Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Saturday, February 2, 2008

Pasaraya Penyakit

Dunia kepenggunaan hari ini semakin maju. Di negara kita kini terdapat banyak pasaraya-pasaraya besar yang menjual pelbagai jenis produk makanan dan minuman juga ubat-ubatan farmasi. Boleh dikatakan setiap bulan, sebuah keluarga akan menghabiskan masa berjam-jam pergi ke pusat membeli-belah atau pasaraya untuk membeli keperluan harian atau stok bulanan. Mereka memilih pasaraya atau gedung-gedung besar kerana di sana menjanjikan pelbagai pilihan barangan yang jauh lebih luas berbanding di kedai-kedai runcit. Selain dari banyaknya pilihan, ia juga sudah menjadi satu kebiasaan dan keseronokan membeli-belah lebih-lebih lagi kepada surirumah. Jika tidak ke pasaraya seperti tidak sah.

Apabila membeli-belah, pengguna sepatutnya lebih bijak untuk membeli. Hanya membeli barangan yang benar-benar diperlukan sahaja. Ada di kalangan manusia yang tidak dapat menahan nafsu membeli. Mereka membeli barangan yang sebenarnya tidak digunakan atau berkesudahan tersimpan di dalam stor sahaja. Ada pula yang membeli melebihi had yang diperlukan. Selebihnya hanyalah pembaziran.

Apa yang hendak disampaikan di sini sebenarnya bukanlah berkenaan dengan masalah pembaziran dalam membeli barangan. Saya sebenarnya ingin memeperkatakan tentang produk-produk yang terjual di pasaraya hari ini lebih banyak mendatangkan penyakit dari memberi faedah. Kebanyakannya adalah makanan yang sudah diproses (selepas ini disebut makanan proses). Begitu juga minuman. Sejauh mana makanan proses memberi faedah kesihatan sepatutnya boleh diragui. Ini kerana terdapatnya kandungan bahan-bahan kimia di dalamnya serta kaedah-kaedah yang digunakan dalam memproses makanan tersebut lebih banyak membawa kemudaratan dari memberi kesihatan tubuh badan. Antara bahan-bahan kimia yang sering digunakan termasuk pewarna, penstabil, pengawet (preservatif), pelembut adunan, perisa dan banyak lagi. Bahan-bahan kimia ini ditambah dengan berbagai tujuan mengikut keperluan atau gimik pemasaran produk tersebut. Sebagai contoh, pewarna sunset yellow (oren) digunakan dalam produk seperti jus oren, jem oren, biskut perisa oren dan sebagainya. Pewarna yang digunakan benar-benar menjadikan produk tersebut jadi lebih menarik dengan warna oren yang pekat sehingga pengguna yang jahil menyangka bahawa ia adalah ekstrak dari buah-buahan oren. Begitu juga kimia perisa oren. Sebenarnya tiada setitikpun air dari buah oren digunakan dalam produk tersebut selain perisa bahan kimia yang meniru rasa buah oren. Produk yang popular dengan kepekatan pewarna dan perisanya ialah jenama Double Lion. Begitu juga dengan jenama lain seperti Yeo's, Marigold, Fruit Tree, F&N dan banyak lagi. Ada juga produk yang mendakwa mengandungi pati buah-buahan asli serta semulajadi tetapi pada hakikatnya mereka tetap menggunakan pewarna dan perisa kimia. Perkara ini terlalu banyak berlaku dalam produk-produk makanan dan minuman tempatan. Malah boleh dikatakan beribu-ribu produk di pasaran menggunakan kaedah pemasaran seperti ini untuk melariskan jualan produk mereka. Pengguna sebenarnya sudah lama ditipu dengan kaedah pemasaran seperti ini. Amat malang lagi apabila dilihat ia tetap mendapat sambutan dan pengguna tetap membelinya. Mengikut kajian saya di beberapa pasaraya besar tempatan, secara purata hanya antara 5% - 10% sahaja produk yang benar-benar asli dan semulajadi terdapat di pasaran. Semulajadi bermaksud produk yang berasal dari bahan-bahan semulajadi atau organik, tidak mencampurkan bahan kimia. Berikut hasil tinjauan saya di pasaraya-pasaraya tempatan:


Air Jus Buah-Buahan:
Hanya 2 jenama sahaja yang menggunakan buah-buahan asli dari 30 jenama yang didapati. Jenama tersebut ialah Ceres & VeGood. Jenama lain menggunakan perisa dan pewarna serta mengandungi bahan pengawet. Tiada air buah-buahan yang sebenar. Pengguna sebenarnya ditipu dengan gambar buah-buahan pada label bungkusan atau botol.

