Pages

Kembara TSM

Sebahagian dari siri jelajah TSM ke serata pelusuk hutan.

Segar

Air segar yang masih boleh diperolehi secara percuma oleh semua orang

Paya Bakau Larut-Matang

Sebahagian dari usaha konservasi pemuliharaan hutan paya bakau di Kuala Sepetang. Terdapat berbagai jenis pokok herba di sini.

Hijau

Kehijauan hutan hujan tropika di negara kita harus dipelihara

Semulajadi

Pemandangan alam semulajadi di tepi kali

Tuesday, October 28, 2008

Persepsi Buruk Barangan Dari China



Selepas susu, kini melamin ditemui di dalam telur ayam. Pihak berkuasa Hong Kong, Korea dan Jepun telah menemui melamin terdapat di dalam telur yang sudah diproses ke dalam bentuk tepung yang diimport dari negara China.

Kadar melamin yang ditemui melebihi dari had yang dibenarkan iaitu 4.7 ppm (part per million) dan had "maksimum" ialah 2.5 ppm membawa kepada tindakan menarik balik semua produk yang sedang berada di pasaran. Gara-gara penemuan ini, penyiasatan digiatkan kepada produk-produk daging yang berasal dari China.

Sebagai negara yang sedang meneraju pertumbuhan ekonomi yang kencang, dan dikatakan kuasa ekonomi baru, China nampaknya terlalu tamak dalam mengejar kebendaan sehingga etika-etika kemanusiaan telah diketepikan dalam mengejar keuntungan. Dipercayai melamin di dalam telur berasal dari ayam yang diberi makan lalu menghasilkan telur yang mengandungi melamin. Adakah ini juga satu cara untuk mengurangkan kos penternakan lalu memberi ayam tersebut makan bahan yang merbahaya?

Perlu diketahui bahawa Barat begitu cemburu dan tidak senang dengan kejayaan China pada abad ini dan penemuan isu-isu sebegini memang memberi "bonus" kepada mereka untuk menjatuhkan ekonomi China. Jika China terus tidak mengambil langkah yang sepatutnya untuk mengembalikan kepercayaan dunia, tidak mustahil kejayaan China dalam bidang ekonomi tidak akan dapat bertahan lama.

Kita sebagai pengguna di Malaysia pun sudah mula sangsi dengan produk-produk buatan China kerana Malaysia juga banyak mengimport produk-produk dari negara ini. Masih ingatkah lagi sebelum ini bahan kimia merbahaya ditemui di dalam produk mainan kanak-kanak yang berasal dari China?

Acid ~ Alkaline Diet Simplified, Click Here!

Thursday, October 23, 2008

Proses Tauhu Jijik, Ayam Bangkai & Belacan Berulat

Ingatkah lagi saudara/i tentang pendedahan oleh 360°@TV3 dahulu tentang pengusaha tauhu yang memproses tauhu dan minuman soya begitu jijik sekali, diletakkan di atas lantai bersebelahan tandas dengan lantai yang basah, pekerja yang sedang berpeluh sedang memotong tauhu sambil peluh menitik di atas tauhu tersebut, anjing pula berkeliaran di sekitar kawasan memproses, ayam dilonggokkan di atas lantai yang kotor dan busuk di mana darah ayam yang lama telah bercampur dengan ayam yang baru, dimasukkan ke dalam mesin pengguling yang airnya sudah keruh tidak pernah ditukar!

Selera anda mungkin berubah setelah menonton klip video ini.



Belacan Ulat
Berikut pula klip video pemprosesan belacan yang kotor dimana bahan-bahan mentah diletakkan secara terbuka bersebelahan parit yang berlumpur, kerana suhu yang lembap disebabkan cuaca panas dan hujan silih berganti menggalakkan pembiakan ulat di dalam bahan tersebut. Mesin yang digunakan pula sudah berkarat, di samping menggunakan pewarna yang boleh mendatangkan kanser (saya syakki ia menggunakan sodium nitrite). Jika sesuatu itu sudah mula berulat, ia bermakna pelbagai bentuk bakteria sudah menguasai bahan tersebut dan bukanlah boleh dianggap makanan lagi. Sebaliknya, pengusaha ini masih menjualnya untuk dimakan oleh manusia.



