kegunaan luaran dan dalaman yang memberi kebaikan kepada manusia
Tetapi oleh kerana kandungan asid yang tinggi, sebaiknya gosok gigi selepas minum jus limau kerana ia boleh menghakis lapisan enamel gigi.

Saturday, September 26, 2009

Kebaikan Kulit Kayu Manis


Kulit kayu manis atau nama saintifiknya Cinnamomum Zeylanicum adalah herba tradisional yang digunakan sejak berkurun lamanya. Ia untuk kegunaan merawat sakit kembung perut, jangkitan salur kencing, mengurangkan simptom demam dan selsema serta memiliki fungsi yang baik sebagai anti-bakteria, anti-fungi dan anti-parasit. Dalam kajian Jurnal of Food Science pada 1974, ia menunjukkan kehebatan kulit kayu manis melawan kebanyakan jenis kulat dan fungi. Ada kajian yang menunjukkan ia membantu pesakit diabetes. Ia berfungsi seperti insulin yang disuntik ke dalam tubuh pesakit, menjadikan suntikan insulin dapat dikurangkan.

Dalam masyarakat tempatan, ia sedap jika dijadikan bahan tambahan dalam minuman seperti air sirap bandung yang direbus bersama daun pandan. Ia juga digunakan sebagai penambah aroma nasi minyak dan nasi biriyani. Begitu juga dalam pelbagai jenis masakan tradisional ia begitu popular sebagai penambah perisa dan aroma yang menyelerakan.

Kulit kayu manis membantu memperbaiki sistem penghadaman. Ia juga dianggap sebagai 'pain-killer' semulajadi.

p/s: Salam Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin dari saya kepada pembaca sekelian.

Sunday, September 6, 2009

Khasiat Buah Jambu: sambungan



Jambu Batu
Sebiji jambu batu atau guava mengandungi 5 kali ganda vitamin C berbanding buah oren dan adalah paling tinggi vitamin C di kalangan buah-buahan sitrus. Ia juga kaya dengan vitamin A, B dan potassium bagi mengawal tekanan darah. Selain itu, jambu batu mengandungi zat besi, fosforus, Pengambilan 90gram sudah lebih dari cukup untuk keperluan vitamin C untuk orang dewasa. Ia juga membantu pertumbuhan tisu kulit yang licin dan sihat.

Jambu batu juga berfungsi sebagai anti-oksidan seperti buah-buahan yang lain.

Beginilah bagaimana hebatnya khasiat buah-buahan tempatan yang tidak dipedulikan oleh orang ramai. Malah tinjauan saya di pasar-pasar Ramadan beberapa hari mendapati masyarakat Malaysia terutama sekali orang Melayu lebih memilih minuman campuran pewarna kimia dan berasaskan susu yang berlemak dan kandungan gula yang tinggi. Antara air minuman kegemaran mereka ialah air sirap bandung (pewarna merah dicampur susu pekat manis), air jagung (pewarna kuning terang) yang dicampur susu menghasilkan warna dan bau jagung yang menyelerakan, air oren tiruan dari bahan pewarna dan perasa seperti rasa buah oren. Tiada satupun minuman yang disebutkan di atas adalah dari bahan buah-buahan asli. Air jagung bukan diperbuat dari jagung, air sirap ros tidak terhasil dari bunga ros, air oren bukan diperbuat dari buah oren, dan air mangga bukan diperbuat dari buah mangga sebaliknya semuanya dihasilkan di makmal. Diet yang buruk ini telah terbukti dengan kecenderungan rakyat Malaysia membeli-belah di pasar Ramadan.

Saya bertemu dengan seorang penjual air minuman, menurutnya pada hari pertama dan kedua beliau menjual air buah-buahan asli yang dikisar. Tapi ia tidak mendapat sambutan, membuatkan beliau terpaksa menukar menu jualannya kepada air bancuhan bahan pewarna dan perasa seperti perasa oren, perasa jambu batu, perasa mangga dan berbagai perasa lagi kerana modal lebih murah dan lebih menguntungkan malah mendapat sambutan. Amat malang sekali melihat kecenderungan rakyat Malaysia terutama orang-orang Melayu yang lebih suka memasukkan racun ke dalam perut mereka dari memilih penawar.
Mereka terdiri dari pelbagai golongan dan taraf hidup. Ada yang nampak seperti berpelajaran tinggi, ada yang nampak bergaya seperti mempunyai kerjaya yang hebat, tetapi sayangnya mereka memilih pewarna yang bertoksik dan kimia perisa. Bahan-bahan inilah yang akan merangsang pertumbuhan sel kanser di dalam tubuh secara perlahan-lahan. Maka tidak hairan semakin ramai rakyat Malaysia semakin berpenyakit.

Bukan kerana mereka tidak mendapat cukup maklumat, tetapi mereka mengikut kemahuan hawa nafsu. Rasa dahaga berpuasa sejak dari awal pagi tentu 'sia-sia' jika tidak berbuka dengan minuman yang manis, berwarna 'cantik' serta nampak 'lazat'. Kelazatan air pewarna dan perasa mengalahkan rasa buah-buahan sebenar.

Buah-buahan sebenarnya adalah penawar penyakit. Kita tidak perlu minum minuman campuran 3 dalam 1 atau 10 dalam 1 jika kita mengamalkan minuman air buah-buahan segar. Buah-buahan menduduki tempat kedua dalam jadual piramid makanan yang perlu diambil dalam kuantiti yang kerap selepas bijirin tetapi jadual itu tidak mudah diikuti oleh rakyat Malaysia kerana adanya berbagai produk minuman pewarna, perisa dan minuman berkarbonat yang lebih sensasi dan kononnya lebih 'glamour'.

Labels