Jem Buah-Buahan
Hanya 2 jenama (jenama import) dari 18 jenama yang menggunakan buah-buahan asli. Jenama yang biasa menjadi pilihan saya ialah St. Dalfour. Jenama lain turut mengikuti amalan pengusaha jus "buah-buahan", iaitu menggunakan perisa dan pewarna. Sekali lagi pengguna ditipu terang-terangan.

Makanan Ringan (Kudap-Kudap)
Tiada satupun jenama yang menggunakan bahan asli. Ini merupakan makanan yang popular di zaman ini di kalangan kanak-kanak dan remaja. Mereka sebenarnya memakan bahan ujikaji kimia yang mereka lakukan semasa mereka di sekolah. Penuh dengan pewarna dan perisa kimia. Bahan yang digunakan untuk mewarna fabrik, meracun lalang dan membunuh tikus kini masuk ke mulut anda. Anda sanggup memakannya?

Sos Cili / Sos Tiram / Kicap Soya
Semua sos atau kicap mengandungi MSG atau bahan pengawet kecuali satu jenama menggunakan soya organik iaitu jenama CED. Selain dari itu, tiada satupun kicap yang menyihatkan. Pemprosesan sos dan kicap secara konvensional diragui tahap kebersihannya.

Makanan Dalam Tin
Semua makanan dalam tin mengandungi pengawet. Sardin, merupakan produk popular yang sedap tetapi mengandungi bahan pengawet. Pemprosesan makanan dalam tin boleh dipertikaikan kebersihannya. Begitu juga dengan produk daging, jagung, sambal kari dan sebagainya yang datang dalam tin. Tanpa bahan pengawet, makanan dalam tin akan rosak dan tidak tahan lama. Sebaliknya jika ia boleh bertahan lama kerana pengawet di dalamnya, ia lebih merbahaya dan bertoksik.

Bijirin Oat / Emping Jagung
3 dari 15 jenama merupakan produk asli dan organik. Banyak jenama import merupakan jenama yang menyihatkan. Kellog's juga tiada bahan kimia tetapi proses penghasilannya menggunakan sinar laser dipertikaikan.

Air Minuman Dalam Kotak
Tiada satupun minuman dalam kotak tiada bahan kimia. Sejak akhir-akhir ini telah banyak jenama mendakwa tiada bahan pengawet, perisa dan pewarna tetapi apabila membaca kandungan bahan-bahannya, tertulis mengandungi kondisioner atau penstabil yang dibenarkan. Pelik, mereka mengelirukan pengguna dengan mendakwa produk mereka asli, berkhasiat tetapi sebaliknya.

Mee Segera
Tiada satupun jenama mee segera tidak menggunakan bahan kimia. Produk seperti ini memang popular dan "sedap" tetapi hakikatnya ia penuh dengan kimia penambah perisa terutamanya MSG. Jangan terpedaya dengan label tertulis "Tidak Ditambah MSG" - kerana ia tidak bermakna mee tersebut tidak mengandungi MSG, ia cuma dikurangkan sahaja dari had yang biasa. Saya tidak pernah lagi membeli mee segera sejak setahun yang lalu sejak menyedari kandungan bahan kimia di dalamnya.

