Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Wednesday, April 29, 2009

Soal Jawab: Selsema Babi (Swine Flu)


Apakah penyakit selsema babi?
Seperti manusia, babi juga boleh mendapat selsema, tetapi virus selsema babi tidak sama virus yang dihidapi manusia. Selsema babi tidak menjangkiti manusia dan beberapa kes-kes kecil yang menjangkiti manusia pada masa lalu menunjukkan mereka mempunyai hubungan rapat atau direct contact dengan babi (seperti penternak babi).

Selsema babi (kini disebut AH1N1)yang sedang melanda Mexico, Amerika dan Kanada kali ini adalah berbeza. Ia disebabkan oleh virus baru yang merebak dari seseorang kepada orang lain - dan ia berlaku kepada mereka yang tidak mempunyai hubungan terus dengan babi.

Apakah simptom selsema babi?
Simptom selsema babi adalah serupa dengan selsema biasa termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, sakit kepala, kesejukan dan keletihan. Selain itu, terdapat beberapa kes melibatkan muntah-muntah. Simptom-simptom ini boleh disebabkan pelbagai sebab biasa dan tidak semestinya selsema babi.

Bagaimana saya tahu ia adalah virus selsema babi?
Anda dan doktor tidak akan dapat mengetahui ia adalah virus penyakit selsema babi sehingga ia diuji di makmal. Setakat ini tidak ada cara lain untuk mengesahkan virus selsema babi selain di bawa dan diuji di makmal.

Jika saya menghidapi selsema babi, apakah yang saya perlu lakukan?
Jika anda mengalami selsema dan simptom-simptom di atas, jangan keluar rumah. Jika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung anda dengan tisu. Selepas itu, buang tisu ke dalam tong sampah dan basuh tangan anda. Ia menghalang selsema anda dari merebak.

Jikalau anda selsema padahal anda sedang berada di kawasan atau negara yang berisiko tinggi seperti Mexico, anda dinasihatkan berjumpa doktor. Tetapi jika anda berada di negara yang tiada risiko selsema babi, anda masih boleh berjumpa doktor - itu pilihan anda. Sila maklum bahawa doktor tidak dapat memastikan sama ada anda menghidapi selsema babi, tetapi dia akan mengambil sampel dari anda dan menghantar kepada pihak berkuasa untuk diuji di makmal. Anda akan dimaklumkan jika disahkan mengidap selsema babi.

Bagaimana selsema babi merebak?
Virus baru ini boleh merebak mengikut kaedah biasa seperti selsema biasa. Anda boleh dijangkiti melalui sentuhan terhadap seseorang yang membawa virus ini, menyentuh objek yang telah disentuh oleh pembawa virus, kemudian melepasi tubuh anda apabila anda menyetuh mata anda, mulut atau hidung. Anda dinasihatkan sentiasa membasuh tangan walaupun anda tidak dijangkiti. Pembawa virus mula merebakkan virus sehari selepas simptom bermula.

Ia juga boleh merebak melalui udara jika pembawa virus batuk atau bersin tanpa menutup mulut dan melepaskannya bebas di udara.

Bagaimana selsema babi diubati?
Virus baru selsema babi sangat sensitif kepada dadah anti-viral iaitu Tamiflu dan Relenza. Tetapi tidak semua orang memerlukannya. Di Amerika, kebanyakan pesakit selsema babi yang terawal pulih secara semulajadi tanpa rawatan atau ubat-ubatan.

Adakah vaksin untuk mengelak virus baru ini?
Tiada. Tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang mengambil langkah permulaan untuk menghasilkan vaksin ini.

Saya telah disuntik vaksin selsema beberapa bulan yang lalu. Adakah saya dilindungi dari selsema babi?
Tidak. Vaksin selsema biasa tidak dicipta untuk virus baru ini.

Sejauh mana teruknya selsema babi?
Kesan virus selsema babi berbagai-bagai. Di Mexico, ada yang melibatkan kematian tetapi kes-kes awal di Amerika hanya melibatkan demam yang ringan. Tetapi ia boleh berubah sama ada menjadi lebih merbahaya atau tidak. Saintis masih lagi dalam kajian ke atas virus baru ini dan mereka tidak dapat memberi jaminan sejauh mana ia dapat dijangkakan.