Apakah yang difikirkan oleh pengusaha terbabit, selain keuntungan semata-mata. Sengaja saya paparkan kembali video-video ini supaya pengguna tidak lupa betapa jijiknya sikap pengusaha dalam menjaga kebersihan makanan sehingga pengguna tidak menyedari mereka memakan makanan yang jijik dan dicemari najis, bakteria serta kuman dan bahan-bahan bertoksik.

Cara untuk mengajar pengusaha begini, hebahkan video seperti ini kepada orang ramai, boikot selamanya produk mereka biarpun mereka sudah memperbaikinya dan mendapat semula kelulusan dari pihak berkuasa. Contohnya, pengusaha roti Hi-5 dan Silverbird yang gagal mematuhi peraturan kebersihan suatu ketika dahulu - saya cadangkan semua orang memboikot kedua-dua jenama ini buat selamanya dan cari alternatif lain. Tidak mustahil perkara begini akan berulang kembali di masa akan datang.

Cicak sebagai topping dalam muffin Silverbird!

Spesis Aloe Vera

Sebagai respon kepada pertanyaan seorang pengunjung, serta maklumat tambahan kepada pengunjung yang lain, mungkin ramai juga terkeliru dan tidak pasti dengan jenis pokok aloe vera yang mana yang berkhasiat untuk tujuan perubatan. Memang terdapat beratus-ratus spesis pokok aloe vera yang wujud di bumi ini. Spesis selain barbadensis miller mempunyai perbezaan yang sangat ketara dari bentuk fizikalnya. Ia mudah dapat dibezakan dengan pandangan mata kasar. Tetapi terdapat juga spesis yang mempunyai bentuk yang hampir serupa seperti spesis Aloe Barbosa. Perbezaannya, durinya lebih tajam dan panjang dari Barbadensis Miller.


Spesis Aloe Barbadensis yang berkhasiat!

Berkenaan bintik-bintik yang wujud pada spesis Barbadensis Miller menunjukkan ia belum matang, manakala apabila sudah membesar, bintik-bintiknya semakin hilang atau kelihatan samar-samar sahaja. Di sini saya sertakan gambar-gambar beberapa spesis aloe vera supaya orang ramai benar-benar pasti bahawa pokok aloe vera yang disebut-sebut adalah jenis yang tepat. Jikalau semua spesis di bawah ini juga mempunyai khasiat yang sama, sudah tentu ia dijual dengan harga yang tinggi dan sudah pasti saya tanam di halaman rumah.

Klik pada gambar untuk pembesaran.


Aloe Aristata
Daunnya pendek, kembang di bawah dan kuncup di atas. Bintik yang banyak. Cantik sebagai pokok hiasan.


Aloe Babosa
Durinya lebih panjang.


Aloe Helenae
Daunnya nipis dan lembik.


Aloe Laeta
Daunnya nipis, duri yang halus.


Aloe Vossi
Daunnya halus.

Friday, October 17, 2008

Khasiat Lidah Buaya: Herba Terbaik



Bertemu lagi para pengunjung sekelian. Kali ini saya dengan sukacita ingin membentangkan sedikit maklumat tentang kebaikan dan potensi pengubatan yang terdapat dalam Aloe Vera atau disebut pokok Lidah Buaya. Saya akui bahawa saya adalah pendokong pengubatan secara semulajadi, malah saya sendiri menanam dan memakan tumbuhan ini.