Daging Beku / Sosej / Berger
Tiada satupun jenama produk daging yang benar-benar asli tanpa campuran bahan kimia. Ia mengandungi sejenis kimia berbahaya iaitu sodium nitrite yang boleh menyebabkan kanser. Ia tidak perlu disenaraikan pada bungkusan. Sesetengah pengusaha meletakkannya sebagai "pengawet atau kondisioner makanan yang dibenarkan". Sodium nitrite digunakan untuk mengekalkan warna daging menjadi merah supaya kelihatan segar walaupun sudah berbulan-bulan malah bertahun disimpan. Hampir semua produk daging proses menggunakan MSG termasuk berger jenama popular seperti Ramly, Azmy dan Purnama. Sebahagiannya tidak menyatakan MSG sebaliknya meletakkan sebagai "bahan penambah perisa E-621 yang dibenarkan". Kod E-621 adalah Monosodium Glutamat bagi sesiapa yang tidak mengetahuinya. Nasihat saya jangan beli daging import dan semua daging di pasaraya kerana tidak diketahui berapa lama daging tersebut tersimpan di rak makanan. Lebih baik beli daging segar di pasar segar kerana kita dapat melihat sendiri penjual memotong daging yang masih baru disembelih seperti ayam. Ia tentu tiada bahan kimia sodium nitrite. Daging organik seperti ayam adalah pilihan alternatif. Ia diternak oleh sebahagian kecil pengusaha yang mementingkan keaslian dan stoknya sangat kurang. Ayam tersebut diternak dengan memberi makan makanan organik tanpa disuntik dengan ubat-ubat atau enzim. Ia adalah pilihan terbaik tetapi mungkin tidak didapati di pasaraya.

Nugget Ayam / Ikan / Bebola Udang / Ketam
Hanya 1 jenama yang saya temui iaitu nugget ikan (produk Muslim) dari 20 jenama yang tidak menggunakan MSG – rasanya sedikit tawar dan kurang sedap. Di samping produk ini, jenama ini juga menghasilkan produk lain yang turut menggunakan MSG. Jenama lain semuanya menggunakan MSG, kerana itu ia jadi sedap. Bebola ketam pula sebenarnya tidak menggunakan isi ketam, sebaliknya menggunakan bahan kimia perasa ketam serta isi ikan putih. Kandungan wajib untuk semua produk nugget, bebola udang/ketam/ayam/daging lembu dan jejari isi ikan/udang/ketam adalah MSG atau E-621. Penggunaan MSG dalam industri makanan proses di negara ini seolah-olah tidak dapat dibendung lagi.

Beras
Hanya 1 jenama beras dari 10 jenama merupakan beras perang organik. Beras perang adalah lebih berkhasiat dari beras putih. Harganya agak mahal berbanding beras perang bukan organik. Dua jenama beras perang pula adalah bukan organik.

Minyak Masak
4 dari 9 jenama minyak masak yang boleh memberi kebaikan kepada kesihatan. Kini terdapat banyak minyak masak yang berkhasiat seperti minyak zaitun (olive oil), minyak bijan (sesame oil), minyak jagung (corn oil/canola oil), minyak soya, minyak bunga matahari, minyak dedak padi dan sebagainya. Harga agak mahal berbanding minyak masak kelapa sawit tetapi ia tidak mengandungi lemak trans. Jangan tertipu dengan jenama minyak kelapa sawit yang mendakwa "Tanpa Kolesterol" kerana kandungan lemak tepu adalah tinggi dan merbahaya. Minyak masak yang terbaik ialah minyak zaitun. Kandungan lemak tepunya hampir tiada.

Gula / Garam
Semua gula putih dan garam putih adalah bahan kimia aditif. Ia sukar diserap oleh tubuh. Sesetengah pengkaji nutrien berpendapat memasukkan gula putih ke dalam tubuh kita adalah antara perkara paling bodoh dilakukan manusia, kerana mereka meracun diri sendiri secara perlahan-lahan. Kini terdapat sesetengah pasaraya menjual gula organik dan garam laut asli serta garam kristal Himalaya. Harga adalah sekali ganda gula / garam biasa. Garam kristal Himalaya adalah garam terbaik dan ia mudah diserap oleh tubuh kita.

Marjerin / Keju
Tiada satupun jenama marjerin atau keju yang tiada bahan kimia penambah. Ia sangat tinggi kandungan lemak tepu. Bayangkan pada suhu bilik, ia dalam keadaan beku hanya cair apabila dipanaskan. Sangat merbahaya untuk jantung, salur darah dan boleh mempercepatkan pengumpulan plak pada arteri.

Yogurt
Tiada satupun jenama yogurt tiada bahan kimia. Ia mengandungi pewarna dan perisa serta penstabil. Sesetengah pewarna merah seperti perisa strawberi menggunakan serangga ternak sebagai pewarna. Boleh mendatangkan kesan alergik kepada kanak-kanak.