Bagaimana saya boleh mengelak dari dijangkiti selsema babi?
Anda dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:
  • sentiasa membasuh tangan anda dengan air dan sabun, khasnya selepas batuk atau bersin.
  • elakkan sentuhan secara terus dengan pesakit
  • elakkan menyentuh mata, mulut dan mengorek hidung dengan tangan anda kerana virus akan merebak melalui rongga-rongga ini
  • batalkan lawatan anda ke negara-negara yang sedang mengalami epidemik selsema babi seperti Mexico, Amerika, Taiwan dan Kanada.
  • jika anda tinggal di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan ladang ternakan babi, jauhkan diri anda dari penternak dan pekerja ternakan babi tersebut. Jika mereka kawan anda, cukuplah berhubung melalui telefon.
  • elakkan menyentuh objek-objek di tempat awam seperti butang lif, tangga escalator, bangku awam, telefon awam dan sebagainya. Jika tidak boleh, basuh tangan anda dengan sabun selepas menyentuh objek-objek tersebut.
  • ambil langkah berjaga-jaga yang dinyatakan di atas dengan lebih teliti semasa berada di terminal lapangan terbang, stesen bas, kaunter awam, di dalam panggung wayang dan hospital.

Apa lagi yang perlu dilakukan?
Sentiasa mendapatkan maklumat terbaru di dalam komuniti anda. Negara anda dan Kementerian Kesihatan mungkin mempunyai maklumat penting jika selsema babi merebak di negara anda atau di negara-negara yang bakal anda lawati. Jangan panik, tetapi langkah berjaga-jaga adalah lebih baik.

Sunday, April 26, 2009

Jenis Ikan & Khasiatnya


Ikan mengandungi banyak nutrien penting, termasuk protin dan sepatutnya menjadi sebahagian besar dari diet harian kita. Hanya sebahagian kecil dari ikan (100 gram) menyediakan 1/3 hingga separuh dari keperluan protin seharian. Ikan juga kaya dengan vitamin B12 yang diperlukan oleh sistem tubuh. Ikan berlemak seperti salmon, makerel dan herring juga mengandungi 2 kali ganda kalori dari ikan lain. Tidak seperti lemak tepu dari haiwan, lemak tak tepu dari minyak ikan adalah sangat berfaedah kepada kita. Kajian yang pernah dijalankan menunjukkan seseorang yang makan ikan berminyak sekali seminggu adalah jauh dari risiko penyakit jantung dan strok.

Omega-3
Asid lemak Omega-3 dari minyak ikan diketahui membantu melindungi jantung dan melancarkan perjalanan darah. Ia adalah suatu keperluan (essential) kepada sistem imun kerana tubuh kita tidak menghasilkannya melainkan kita harus mendapatkannya dari sumber luar. Saintis mendapati asid lemak Omega-3 penting untuk kesihatan mata dan otak. Ibu mengandung sepatutnya menjadikan ia sebahagian dari diet mereka. Ia dapat memberi keseimbangan terhadap pemakanan sumber omega-6 yang berlebihan.

Terdapat dalam bentuk kapsul atau cecair, minyak ikan boleh dikategorikan kepada 2 jenis:
1. minyak limpa ikan (seperti kod, salmon, makerel)
2. minyak isi ikan (seperti ikan bilis, sardin).

Istilah minyak limpa ikan kod berasal dari minyak yang diekstrak dari limpa ikan kod. Minyak ikan adalah sumber yang baik untuk vitamin A dan D.

Spesis Ikan Berminyak

Tenggiri (Mackerel)
Kaya dengan omega-3, Vitamin D dan selenium. Mengandungi 2 ~ 3 % asid lemak omega 3. Bagaimanapun, kandungan lemak omega-3 berbeza mengikut musim. Kekurangan selenium boleh mendatangkan penyakit jantung dan kanser.

Salmon
Dikatakan spesis kedua kaya dengan omega 3 selepas Tenggiri.


Todak (Swordfish)
Meskipun mengandungi omega 3, ia tidak dapat menandingi kandungan omega 3 seperti yang terkandung di dalam ikan tenggiri dan salmon.