Halaman rumah dipenuhi dengan tumbuhan aloe vera. Aloe vera adalah antara jenis herba semulajadi yang paling banyak mempunyai khasiat penyembuhan kepada manusia. Pengamal nutrien, Mike Adams dalam kajiannya berpendapat aloe vera adalah herba yang terbaik dalam beribu-ribu herba yang ditemuinya, manakala Garlic (bawang putih) menduduki tempat kedua. Memang tiada tumbuhan lain yang boleh memberi sebegitu banyak faedah perubatan seperti aloe vera. Lihatlah apa faedah yang boleh didapati dari sebatang pokok aloe vera;
1. menghentikan pertumbuhan tumor
2. merendahkan kadar kolesterol
3. memperbaiki sel darah
4. menambah oksigen di dalam darah
5. menghalang penyakit kidney stone dan kesan kafein dari kopi dan teh
6. memberi keseimbangan asid/alkali di dalam badan
7. menyembuhkan penyakit ulser, sistem penghadaman
8. mengurangkan tekanan darah tinggi dengan merawat punca, bukan hanya simtom
9. menambah mineral, vitamin, enzim dan nutrien di dalam badan
10. mempercepatkan sembuh dari kesan melecur, terbakar
11. merawat luka sehingga tidak meninggalkan parut
12. menggantikan first aid kit (peti pertolongan cemas), berfungsi sebagai bandage kerana ia bersifat anti-bakteria
13. menghentikan kanser colon
14. sebagai pelincir salur perkumuhan
15. menghilangkan buasir
16. meneutralkan gula di dalam darah
17. memelihara buah pinggang dari penyakit
18. menghalang jangkitan
19. memberi keseimbangan elektrolit seperti minuman tenaga
20. memelihara muka, kulit dan membaiki sel yang rosak
21. menguatkan ketahanan badan (sistem imunisasi)
...dan banyak lagi!!!

Tiada tumbuhan yang dapat menandingi potensi pengubatan yang terdapat di dalam aloe vera. Tetapi kebanyakan orang masih tidak menyedarinya, atau berfikir ia hanya sekadar untuk memelihara kulit dari kesan sunburn. Lebih menyedihkan, ia hanya dijadikan pokok hiasan di halaman rumah atau taman. Pada hal, aloe vera sangat berfaedah untuk kegunaan luaran mahupun dalaman.

Pembentukan Jeli Aloe Vera
Pokok aloe vera memang dijadikan Tuhan untuk memerangkap air dan menyimpannya di dalam "tangki" yang besar yang terdapat pada daunnya yang keras dengan kulit yang tebal. Air yang terkumpul diubah kepada bentuk jeli. Jeli inilah yang memberikan khasiat pengubatan untuk kegunaan manusia. Apabila daunnya dikerat, dalam masa beberapa jam, jeli ini akan bertindak membaluti bahagian yang dikerat dengan sendirinya. Maka bahagian jeli yang terdedah tadi akan terlindung dari serangan
bakteria. Begitulah ia bertindak untuk memelihara kulit manusia apabila terluka.

Sehingga kini, hanya satu cara yang terbaik untuk mendapatkan faedah dari jeli aloe vera ini - iaitu menanamnya sendiri. Sudah bertahun saya lakukannya. Apabila ingin mendapatkan, saya akan pergi ke halaman rumah, potong seulas daunnya, siat kulit dan ambil jelinya. Kemudian jeli tersebut dimasukkan ke dalam pengisar, lalu campurkan di dalam air minuman atau air bertapis. Anda akan mendapat faedah yang optimum dari herba semulajadi ini. Ia mempunyai gred yang lebih tinggi, bebas dari racun serangga dan penuh kepekatan. Cecair aloe vera yang terdapat di pasaran (biasanya dibotolkan) adalah sangat lemah. Sebahagian dicampur dengan pemekat supaya ia kelihatan seperti
jeli. Sesetengah pula langsung tidak mengandungi jus aloe vera sedikitpun. Malah ia dijual dengan harga yang sangat mahal. Sesetengah lagi dimasak dengan suhu yang tinggi sehingga memusnahkan nutrien-nutrien berfaedah di dalamnya.