Minuman Campuran 3 Dalam 1 (sebahagian 5 dalam 1 atau lebih)
3 dari 30 jenama tidak menggunakan bahan kimia. Antara jenama asli ialah Nature's Own. Sayangnya, ia mengandungi gula putih. Terdapat juga kopi campuran yang menggunakan gula tebu asli (bukan gula putih) iaitu jenama Chek Hup tetapi di samping itu ia turut menghasilkan produk lain yang menggunakan bahan kimia. Jenama popular seperti Nestle dan Power Root juga turut mengandungi bahan kimia.

Susu Isian Pekat Manis
Semua susu pekat mengandungi bahan kimia dan proses penghasilan boleh dipertikaikan. Ia sebenarnya bukan lagi susu. Kepekatannya disebabkan kandungan gula yang tinggi dan bahan kimia.

Susu Tepung dan Susu "Low Fat"
Juga tidak terlepas dari bahan kimia. Produk yang mendakwa berkhasiat untuk bayi atau baik untuk tulang, melangsingkan tubuh hanyalah palsu semata-mata. Bayangkan susu yang tinggi lemak didakwa melangsingkan tubuh atau menurunkan berat badan. Di mana logiknya? Bagaimana mereka boleh mendakwa ia susu tanpa lemak? Sebenarnya susu lembu bukanlah yang terbaik untuk tubuh manusia. Susu lembu berasal dari sel darah mati lembu. Pengguna hari ini telah ditipu oleh kempen-kempen kesihatan yang giat dijalankan dengan memberi tanggapan tidak betul terhadap susu lembu seolah-olah ia makanan yang diperlukan oleh setiap orang. Kerajaan juga turut terpengaruh dengan saranan dari pengusaha tempatan. Ada banyak lagi sumber kalsium yang boleh didapati selain susu lembu. Produk berasaskan susu sebenarnya tidak baik untuk kesihatan jangka panjang. Ia mengurangkan kapasiti paru-paru dan boleh mendatangkan barah. Susu hari ini telah melalui pelbagai proses penghasilan yang melibatkan suhu terlalu tinggi dan bahan kimia yang dipertikaikan. Lembu disuntik dengan ejen kimia untuk menambah jumlah penghasilan susu seseekor lembu. Ia sudah hilang sifat keaslian susu tersebut. Susu lembu asli yang dijual pula merbahaya kerana mengandungi berbagai bentuk bakteria yang tidak diketahui. Susu yang baik untuk bayi ialah susu kambing. Ia hampir menyamai susu badan.

Serbuk Kopi / Teh
Tiada bahan kimia kecuali proses penanaman pokok kopi atau teh menggunakan teknologi GMO (organisma ubahsuai genetik). Ia tinggi kandungan kafein tetapi baik juga sebagai anti-pengoksida. Teh lebih baik dari kopi kerna kandungan kafeinnya lebih rendah. Terdapat 2 jenis kopi yang paling popular iaitu kopi Arabica dan Robusta. Arabica adalah kopi berkualiti berbanding Robusta.

Ubat-Ubat Farmasi
Tidak dapat dinafikan oleh sesiapa baik para doktor professional mahupun pakar-pakar kesihatan bahawa semua ubat-ubatan farmasi mengandungi banyak bahan kimia merbahaya seperti dadah, perasa, pewarna dan memberi kesan sampingan walaupun fungsi asalnya untuk merawat penyakit. Sebagai contoh, ubat batuk yang mengandungi Carmoisine. Ia telah diharamkan di beberapa negara Eropah, tetapi di Malaysia kerajaan masih membenarkan.

Rak Makanan Organik
Seperti yang saya katakan, terdapat sesetengah pasaraya menyediakan rak atau ruang yang khas untuk produk-produk organik seperti gula asli, garam asli, madu lebah, oat, emping jagung dan sebagainya. Ia diasingkan dari rak makanan-makanan dan minuman GMO. Ini untuk memudahkan penggemar makanan organik mendapatkan makanan mereka. Makanan semulajadi dan organik selalunya tidak memiliki bungkusan atau label yang menarik. Ia dibungkus mudah. Jus minuman juga tidak memiliki warna yang terang sebaliknya agak pudar atau kelihatan keruh. Ini kerana ia tidak menggunakan pewarna kimia. Namun begitu, harganya tentu lebih mahal dari produk GMO kerana bahan-² yang digunakan adalah asli. Contohnya, untuk menghasilkan sebotol 1 liter jus oren memerlukan 20 biji oren berbanding 5 biji untuk produk tiruan kerana produk tiruan dipenuhi bahan pewarna dan kimia yang lain.

