Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Wednesday, March 25, 2009

Gula Organik vs Gula Putih

Artikel di bawah ditulis pada tahun 2009 sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa yang diamalkan oleh penulis kerana penulis hari ini (tahun 2013) sudah tidak lagi makan gula putih walaupun sedikit. Dari 4 kilo gula organik pada masa artikel ini ditulis, penulis telah berjaya mengurangkan penggunaan kepada kurang dari 2 kilo sebulan untuk seisi keluarga. Harga semasa juga sudah meningkat dari RM6 sekarang mencecah RM11 sekilo. Perlu diketahui bahawa gula organik juga tetap gula dan ia boleh memudaratkan jika diambil dengan banyak.

Sejak bertahun yang lalu, saya telah berjaya mendidik keluarga saya supaya tidak lagi menggunakan gula putih dalam minuman ataupun makanan. Saya akan cuba elakkan menggunakan gula putih mengikut apa cara yang termampu saya lakukan. Cuma kadang-kadang apabila minum di kedai, terpaksa juga minum air yang dicampur dengan gula putih. Itupun, selalu pesan minuman "kurang manis" apabila memesan teh, kopi atau jus buah-buahan. Kadang-kala, bila ada minuman yang dibuat terlalu manis (walaupun sudah diberitahu), minta pembancuh minuman tersebut membuat semula minuman tersebut supaya ia jadi kurang manis. Itu hak saya sebagai pelanggan.

Biasanya mereka yang mengidap diabetes sahaja yang selalu memesan minuman kurang manis. Tetapi saya tidak mengidap penyakit diabetes. Ada sahabat yang bertanya sama ada saya mengidap diabetes setelah memesan minuman kurang manis, saya jawab "sebagai langkah pencegahan" sahaja. Sepatutnya, pesakit diabetes tidak boleh membuat pesanan air kurang manis, sebaliknya minuman tanpa gula. Kalau jus buah-buahan, rasa manis buah-buahan cukup sebagai pemanis minuman, tidak perlu ditambah gula putih walau sedikitpun.

Perbezaan Gula Organik & Gula Putih
Gula tebu organik diperbuat dari perahan jus tebu dan dikeringkan. Kandungan pekat dari perahan jus tebu atau disebut nira (molasses) tidak dibuang menjadikan warnanya perang. Ia berbeza dari gula putih kerana ia diproses (refined) secara kimia. Gula putih adalah sukros, ia adalah kristal putih yang terhasil setelah proses membuang semua vitamin, molasses, mineral, protin, serat dan lain-lain kandungan yang berfaedah terkandung di dalam air tebu. Ia tidak terdapat di alam semulajadi, sangat merbahaya kepada manusia, malah tidak sesuai untuk dimakan. Bagi saya, gula putih adalah racun yang merbahaya.

Gula Semulajadi
Selain itu, terdapat juga gula dari sumber semulajadi yang lain seperti fruktos (di dalam buah-buahan), laktosa (susu), maltosa (dalam makanan seperti oat, jagung dan lain-lain). Ia mempunyai faedah yang baik dalam bentuk nutrien.

Gula Perang
Terdapat juga gula perang (brown sugar) yang banyak terjual di pasaraya. Gula perang tidak mempunyai apa-apa faedah kepada manusia, malah ia sama bahaya seperti gula putih. Ia diproses (refined) terlebih dahulu, kemudian dicampur semula dengan sedikit molasses untuk menjadikan warnanya perang semula.

Untuk mengenali gula organik dan gula perang adalah sangat mudah. Anda hanya cium baunya, gula organik mempunyai aroma seperti bau nira tebu atau kelapa manakala gula perang tidak mempunyai aroma. Gula tebu organik biasanya diimport dari luar negara. Paraguay adalah pengeksport terbesar gula tebu organik. Filipina juga ada mengeluarkan gula organik. Walaupun harganya agak mahal dari gula putih, gambar pertama di atas menunjukkan kuantiti yang saya gunakan untuk stok yang boleh bertahan selama lebih sebulan. Terdapat 3 peket dan 1 botol gula organik di dalam gambar, jumlah perbelanjaan untuk stok tersebut tidak sampai tiga puluh ringgit. Jika harga sepeket 1kg sekitar RM6 ~ RM6.50, sebulan saya hanya perlu belanjakan hanya RM26 untuk kesihatan dan kelazatan minuman di rumah. Jika dahulu, saya hanya belanjakan RM6 untuk 4 peket gula putih, tetapi kini saya sedar, sebenarnya saya membayar harga kesihatan saya dengan harga yang begitu murah untuk mengundang penyakit diabetes. Sekali penyakit itu datang, anda perlu membayar kos untuk suntikan insulin setiap hari, berulang-alik ke hospital untuk pemeriksaan berjadual, kadang-kadang terpaksa bermalam di hospital sehingga doktor memberi kebenaran untuk pulang, makan pula ubat-ubatan yang diberi oleh doktor sampai bila pun boleh sembuh, hanya Tuhan saja yang tahu. Kalau nasib anda tidak baik, mungkin akan kehilangan sebahagian anggota tubuh sebab dipotong. Itulah kos yang sebenarnya jika anda menggunakan gula putih, bukan RM6 untuk 4 peket.