Faedah Kesihatan Dari Jeli Lidah Buaya
Kenyataan di sini adalah kenyataan ikhlas secara peribadi dari saya tentang faedah kesihatan dari jeli aloe vera. Menariknya, jika saya seorang pengusaha atau penjual produk aloe vera, saya tidak berani membuat kenyataan ikhlas ini kerana Kementerian Kesihatan sudah tentu akan membekukan atau merampas produk saya dan mendakwa saya menjual "dadah yang tidak diluluskan". Atau mereka menuduh saya menjual herba yang "merbahaya"!!!

Tapi sebenarnya saya tidak terlibat dalam perniagaan produk aloe vera. Saya hanya berkempen untuk menyedarkan masyarakat tentang kebaikan produk-produk semulajadi, memberi saranan supaya mencari kaedah perubatan semulajadi, dan saya tidak akan merahsiakan kebenaran tentang faedah penyembuhan yang terdapat dari pohon lidah buaya ini.

Humbankan Peti Pertolongan Cemas Di Dapur Anda (First Aid Kit), Gantikan Dengan Aloe Vera
Aloe Vera adalah anti-bakteria, anti-viral dan anti-kulat. Ia boleh menyembuhkan kesan luka pada kulit tanpa meninggalkan parut. Ia jelas terbukti apabila saya pernah terluka di tangan selepas terjatuh, kemudian saya hanya usapkan bahagian yang luka dengan jeli aloe vera, 3 bulan kemudian tiada lagi parut pada luka tersebut. Bahagian yang luka itu akan tertutup kembali mengikut warna kulit badan kita, jika kulit anda cerah atau gelap, ia akan menuruti warna kulit anda. Sukar untuk saya mengesan di manakah zon luka saya dahulu. Berbagai produk kosmetik berasaskan kimia dan ubat-ubatan untuk kulit yang diusahakan oleh industri-industri bernilai berbilion dolar dengan pelbagai jenama yang popular sebenarnya tidak diperlukan jika anda sudah mengenali peranan pohon lidah buaya ini.

Ia juga boleh digunakan sebagai bahan pengawet makanan semulajadi. Ia memelihara kesegaran makanan. Anda tidak perlukan pengawet dari kimia merbahaya yang boleh mendatangkan kanser. Tetapi mengapa masih ramai tidak yakin atau kurang menggunakan aloe vera? Sebabnya mudah. Ia tidak berjenama dan tidak dapat dipatentkan. Ia boleh didapati dengan mudah dan murah apabila kita sendiri menanamnya.

Pengusaha-pengusaha besar tentu tidak dapat menggunakan 100% bahan asli dari aloe vera sebaliknya mencampurkan dengan formula-formula kimia mereka sendiri dan mendakwa kononnya produk aloe vera mereka lebih hebat dan lebih berkuasa dari aloe vera jenama lain.

Anda tidak perlu lagi mendapatkan produk aloe vera yang dibotolkan yang dijual dengan harga berpuluh-puluh ringgit sebotol kerana anda boleh dapatkan yang lebih asli dan pekat dengan menanamnya sendiri di belakang rumah anda. Aloe vera yang dijual begitu mahal sebenarnya adalah strategi pemasaran dan psikologi pengguna, kerana pengguna hari ini sudah sinonim berfikiran, "barang yang mahal tentu nilainya lebih baik, dan yang murah tentu tidak berkualiti atau tiruan".

Jika mereka menjual sebotol aloe vera dengan harga RM3 sebotol, tentu ramai yang tidak yakin malah tidak percaya botol tersebut mengandungi lidah buaya! Mereka menganggap, jika ia ubat yang berkualiti, harganya tentu lebih mahal. Itulah kesilapan kita para pengguna hari ini. Pengguna sendiri yang menggalakkan pengusaha menaikkan harga.

Sebenarnya aloe vera yang boleh ditanam sendiri dan khasiatnya lebih baik dari yang terdapat di pasaran. Tetapi memang sudah menjadi budaya, pengguna lebih suka membeli dari menanam sendiri.