Ikan Sebelah (Halibut)
Ikan jenis ini juga mengandungi omega 3 yang tinggi, kurang sedikit dari ikan kod. Ada yang memanggil ikan ini ikan sisa nabi di mana ada kisah yang menceritakan bagaimana kedua-dua belah matanya hanya terletak di sebelah kiri, dan warna yang berlainan di antara sisinya, iaitu seorang Nabi pernah memakan ikan ini di sebelah sisinya kemudian mencampakkan ke laut, kemudian ikan ini hidup semula dan jadilah ia ikan separuh badan.

Ikan Kayu/Tongkol (Tuna)
Ikan tuna kaya dengan vitamin D, B12 dan Omega-3. Tetapi tuna bukanlah sumber terbaik untuk asid lemak omega 3 kerana kandungannya terlalu rendah. Tuna di dalam tin tetap kaya dengan vitamin tetapi sumber omega-3 semakin kurang kerana kebanyakan minyak sudah dikeluarkan sebelum ditinkan.

Ikan Kod (Cod)
Banyak faedah yang kita dengar tentang minyak limpa ikan kod. Antaranya menguatkan tulang dan gigi, memelihara kulit, merawat gout dan arthritis dan juga untuk kesihatan jantung.


Ikan Parang (Wolf-Herring)
Mengandungi omega 3, vitamin A dan C, kalsium dan zat besi.


Sardin (Sardine/Pilchard)
Boleh didapati dengan harga yang murah di pasaran tetapi sangat berguna untuk sumber protin, zat besi dan zink termasuk semua jenis nutrien yang terkandung di dalam ikan-ikan yang disebutkan di atas termasuk omega-3. Sardin tergolong dalam kumpulan yang sama dengan salmon dan trout.


Layaran (Sailfish)
Ikan Layaran juga antara sumber terbaik omega3.

Siakap (Barramundi)
Siakap harganya agak mahal tetapi ia tidak kurang juga khasiat protin dan omega-3. Masakan popular yang menyelerakan ialah siakap tiga rasa. Tetapi lebih baik ia tidak digoreng terlebih dahulu demi memelihara khasiatnya.

Kerapu (Grouper)
Juga kaya dengan omega-3 dan protin.

Ikan Bilis (Anchovies)
Ikan yang kecil tapi tidak kurang dari segi khasiatnya. Ia seperti ikan sardin, mempunyai lemak omega-3 dan protin yang berfaedah kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa. Ia juga kaya dengan vitamin E dan D, mineral kalsium dan selenium. Ikan kecil seperti ini lebih baik dari ikan besar seperti siakap dan tuna kerana ia mengandungi kurang kadar pencemaran logam berat seperti merkuri, plumbum dan arsenik oleh sebab pencemaran alam. Ini kerana ikan kecil mempunyai jangka hayat yang pendek dan ia kurang risiko pencemaran.

Ikan Mentah
Memakan ikan secara mentah seperti di Jepun iaitu sushi dan sashimi boleh mendatangkan risiko kecacingan kerana ikan adalah antara perumah yang baik untuk cacing-cacing parasit. Ia perlu dimasak untuk memastikan semua cacing dan telurnya mati. Sesudah dimasak, hendaklah dimakan ketika masih panas kerana ikan yang dimasak cepat rosak dan membiakkan bakteria. Masak stim, bakar atau panggang adalah kaedah terbaik untuk memelihara kesihatan.

Wednesday, April 15, 2009

Burger dan Masalah Jantung


Siapa yang tidak pernah makan burger? Kebanyakan penduduk negara ini tentu pernah merasai kelazatan burger dicampur sos lada hitam, mayonais, telur dan keju dan ada yang sudah menganggap ia sebagai makanan kegemaran. Malah ia lebih murah dan boleh didapati dengan kadar segera. Ada yang menganggap ia makanan yang berzat kerana daging dan rotinya. Yang berselera besar pula akan menempah daging "double" supaya ia lebih mengenyangkan.

Jika suka tidur lewat malam, kemudian perut terasa lapar, sebahagian orang pergi keluar mencari gerai burger di tepi-tepi jalan pada waktu-waktu yang kebanyakan restoran sudahpun menutup tirainya. Tidak hairanlah burger begitu popular di kalangan rakyat Malaysia.