Perlu diketahui bahawa peratusan kajian saya di atas tidak termasuk rak atau ruang organik yang disediakan di pasaraya. Ada makanan asli dan semulajadi diletakkan bersama-sama di rak produk bukan organik. Memang rak barangan organik ini 100% adalah makanan dan minuman asli serta semulajadi, tiada bahan kimia. Beberapa pasaraya yang didapati menyediakan ruang khas ini ialah Carrefour dan Jusco.

Begitulah serba-sedikit kajian saya berkenaan makanan dan minuman yang dijual di pasaraya-² tempatan. Kalau dilihat, hampir semua tidak boleh dimakan. Tidak hairanlah hari ini kita hidup dalam masyarakat yang penuh dengan penyakit. Mungkin ada pembaca yang marah dan berkata, "Jika semuanya tak boleh dimakan, apa lagi yang tinggal untuk dimakan?…takkan nak makan batu dan kayu?"
Sebenarnya kita masih banyak pilihan untuk membeli produk-produk yang asli atau organik. Mungkin harganya agak mahal berbanding produk konvensional tetapi sangat berbaloi untuk kesihatan tubuh kita berbanding kos rawatan yang tinggi untuk mengubati penyakit disebabkan dari pemakanan bahan-² kimia aditif dan racun…!!!

Ini adalah kajian dan tulisan yang jujur tanpa ada tujuan untuk mempromosi mana-mana produk. Mungkin ada pihak yang akan mendapat faedah dari kajian ini, tak kurang juga pihak yang menerima tentangan dari tulisan saya ini. Sekurang-kurangnya, apabila saya menyedari sesuatu produk tidak baik untuk tubuh kita, saya mempunyai rasa tanggungjawab untuk memberitahu keluarga, rakan-rakan dan pembaca sekelian supaya menjauhkan diri dari produk tersebut. Itulah etika yang menjadi amalan saya, kerana itu saya mencipta sebuah laman webblog untuk mendedahkan perkara-perkara sebegini untuk mendidik masyarakat kita menjadi lebih bijak dan prihatin memilih makanan dan minuman. Sebenarnya makanan dan minuman yang "menyihatkan" pada anggapan kita yang kelihatan tersusun rapi di rak-rak pasaraya hari ini hanya sedikit atau tiada langsung memberi faedah kepada kesihatan kita. Ia hanya gimik pemasaran untuk menarik pembeli lalu melariskan jualan. Mereka tidak peduli tentang kesihatan kita. Apa yang mereka mahu adalah wang anda. Apabila anda jatuh sakit disebabkan makanan kimia yang mereka hasilkan, mereka tidak akan bertanggungjawab untuk merawat penyakit anda. Andalah mengeluarkan belanja sendiri untuk kos rawatan penyakit anda. Anda juga tiada hak untuk saman mereka. Sebaliknya anda dipersalahkan kerana tidak mempunyai daya ketahanan tubuh yang kuat. Sebenarnya tubuh kita dicipta penuh dengan kekuatan semulajadi untuk melawan segala ancaman virus dan bakteria yang wujud dalam dunia tetapi kita sendiri memusnahkannya dengan mengambil bahan-² kimia yang bertindakbalas melemahkan dan mematikan sistem pertahanan tubuh kita. Mulalah membaca "ingredient", sebelum memasukkan sesuatu produk ke dalam troli anda, yang seterusnya masuk ke mulut anda. Tepuk dada jangan tanya selera kerana selera sentiasa menurut nafsu. Buka mata luas-luas, baca kandungan yang tertera, walaupun saiz tulisan kandungan bahan-bahan biasanya sangat kecil, hampir tidak boleh dibaca. Itulah yang sepatutnya dilakukan.

Labels