Apa Yang Terkandung Di Dalam Lidah Buaya:
1. Air
2. 20 mineral
3. 12 vitamin
4. 18 asid amino
5. 200 phytonutrien
6. enzim
7. triterpen (phytonutrien yang mengurangkan gula dalam darah)
8. glyconutrien & glycoprotein
9. polisakaraid
10. acemann, mannose-6-fosfat polimannan
11. fenolik glikosid
12. dihidrokomarin
Untuk muatturun ebook kebaikan dan khasiat Aloe Vera, anda boleh klik pautan di SINI

Resepi:
1. sekeping jeli segar aloe vera
2. 1 sudu teh gula tebu organik atau madu lebah
3. 1 mug air bertapis

~ Masukkan jeli, gula organik atau madu lebah dan sedikit air bertapis ke dalam mesin pengisar.
~ Kisarkan sehingga menjadi halus. Kemudian tuangkan ke dalam mug berisi air minuman bertapis.
Minum airnya. Lakukan 2-3 kali seminggu. Anda akan mendapat sistem pertahanan tubuh yang kuat.
*Airnya juga boleh disapukan pada muka sebelum tidur untuk mendapat kulit yang licin, halus dan berseri.



Tuesday, October 7, 2008

Melamine Adalah Protin Palsu

Baru-baru ini, susu formula bayi yang tercemar oleh melamine telah menyebabkan puluhan ribu kanak-kanak di China menerima akibat penyakit kidney stone dan penyakit lain. Sekurang-kurangnya 4 kanak-kanak telah mati setelah meminum susu ini.

Melamine adalah sejenis bahan kimia murah yang digunakan sebagai bahan tambahan dalam formula susu bayi. Ia digunakan oleh pengusaha negara itu kerana kelihatan seperti mengandungi protin yang tinggi. Ini kerana melamine tinggi kandungan nitrogen sebagaimana protin. Sebelum ini, ia banyak digunakan di dalam kandungan makanan binatang peliharaan seperti anjing dan kucing. Kes kematian yang semakin meningkat ke atas binatang peliharaan membuatkan pihak berkuasa menyelidiki kandungan di dalam bahan makanan tersebut. Akhirnya, semua produk makanan binatang yang diimport dari China diharamkan. Kini, penggunaannya menular kepada produk-produk yang dimakan oleh manusia seperti coklat, kopi segera dan lain-lain yang menggunakan kandungan susu dari negara China.



Antara yang ditemui ialah di dalam produk gula-gula yang popular iaitu White Rabbit seperti di dalam gambar.

Cadbury juga telah menarik semula semua produk coklatnya yang dihasilkan dari China kerana dikhuatiri juga mengandungi susu yang tercemar oleh kimia melamine.

Berikut adalah produk-produk Cadbury dari China yang telah ditarik balik:
Cadbury Dark Chocette 45g
-- Cadbury Dark Chocette 80g
-- Cadbury Eclairs 180g
-- Cadbury Dairy Milk Chocolate 150g Pumpkin
-- Cadbury Dark Chocolate 40g
-- Cadbury Dairy Milk Chocolate Bulk Pack 5kg
-- Cadbury Dark Chocolate Bulk Pack 5kg
-- Cadbury Dairy Milk Hazelnut Chocolate Bulk Pack 5kg
-- Cadbury Dairy Milk Cookies Chocolate Bulk Pack 5kg
-- Cadbury Hazelnut Praline Chocolate 312g (2008 Chinese New Year)
-- Cadbury Dairy Milk Chocolate 300g (2008 Chinese New Year)


Nestlé juga menarik balik coklat popular KitKat dari pasaran.

Melamine sangat merbahaya kepada ginjal. Ia boleh menyebabkan penyakit batu karang apabila tubuh cuba bertindak balas secara semulajadi, sehingga apabila sampai ke tahap kronik boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.

Inilah satu lagi contoh terbaik di mana pengusaha makanan cuba menipu pengguna dengan menggunakan bahan merbahaya sebagai aditif lalu mendakwa kononnya produk mereka mengandungi khasiat protin yang tinggi dan membantu tumbesaran kanak-kanak.