Apa yang melucukan, kebanyakan orang tidak tahu apakah yang mereka makan itu benar-benar memberi khasiat atau memudaratkan tubuh badan mereka. Hakikatnya, jika tubuh badan mereka boleh berkata-kata, ia tentu akan berkata "apakah yang kamu makan ini? Itu bukan makanan, ia hanya sesuatu yang mengisi ruang kosong di dalam perut".

Kebanyakan orang memang tidak suka mendengar syarahan tentang makanan dan nutrien, tambahan pula jika ia menuju terus kepada makanan yang ia sedang suap ke mulutnya.

Ada seseorang yang sedang menyuap burger ke mulutnya, kemudian bertanya kepada saya, bagaimana dengan makanan ini? Apabila seseorang bertanya, saya rasa bersalah jika tidak memberitahu perkara yang sebenar. Jawab saya, "baiklah, mari lihat dahulu apa yang terkandung di dalam makanan (burger) tersebut. kemungkinan anda sedang menderita sebahagian dari penyakit yang disebabkan oleh makanan ini, atau ia sedang menyusun strategi untuk merosakkan tubuh badan anda."

Anda ada bahan pengawet dan kemungkinan besar adalah bahan kimia sodium (natrium) nitrite yang merangsang pertumbuhan sel kanser. Anda juga ada lemak tepu (saturated fat) di dalam daging burger tersebut yang boleh mendatangkan masalah jantung. Anda boleh lihat sendiri gambar yang saya ambil sendiri dalam percubaan untuk menguji kandungan lemak di dalam daging burger. Apabila memasak daging burger, terdapat minyak jernih yang keluar dari daging tersebut, ia minyak yang cair tetapi apabila minyak tersebut ditinggalkan semalaman di dalam kuali tersebut, anda akan terkejut mendapati minyak tersebut telah berubah bentuk kepada krim pekat berwarna putih dan sifatnya seperti marjerin padahal ia bukanlah marjerin. Tidak ada marjerin yang digunakan semasa memasak daging ini. Peniaga burger di gerai-gerai di tepi jalan tentu mengetahui perkara ini, dan kebanyakan mereka sendiri tidak memakan burger kerana menyedari hal ini. Gambar-2 ini sudah cukup memberitahu saya supaya menjauhkan diri dari memakan burger!



Beginilah rupa lemak yang masuk ke dalam tubuh dan menyumbat salur darah anda!

Klik gambar-2 di atas untuk dibesarkan.

Anda ada roti (bun) yang diperbuat dari tepung putih index glycemic tinggi yang sudah diproses - yang menyebabkan Nutritional Deficiencies (ND) dan menggalakkan diabetes dan obesiti. Anda ada kepingan keju yang diperbuat dari lemak haiwan yang menambahkan masalah jantung. Anda juga ada sos cili, tomato, lada hitam yang mengandungi sirap jagung dan gula. Dan yang terakhir sekali, garam yang terdapat di dalam hampir semua bahan-bahan di atas sama ada roti, daging, keju dan sos. Ia mendatangkan masalah tekanan darah tinggi dan kerosakan organ dalaman seperti buah pinggang, hati dan juga mengganggu fungsi sistem imunisasi.

Semua yang saya terangkan di atas tidak pula dapat menyedarkan orang yang bertanya itu, malah ia semakin menghabiskan burger tersebut sehingga ke cebisan yang terakhir. Ia mula tidak mahu mendengar kata-kata saya, seolah-olah tidak percaya dan menganggap saya orang gila. Dia mula diam seribu bahasa dan tidak lagi mahu membuka topik tentang makanan. Akhirnya, dia berkata, "betul...betul"...sambil menyuap burger ke dalam mulutnya. (Dalam hatiku berkata mungkin dia yang gila)

Saya sedar ramai orang yang ingin tahu tentang khasiat makanan yang mereka makan tetapi apabila disebut makanan yang sedang disuap ke mulutnya mendatangkan mudarat, mereka mula tidak mahu mendengar, malah mahu menafikannya.