Tuesday, March 24, 2009

Ubat Doktor: Hidup Anda Mungkin Bergantung Kepadanya


Ubat-ubat dadah hari ini tidak dapat lari dari kesan sampingan. Oleh itu, apabila anda bertemu dengan doktor di hospital atau klinik-klinik swasta, jangan lupa untuk mendapatkan maklumat secukupnya tentang ubat-ubat yang diberi oleh doktor. Tanya doktor tentang risiko yang berkaitan. Berikut antara soalan-soalan yang mesti anda tanya sebelum mengambil apa-apa ubat dari doktor:
1. kenapa anda diberi ubat tersebut?
2. bagaimana ubat tersebut bekerja untuk melawan penyakit anda?
3. adakah ubat itu mempuyai apa-apa kesan sampingan?
4. adakah ubat itu mempunyai komplikasi dengan ubatan lain, makanan atau suplemen yang anda ambil?
5. adakah mana-mana sumber semulajadi sebagai alternatif kepada ubat dadah tersebut?

Bagaimanapun, bukan semua soalan di atas boleh dijawab oleh semua doktor. Soalan nombor 4 misalnya mungkin sukar dijawab oleh doktor kerana terlalu banyak jenis makanan dan suplemen yang tidak terfikir olehnya. Soalan nombor 5 juga mungkin tidak dapat dijawab kerana sebahagian doktor tidak mensarankan kaedah perawatan lain seperti penggunaan herba dan homeopati dan sebahagiannya tidak mempunyai pengetahuan langsung tentang perubatan alternatif.

Malah bukan semua doktor dapat mendiagnos penyakit anda secara pasti walaupun setelah membuat pemeriksaan x-ray atau ujian imbasan. Di negara barat, sudah begitu banyak kes didapati ujian imbasan memberi maklumat yang salah tentang penyakit terutama seperti penyakit kanser. Ada pesakit yang diberi pembedahan sebagai pesakit kanser sebaliknya sel tumor tidak ditemui semasa menjalani pembedahan.

Ada beberapa laman web yang boleh memberikan maklumat tentang kesan-kesan sampingan dari jenis ubat-ubatan moden seperti di www.rxlist.com. Anda taip saja apa jenis ubat, anda akan dapatkan maklumat komposisi kimia dan dadah yang digunakan serta kesan sampingan dan komplikasi dengan ubat-ubat lain jika diambil bersama. Sesetengah ubat disertakan juga dengan amaran-amaran yang berkaitan.

Sebagai nasihat, pastikan anda memperolehi semua maklumat tentang ubat yang diberikan sebelum mengambilnya. Tersilap langkah, anda mungkin akan bergantung kepadanya seumur hidup anda. Oleh itu, sebelum membuat apa-apa keputusan, fikirkan jalan alternatif yang lebih selamat tanpa dadah. Dadah bukan sahaja narkotik seperti morfin, kokain, heroin atau marijuana yang diharamkan, tetapi ubat-ubat moden juga adalah dadah - cuma ia tidak diharamkan kerana untuk tujuan perubatan.

Wednesday, March 11, 2009

Panduan Makanan Sihat



Muat-turun panduan makanan sihat yang lebih jujur dengan klik imej di atas. Panduan makanan sihat ini sesuai menggantikan rajah piramid makanan keluaran FDA dan Kementerian Kesihatan yang telah dipengaruhi oleh kecenderungan untuk melariskan jualan hasil tenusu, daging dan tepung serta memperkayakan pengusaha makanan.

Lakukan seperti saya, cetak dan laminatekan, kemudian tampalkan di pintu peti sejuk di dapur anda. Bagaimanapun, anda boleh letakkan di mana sahaja mengikut keselesaan anda.

Paracetamol & Kafein Berkaitan Dengan Kerosakan Hati

Ambil sebiji atau 2 biji Panadol 2 kali setiap hari, telan dengan minuman kafein seperti kopi dan teh - akan mempercepatkan proses merosakkan organ hati anda. Ada juga yang melakukan sedemikian kerana ketagihan dadah. Tentu ramai dari kita pernah mendengar seorang yang rapat dengan anda mencadangkan mengambil Panadol bersama minuman bergas yang tinggi kafein iaitu Coca-Cola atau Pepsi untuk mempercepatkan tindakbalas melegakan sakit kepala.

Satu kajian yang dilakukan terhadap tikus makmal mendapati paracetamol bertindakbalas dengan kafein atau alkohol lalu kemungkinan berlipatkali ganda merosakkan hati. Panadol mengandungi sekurang-kurangnya 90% paracetamol. Bagaimanapun, menurut pengkaji tersebut, dos yang digunakan untuk kajian tersebut adalah agak tinggi untuk menghasilkan tindakbalas sebegini. Tetapi, jika terlalu kerap mengambil paracetamol dengan kafein dalam jangka masa yang lama, kemungkinan kerosakan organ hati adalah tinggi.

Labels