Pengguna dinasihatkan supaya lebih berhati-hati membeli produk-produk yang berasaskan susu seperti coklat, yogurt, keju dan banyak lagi kerana dikhuatiri ia berasal dari negara China dan kemungkinan besar mengandungi melamine. Perkara seperti ini tidak dinafikan boleh berlaku kepada pengusaha tempatan yang mementingkan keuntungan semata-mata. Ia juga tidak mustahil boleh berulang kembali di masa akan datang apabila orang ramai telah mula melupakan isu ini secara beransur-ansur kerana penggunaan bahan yang murah boleh mendatangkan keuntungan berlipat ganda bagi pengusaha.

Mereka tidak kisah tentang bahaya yang menanti anda sebagai pengguna!



Apa Yang Syarikat Farmasi Tidak Mahu Anda Tahu Tentang Diabetes!

Thursday, October 2, 2008

Kebenaran Terserlah, Penipuan Terbongkar!




Adakah apabila anda berjumpa doktor mengadu sakit bererti anda sangat prihatin tentang kesihatan anda?

Berminatkah anda apabila ada seseorang memberitahu bahawa anda boleh menikmati kehidupan yang segar, sihat dan bahagia tanpa mengalami penyakit? Ia tidak mustahil!

Kajian mendapati manusia boleh hidup sehingga mencecah 150 tahun. Tetapi mungkin ramai yang tidak mahu hidup selama itu. Termasuk diri saya sendiri. Apa yang kita mahukan ialah kita hidup dan mati dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Kita tidak mahu menerima ajal ketika berjuang menghadapi penyakit yang menyeksakan di katil hospital. Kita tidak mahu nafas kita sesak ketika menghadapi kematian.

Anda bukanlah seorang yang sihat, selagi anda tidak berusaha ke arah memperbaiki kesihatan anda. Apa yang anda tahu, doktor adalah jawapan kepada penyakit anda. Tetapi anda tidak pernah bertanya kenapa anda berpenyakit! Mungkin sebelum ini anda tidak pernah berfikir dari mana datangnya penyakit anda. Sehingga kini pun, anda tetap yakin kepada kempen-kempen "sampah" tentang ubat-ubat yang terbaik dan makanan "junk food" yang didakwa berkhasiat, hakikatnya membuat anda lebih berpenyakit.

Kesihatan bukanlah suatu perkara yang hanya boleh dibiarkan begitu sahaja. Pertama sekali, mari kita lihat masalah kesihatan yang menghantui kehidupan kita di dunia moden ini. Penyakit menjadi satu bentuk penghapusan ke atas manusia di muka bumi ini. Dari kanser, diabetes, AIDS, artritis, dunia kita seolah-olah sedang dilanda epidemik yang tidak pernah terjadi semasa kehidupan nenek moyang kita dahulu.

Terfikirkah anda bahawa kebanyakan penyakit pada hari ini seolah-olah tidak dapat diubati. Padahal kita hidup di dunia yang serba canggih dengan kemajuan teknologi perubatan, mereka masih belum memperolehi jawapan kepada penyakit yang ringan seperti demam dan selsema.

Statistik pesakit semakin hari semakin bertambah dan lebih malang lagi, pesakit kronik juga bertambah. Masyarakat umum boleh menjadi sebahagian dari statistik ini jika mereka meneruskan corak kehidupan yang mereka amalkan hari ini. Tidak ada jalan lain untuk memperbaiki kesihatan diri anda selain dari anda sendiri mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan.

Antara penyakit yang sedang melanda kehidupan manusia moden ini seperti:

Diabetes
Obesiti
Kanser
Osteoporosis
Penyakit Cardiovascular (jantung)
Artritis
AIDS
dll.

Ia semua pada satu titik noktah mempunyai kaitan dengan pemakanan anda. Itulah dia. Mungkin sesetengah orang merasa janggal mengatakan pemakanan mempunyai kaitan yang besar dengan penyakit.