Ini berlaku dari 3 sebab yang sangat biasa di kalangan rakyat Malaysia:
Sebab pertama, mereka memang tidak percaya selagi tidak melihat bukti di depan mata. Mereka berpendapat, jika ia merbahaya, sudah lama kerajaan mengharamkan makanan tersebut. Doktor tentu memberitahu supaya jangan mengambil makanan tersebut. Tetapi mereka tidak tahu bahawa bukti sudah boleh dilihat di mana-mana sahaja, jikalau mereka ingin ambil tahu. Mereka juga tidak tahu bahawa pihak berkuasa hanya membuat peraturan penguatkuasaan dalam memproses makanan, tetapi sejauh mana pula ia diikuti oleh pengusaha makanan. Mereka tidak tahu bahawa bidang kedoktoran hanya mencakupi bidang perubatan dan mereka tidak boleh mengeluarkan kenyataan secara terang-terangan menentang industri makanan proses yang berbilion-bilion ringgit kerana akan berdepan dengan masalah kemungkinan disaman atau diheret ke mahkamah.

Sebab kedua ialah mereka tidak ambil peduli tentang kesihatan. Bagi mereka, kesihatan tubuh badan biarkan ia melalui dengan sendiri. Tidak perlu berusaha mempertingkatkan kualiti makanan selagi mereka boleh berjalan, membuat kerja dan sebagainya. Mereka ini orang-orang yang tidak berterima kasih kepada tubuh badan sendiri dalam masa yang sama terus-menerus mengambil apa saja makanan yang ada di depan mata dengan harapan ia makanan yang mengenyangkan. Sangat pelik orang jenis begini.

Sebab ketiga, mereka faham dan sedar tentang maklumat yang diperolehi tetapi tidak mampu membuat perubahan atau corak pemakanan. Kadang-kadang nafsu menguasai diri sehingga mengabaikan apa yang sedang diusahakan. Mereka sudah biasa dengan makanan yang mereka makan sejak bertahun-tahun lamanya. Di rumah, segalanya sudah sedia ada, di dalam peti sejuk, di dalam kabinet dapur. Di tempat kerja, mereka ada kafeteria yang lengkap dan menghidangkan makanan yang segera kerana ingin mengejar masa. Bagaimana mungkin mereka ingin berubah? Ini kerana ia sudah menjadi keselesaan dan kebiasaan setiap hari. Ini adalah jawapan yang paling umum kepada kebanyakan orang di Malaysia. Ia bukan kerana mereka hendak merosakkan tubuh badan sendiri, bukan juga kerana mereka tidak percaya, tetapi ia sudah menjadi corak pemakanan mereka. Walaupun corak itu merosakkan tubuh badan sendiri.

Untuk mengubah corak pemakanan bukanlah mudah. Anda memerlukan kekuatan melawan nafsu dan pelbagai godaan yang sukar dielakkan. Kesungguhan dan azam untuk merubah corak pemakanan adalah sangat penting sebelum anda boleh mendakwa diri anda bebas dari segala bentuk makanan yang memudaratkan.

Monday, April 6, 2009

Bahaya Klorin Berlebihan


Bila anda mandi-manda di kolam taman tema air atau minum air dari saluran paip domestik, anda tentu tahu bahawa air tersebut telah dinyah-jangkitan oleh bahan kimia. Ia dapat dikenalpasti dengan bau klorin yang ketara apabila anda memasuki kolam mandi di taman tema air di mana-mana jua. Proses yang dipanggil "purifying" ini sebenarnya tidak berfungsi memperbaiki air tersebut untuk keperluan tubuh sebaliknya ia membahayakan tubuh anda. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh University Illinois, para saintis telah menyiarkan laporan di dalam sebuah jurnal sains iaitu Mutation Research menyatakan bahawa bahan kimia seperti klorin atau chloramines yang digunakan untuk merawat air tersebut boleh menyebabkan tindakbalas dengan unsur organik di dalam air yang menghasilkan toksin merbahaya yang menyebabkan kanser. Sebahagian darinya boleh menyebabkan kelahiran cacat dan merosakkan DNA.

Dalam satu insiden, lebih 20 orang dimasukkan he hospital selepas terdedah kepada klorin pada tahap yang tinggi di kolam renang di Chicago. Kanak-kanak mengalami muntah-muntah, batuk dan hidung berdarah serta pengsan. Berdozen-dozen ambulan dikerah membawa mangsa selepas mereka menunjukkan tanda-tanda lebam di bahagian mulut dan mata. Separuh dari mereka adalah kanak-kanak. Pihak berkuasa Chicago berkata mereka akan menyiasat punca kejadian sama ada kemungkinan disebabkan oleh kebocoran sistem perawatan klorin atau penggunaan klorin yang berlebihan.