Lihat sebentar apa yang anda makan setiap hari berbanding dengan apa yang nenek moyang kita makan pada zaman dahulu.
Perbezaannya begitu ketara. Makanan yang kita ambil seperti makanan di dalam tin atau yang dikeluarkan dari oven tidak pernah wujud semasa mereka hidup.

Makanan orang dahulu
air
tumbuhan
herba
buah-buahan
sayuran
kacang
akar kayu
makanan semulajadi

Makanan orang moden
roti, biskut
gula, candy
coklat, kudap-kudap
makanan segera
lemak, minyak,
minuman bergas, ais krim,
pengawet, pemanis tiruan
perasa, pewarna

Hanya sekali imbas menunjukkan bahawa perbezaan yang sangat ketara. Kita makan makanan yangt "teruk". Terlalu teruk. Begitu mudah untuk difahami. Pemakanan kita adalah penyebab kepada epidemik penyakit pada hari ini.

Apakah yang dapat menghentikan semua ini?


Apa Yang Patut Kita Makan?

Pertama sekali, kita perlu ketahui bahawa tubuh manusia sentiasa membina tubuh yang baru setiap hari. Dianggarkan, kita telah mendapat tubuh yang baru secara keseluruhannya setiap 7 tahun. Seperti projek membina bangunan, yang memerlukan blok binaan untuk membinanya. Apakah blok binaan yang anda gunakan untuk membina tubuh anda? Sukakah anda jika diberitahu bahawa bina tubuh anda dengan makanan segar dan semulajadi, atau adakah anda fikir bahan binaan untuk membina tubuh yang sihat adalah makanan segera dan minuman soda?

Tentu anda memilih untuk membina tubuh dengan makanan yang penuh dengan khasiat, bebas dari penyakit dimana ia sepatutnya berlaku.

Masalah pada hari ini, masyarakat sudah tidak peduli lagi tentang memakan makanan yang tidak membawa apa-apa khasiat. Mereka lebih senang memilih pengawet, pewarna, dan berbagai lagi jenis bahan kimia yang terdapat di dalam makanan yang tersusun di rak-rak makanan di pasaraya. Makanan ini sifar khasiat, tidak memberi apa-apa bahan yang diperlukan oleh tubuh kita untuk memperbaiki pembinaan tubuh kita.


Katakan TIDAK Kepada Susu

Saya tahu anda fikir anda makan makanan yang menyihatkan, tetapi pada hakikatnya TIDAK. Sebabnya ialah anda tidak sedar apa yang baik untuk tubuh anda, kerana amalan pengiklanan pada hari ini hanya mementingkan pulangan keuntungan. Mereka meletakkan keuntungan di tempat pertama, dengan apa cara sekalipun. Ini termasuk mengelirukan pengguna dengan mendakwa makanan "sampah" tersebut adalah semulajadi dan berkhasiat. Pada hakikatnya, khasiat adalah perkara nombor dua, atau tidak diperdulikan langsung.

Kebanyakan dari kita tentu pernah mendengar bahawa produk tenusu adalah baik. Ia adalah kerana industri tenusu menjana keuntungan yang berlipat ganda. Produk tenusu yang ada pada hari ini bukan lagi susu yang asli. Ia telah melalui pelbagai proses seperti pasteurized, penapisan, pemanasan suhu tinggi dan lain-lain. Apa yang anda dapat hari ini adalah cecair mati yang tidak berkhasiat, rasa seperti susu dan berwarna putih susu. Di dalamnya sudah bukan lagi susu. Ia adalah salah satu produk utama pemakanan masyarakat dunia, malah di Malaysia. Kita sukakannya, termasuk hasil-hasil sampingan darinya seperti keju, mentega dan yogurt. Bilakah kali terakhir anda meminum susu? Mungkin sesetengah menjawab, semalam, atau ada yang jawab sejam yang lalu.

Secara ringkasnya, produk tenusu adalah tidak sesuai untuk manusia. Pernahkah anda merasa sesuatu yang tidak selesa di kerongkong anda selepas setiap kali meminum susu? Pernahkah anda mendengar tentang alergik meminum susu? Yang lucunya, anda fikir susu adalah perkara yang terakhir yang boleh menyebabkan perkara-perkara ini.

Susu bukan sahaja menyebabkan perkara tersebut, ia juga membawa komplikasi kesihatan yang lain seperti:
Diabetes
Kanser
Sakit jantung
kolitis
dll

Ini adalah sebahagian keburukan produk tenusu. Susu yang sesuai hanyalah susu segar. Anda hanya perlu membuat keputusan: percaya atau tidak - terpulang kepada anda. Jika anda percaya, anda boleh mulakan menjauhi produk susu. Tubuh anda akan berterima kasih kepada anda.


Lemak Jahat!

Satu lagi faktor pembunuh yang membawa pelbagai jenis penyakit kepada tubuh anda adalah lemak. Kebanyakan makanan segera yang anda makan termasuk makanan di dalam tin yang anda fikir selamat sebenarnya penuh dengan lemak.

Tidak semua lemak tidak baik. Tetapi jenis yang sering membawa masalah ialah:

1. lemak trans
2. lemak hydrogenated

Ia membawa penyakit diabetes, jantung dan kanser. Mulalah jauhi makanan yang mengandungi lemak ini. Ia bukanlah mudah, kerana kebanyakan makanan yang dijual di pasaraya dipenuhi lemak. Menurut Harvard School of Public Health, mereka yang memakan makanan berlemak pada kadar yang tinggi dari makanan segera dan snek dalam bungkusan, mempunyai risiko 3 kali ganda menghadapi penyakit koronari jantung.

Minyak hydrogenated, Trans Fatty Acid dan lemak tepu yang biasa didapati di dapur rumah sudah semestinya ditukar dengan minyak flaxseed, minyak zaitun atau minyak bunga matahari yang mempunyai kandungan lemak tepu yang jauh lebih rendah dari minyak kelapa sawit.

Memasukkan lemak tepu ke dalam badan adalah sebahagian dari perkara yang paling bodoh anda lakukan setiap hari.


Tips

Oleh itu, apa yang patut kita makan? Di bawah ini disenaraikan beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengubah kehidupan anda dan menghapuskan penyakit dari hidup anda selamanya, insyaAllah!
1. berhenti memakan makanan yang teruk yang anda makan sebelum ini. elakkan makanan proses, makanan dalam tin dan mula makan makanan segar
2. kurangkan secara beransur-ansur pengambilan gula dan lemak. jika anda selalu makan roti putih, ubah kepada roti gandum penuh (whole bran). Dalam proses mengurangkan makan makanan yang tidak berkhasiat, anda akan dapat terkejut dengan perubahan yang akan anda alami selepas beberapa minggu
3. pilih sayuran dan buah-buahan yang segar.
4. hentikan serta-merta makan makanan segera. Ini adalah perkara penting dalam proses membuat perubahan. makanan segera termasuk sosej, burger, mee 2 minit, dll
5. jika daging adalah makanan kegemaran anda, jadikan ia makanan yang jarang-jarang dimakan. bukan untuk berhenti terus, tetapi kurangkan sahaja. anda akan dapat lihat perbezaan yang ketara

Apa Kaitan Perubahan Ini Dengan Penyakit

Perubahan ini bermaksud anda sudah megambil langkah yang semakin hampir untuk menjauhkan pelbagai jenis penyakit. Tentu saja untuk melakukan perubahan ini bukan perkara yang mudah! Tetapi saya ingin mengemukakan suatu soalan kepada anda:

Sukakah anda jika anda tertakluk kepada jadual makan ubat-ubatan dan memberi dos suntikan setiap hari? Sukakah anda menjalani perkara yang menyakitkan dan terlantar di katil hospital yang dialami oleh mereka yang malang sebelum ini? Atau sukakah anda untuk hidup gembira dan sihat, bebas dari penyakit?

Labels