Keracunan klorin di kolam renang adalah lebih kerap dari yang orang ramai sedari. Pada Januari tahun ini, 10 orang di West Yorkshire di bawa ke hospital selepas tertelan klorin berlebihan yang tumpah di dalam kolam renang. Sebelum itu di Kanada, 50 orang dibawa keluar dari kolam renang selepas seorang mengalami kecederaan tekak selepas kebocoran gas klorin.

Di sana ada campuran bahan kimia. Seseorang yang mengendalikan sistem perawatan kemungkinan mencampurkan dengan bahan kimia yang lain yang menyebabkan tindakbalas.

Di negara ini, sebahagian dari anda tentu pernah menyaksikan kejadian di mana ada pengunjung yang tidak sedarkan diri atau pengsan ketika mandi-manda di kolam renang atau taman air. Alasan yang biasa kita dengar apabila timbul kejadian seperti ini ialah mangsa tersebut mengalami asma. Benarkah alasan ini? Atau ia sengaja diadakan untuk melindungi pengusaha taman tema air!

Saturday, April 4, 2009

Halia dan Faedah Pengubatan


Halia sudah digunakan sejak beribu-ribu tahun dahulu di benua Asia terutama China dan India sebagai herba yang mempunyai kuasa penyembuh atau "healing powers". Berbeza dengan herba yang lain, bahagian yang mempunyai faedah penyembuhannya tumbuh di dalam tanah dan diambil dari bumi. Ramai yang beranggapan bahawa halia yang berada di dalam tanah itu sebenarnya adalah akar, tetapi ia sebenarnya adalah "isi" atau "hasil" dari tumbuhan tersebut. Dalam pada itu, minyak yang terkandung dari isi halia itulah yang memiliki faedah yang tidak terkira.

Telah banyak kajian dijalankan oleh universiti-universiti tempatan dan luar negara yang mendapati halia mempunyai banyak faedah kesihatan dan ia juga berfungsi sebagai ubat.

Dalam masakan, ia ditambah sebagai penambah perasa dan ia boleh melembutkan daging yang dimasak. Begitu juga di dalam tubuh, apabila memakannya, ia berfungsi memecahkan lemak-lemak makanan dan membantu sistem penghadaman memecahkan protin dan menghadamkan daging.

Dari segi perubatan, ia memecahkan gas di dalam perut yang membawa masalah kembung perut disebabkan angin (gas). Selain itu, ia sebagai herba anti-inflammatory - merawat kecederaan dalaman. Ia sesuai juga untuk merawat penyakit arthritis dan demam.

Ia bertindak untuk melancarkan perjalanan darah dan membantu merawat migrain serta penyakit darah tinggi. Ada juga kajian yang mendapati ia dapat menurunkan kadar kolesterol dengan cara menyerap lemak-lemak di dalam badan dan menyahtoksik tubuh secara dalaman.

Dalam satu kajian terhadap haiwan di makmal, halia membuktikan ia dapat memperlahankan atau menghalang pembentukan tumor. Potensinya sama atau lebih baik dari dadah kimoterapi yang digunakan untuk merawat pesakit kanser.

Halia boleh dimakan secara mentah, atau dicampur di dalam minuman seperti teh. Teh halia adalah salah satu dari minuman kegemaran saya, rasa halia yang sedikit pedas dan sensasi, ditambah pula dengan potensi pengubatan yang terdapat di dalamnya serta perisa teh kesukaan, ia tidak dapat ditandingi oleh mana-mana minuman lain yang pernah saya rasai.

Berikut resepi biasa Teh Halia yang selalu saya amalkan di rumah:
  1. ambil sepotong 1cm² x 2cm² halia
  2. kupas kulitnya, masukkan ke dalam lesung batu dan tumbuk sehingga hancur (saya boleh gunakan pengisar tetapi lesung batu lebih mudah untuk kuantiti yang sekecil ini)
  3. masukkan halia yang telah hancur tadi termasuk minyaknya ke dalam cawan berisi air panas
  4. masukkan uncang teh kegemaran anda ke dalam cawan tersebut
  5. tambah gula organik secukup rasa
  6. kacau sehingga warna teh kekuningan
  7. sedia untuk diminum dan rasailah kehebatan citarasanya...

Labels